Thursday 12 January 2012

Rokok Penyebab Penyakit Gangren

Dee Jr. masih lagi termenung. Meninggalkan aku sendiri, memandang kepada skrin dan kibod yang membosankan ini. Dan, sesekali aku akan menjeling kepada dia, yang masih sibuk termenung sambil melayan trek-trek dari CD The Garrisson. Masing-masing dari kami sedang kemabukkan, dan sedang sarat dengan khayal kanabis.


Memulakan pagi dengan bir seludup yang di atas tinnya tercetak nama dan gambar binatang, bukanlah idea yang bijak untuk dilakukan di pagi Khamis. Sudahnya, aku kejahanaman cuba untuk menyudahkan kerja aku sambil aku menemankan Dee Jr. dengan tugasnya- menjadi sedih, keliru dan kesal. Itulah kerja sepenuh masanya.


Dia, yang aku kenal beberapa tahun sudah, bukanlah seorang manusia yang kenal erti 'kesal' memandangkan dia selalu datang dengan alasan bahawa 'hidup adalah proses pembelajaran', maka setiap kesilapan harus dia ambil sebagai satu lagi silibus kecil di dalam hidup dia. Dia tak pernah kesal dengan apa yang telah dia jalani.


Tapi, itu beberapa tahun yang sudah. 


Beberapa bulan yang sudah, mungkin sesuatu telah mengajar dia tentang erti kesal. Mungkin, Fatimah telah berjaya buatkan dia masukkan semula definisi perkataan 'kesal' ke dalam kamus hidupnya.


Jadi, kebelakangan ini, aku banyak layankan kekesalan yang Dee Jr. alami. Dan ada kekesalan yang dia ceritakan, dikoreknya dari memori dia tentang masa lampau dia. Bagaimana semua benda ada saling kaitan, dan bagaimana karma seharusnya didefinisikan semula.


Aku diam. Aku cuba untuk memikirkan tiap bait kata yang dia lafazkan. Aku cuba fahami jika ada sesuatu yang terselindung di balik semua itu.


Tak ada.


Tak ada apa yang terselindung selain dari perasaan yang benar. Perasaan jatuh. Gagal. Kecundang. Kecewa, dan juga mungkin marah. Sedih, semestinya.


Jadi, dia panik. Segala usahanya, dirasakan tidak berjaya. Untuk mengubah sifat negatifnya, kelihatan seperti terlalu sukar, walau itu bukan pilihannya. Mungkin, kerana faktor sekitarnya.


Dia panik, lalu cuba menyembunyikan paranoia yang dia miliki, dan tidak berjaya langsung menjadikan keadaan menjadi lebih rumit.


Dia menyesal. Dia sendiri mengaku, dia merasa salah.

'Aku bebankan Fatimah, dengan banyak benda' katanya, dengan suaranya terputus-putus. Sayup-sayup kedengaran di celah-celah bunyi yang terkeluar dari corong speker.



Mungkin, benar. Mungkin, persoalan dan perbualan bodoh paginya, membuatkan Fatimah terpaksa memulakan harinya dengan musibah. Terpaksa menelan kebodohan Dee, di kala dia (Fatimah) baru hendak memulakan hari barunya. Mungkin.


Aku sendiri pernah terlihat Fatimah termenung di balkoni, sendirian selepas dia bertekak kecil dengan Dee Jr., ketika Fatimah sedang mahu bersiap untuk ke tempat kerja. Bayangkan, beban yang terpaksa dia tanggung. Beban fizial, melaksana tugas dan beban mental, untuk memikirkan tentang Dee Jr.


Jadi, aku faham bila Fatimah mengeluh, atau penat. Atau mungkin pernah hampir putus asa dengan Dee Jr.. Mungkin, Fatimah sedang merasakan putus asa itu.


Dee Jr. diam. Tak tahu bagaimana harus dia lakukan. Dia tak mampu lakukan apa pun dengan betul untuk masa ini. Mungkin.


'Aku perlu untuk memberikan Fatimah gembira dia kembali. Aku perlu jauh dari dia. Sekurangnya untuk seketika, ketika dia tidak memerlukan aku langsung. Aku mahu dia senang. Aku tak perlu kotorkan hidup dia dengan mulut jahat aku, dengan otak kotor aku' kata Dee Jr.


Aku diam.


Kawan, untuk sekali ini lagi aku hanya mampu berdiam dan cuba untuk fahami kesakitan yang kau rasakan. Kesakitan yang Fatimah rasakan. Dan kesakitan yang secara kolektifnya kamu berdua rasakan. Tapi, aku cuma memerhati, dari satu dimensi yang tak akan pernah manusia lain faham.


Jadi, aku tak boleh nak mencelah masuk.


Dan, aku hanya mampu diam, dan merasa teruk untuk tidak dapat membantu.


Dee Jr. aku diam, tapi aku mahu kau tahu, aku sedang bersama dengan kau. Aku cuba untuk berbual dengan jiwa kau.


Kau bukan sendiri.