Monday 23 January 2012

Rokok Penyebab Keguguran Janin

Bukan senang bila kita miskin, dan hidup di dalam dunia, yang sebenarnya hanya diciptakan oleh mereka yang mampu sahaja- mereka yang punya sekurangnya sepuluh Ringgit di dalam poket mereka.

Jadi, aku tidak punya lebih dari sepuluh Ringgit di dalam poket aku. In fact, aku lupa bila kali terakhir dompet aku ada menyimpan not kertas sepuluh Ringgit. Kalau ada sekalipun, not-not itu cumalah menumpang di dalam dompet aku, dan bukannya milik aku.

Jadi, aku tidak punya lebih dari sepuluh Ringgit di dalam poket. Not kertas yang aku ada, cumalah sekeping satu Ringgit, dan yang lainnya, cumalah syiling- sekeping lima puluh sen, beberapa keping dua puluh sen, sepuluh sen, dan beberapa keping syiling lima sen. Dan, kesemua duit yang aku bawa, masih lagi sah dan diperakui nilainya oleh umum di Malaysia.

Jadi, memandangkan aku masih lagi menganggur, dan aku juga merupakan perokok yang agak aktif, aku perlukan nakotin di dalam badan aku. Aku bangkitkan badan aku, yang sudah mencapai usia 26 tahun, dan aku keluar, dengan niat untuk menukarkan semua nilai mata wang yang aku miliki, dengan sekotak rokok seludup yang punya nilai yang sama dengan wang yang aku bawa.

Dan, aku jalan perlahan menuju kedai yang menjadi pembekal untuk aku.

Sesampainya aku di kaunter, aku hulurkan duit pada dia, dan aku minta rokok seludup yang aku idamkan, untuk aku hembuskan asapnya keluar bebas.

‘Saya tak mahu guna ini duit’ katanya bila dia nampak syiling lima sen aku. Aku pandang dia- seorang lelaki, imigran, yang datang jauh dari India, dengan niat, mahu membantu keluarga miskinnya mengubah nasib masa depan mereka.

26 tahun. Aku membesar dengan melihat bagaimana syiling-syiling lima sen, bebas digunakan di dalam pasaran jual-beli yang semacam ini. Mungkin, tak relevan untuk kau beli sepaket kanabis dengan menggunakan syiling-syiling lima sen yang banyak. Tapi, aku cuma mahu beli sepaket rokok seludup, dan wang yang aku bawa, cukup-cukup untuk aku dapatkan sekotak sahaja. Tak ada wang lebih yang aku bawa.

Dan, dia cakap, ‘ saya tak mahu guna ini duit’ sambil dia asingkan syiling-syiling lima sen aku.

Aku minta dia, semua duit aku semula. Dan aku berlalu pergi sambil beberapa rakyat Malaysia, hanya membiarkan syiling-syiling lima sen itu, dihina kewujudannya.

Dan, 26 tahun aku sebagai orang yang melihat bagaimana syiling lima sen bebas digunakan, akhirnya terhenti di situ. Dihentikan oleh seorang imigran yang dibayar gaji untuk menjaga kaunter.

Dan, kuasa beli aku, yang punya wang, yang diperakui kesahihannya oleh bank, hilang. Kuasa beli aku hilang, terhalang oleh kemalasan, dan kerakusan kuasa seorang imigran yang digajikan untuk menjaga kaunter.

Aku tak perlu masuk ke ruang legar bank besar untuk aku di-reject sebagai seorang miskin. Kini, dengan hanya masuk ke kedai Mamak, kau juga boleh sedar, bukan hanya orang yang bertali leher, dan ber-perfume Boss yang akan menghina kemiskinan kau. Mereka yang busuk, dan miskin yang diamanahkan untuk menjaga kaunter, juga boleh me-reject kau atas sebab kemiskinan kau.

Tak perlu tunggu seseorang itu menjadi kaya untuk melihat dia menjadi sial. Cuma berikan dia uniform, mesin kira-kira dan kaunter, sudah memadai.

Kalau aku kaya, aku akan ambil dia sebagai pekerja aku dan aku akan bayar gaji dia, dengan hanya menggunakan duit lima sen.

Aku, bukan xenopobik. Cuma si pandai, yang masih belum punya wang yang cukup, untuk menjadi sempurna.