Saturday 14 January 2012

Nota-Nota Kecil

Malam itu, aku tinggalkan Dee Jr. sendirian. Ketika dia tidur, aku bangkit, dan aku capai jaket aku, berlalu pergi dari bilik kecil yang menjadi dunia kepada dia. Aku selimutkan badannya yang penat. Dan, aku selakkan rambut dia agar tidak menutup mukanya, supaya dia tidak rimas. Dan, aku perlahankan lagi penghawa dingin. Lagu-lagu The Garrison, aku biarkan terpasang, shuffle dan repeat.


Aku tinggalkan nota kepadanya di atas sehelai kertas bergam bewarna kuning. Dia perlu tahu ke mana aku pergi, jika dia terjaga sewaktu ketiadaan aku. Jika aku tak tinggalkan nota itu, hari dia akan menjadi lebih teruk dan dia akan panik.


'I will be back, soon' aku tampalkan nota itu di atas skrin 40 inci komputernya. Aku lekatkan dengan kuat supaya ia takkan tertanggal sebelum si gila itu bangkit dari tidurnya.


'Boleh saya ke sana? I miss you' aku taipkan dan hantarkan kepada orang yang pernah dan masih aku sayang, A.


Aku turun, mencari teksi, dan mengejar sesuatu yang aku rindukan.


Dua puluh minit kemudian, aku berdiri di depan pintu rumah A, melihat dia berdiri di depan aku, dengan rambut lembutnya, dan dengan pakaian tidurnya. Baju kemeja besar warna kuning, yang dipenuhi corak petak di atasnya. Aku rindukan baju itu. Baju yang akan disarung selepas kami berhempas pulas berkongsikan berahi kami. Aku pandang pada senyuman dia.


Aku peluk dia. Aku penat. Dan aku rindu. Dia masih lagi kawan aku, walau keadaan kami bukan sama seperti dahulu. Walau kini, aku cuma menumpang kasih, mencuri ruang yang tertinggal yang ada pada dia. Malam itu, aku perlukan dia. Aku perlukan A, bukan Dee Jr.


Lalu, aku tinggalkan Dee Jr. kemabukkan, dan khayal. Tidur bersendiri ditemani The Garrison yang aku pasangkan di dalam mod shuffle dan repeat.


Aku dekati dia. Aku peluk dia seerat yang mungkin, seolah itulah malam terakhir, kami akan berjumpa, dan berbual mengenai hidup. Aku cium lehernya. Dan aku cium rambut lembutnya. Aku sentuh tangan lembutnya. Jari aku, merayap ke seluruh tubuhnya, dan diakhiri di hujung jarinya di mana akhirnya, untuk kesekian kalinya, jari aku yang penat itu akhir bertemu dengan sahabatnya.


Aku rindukan semua itu.


Aku dan dia diam. Aku peluk pinggannya erat sambil aku berjalan di sebelahnya. Kami hanya berdiam, dan kami terus menuju ke katilnya.


Aku pandang wajahnya. Pada matanya. Pada bibirnya. Cantik, dan menenangkan.


Aku baringkan A di atas katilnya, dan aku capaikan remote, aku perlahankan sedikit lagu-lagu Jazz yang terpasang di dalam studionya itu. Aku tarikkan selimut dan aku tutupkan sebahagian besar badannya dengan kain tebal itu. Aku cium dahi dan bibirnya.


Aku baringkan badan aku di sebelah A.


'I miss you' bisik aku pada dia. Aku baring betul-betul menghadap dia. Dan melihat jelas wajahnya. Wajah yang aku rindukan tiap masa. Dia balas, dengan senyumannya. Dia pejamkan mata. Dan senyum.


Mungkin, aku penat. Atau terlalu takut. Mungkin, bersama dengan Dee Jr. juga kadang-kadang boleh menambahkan takut dan penat aku. Aku jadi hilang. Hilang arah, dan tujuan.


Dan, dua puluh minit sebelum aku berdiri di depan studio di mana A tinggal, itu yang aku rasa. Aku rasakan kekosongan. Aku terasa seolah aku sedang berdiri di satu ruang vakum yang gelap. Tiada apa yang aku boleh lihat, dengar atau mungkin rasakan.


Mungkin, sudah terlalu lama aku seperti itu. Lalu, badan dan jiwa aku kepenatan.


Aku tak mahu ganggu A. Tapi, cuma dia yang aku ada, sebenarnya.


Jadi, dua puluh minit selepas itu, aku ada di sana. Di depan tempat tinggalnya, menyatakan rasa rindu aku. Seperti anak kecil yang memerlukan ibu atau ayahnya. Seperti anak kecil yang ketakutan, yang diserang gergasi di dalam tidurnya. Aku datang kepada A, memohon sedikit ruang.


Dan malam itu, aku habiskan sisa hari aku, dengan memeluk A, membisikan rindu aku di telinganya. Dan membelai tiap inci tubuh yang dia ada, dan untuk sekian kalinya, aku sedar, sekeras mana pun aku nafikan tentang kemanusiaan aku, aku masih lagi punya perasaan dan aku masih lagi punya rasa takut.


Dan, sekental mana sekalipun aku mengharung jahanam dunia ini, aku masih lagi rapuh dan terlalu mudah untuk dirosakkan.


Dan, malam itu, sebelum aku pejamkan mata aku, sambil aku peluk A dari belakang, di atas katilnya, dengan lagu-lagu Jazz terpasang menemankan kami, dan meninggalkan Dee Jr. dengan The Garrison, aku bisikkan kepada A, 'maafkan aku and I miss you. I love you, whoever you are'.


Dan malam itu, hati keras aku sedar, bahawa bukan setiap masa ia akan mampu menahan sakit yang dunia berikan. Dan, hati keras aku sedar, ada sesuatu di dalam hidup ini, yang tak akan boleh kita kikis buang dari hidup kita, walau apa pun yang berlaku.


Malam yang sunyi, aku tidur berpelukkan dengan kekasih yang bukan lagi, untuk aku.