Sunday 29 January 2012

'Wah, shopping sakan, nampak?'

Untuk pertama kali dalam hidup, aku perlu berazam. Aku perlu meletakkan beberapa hal di dalam list aku. List hal-hal yang perlu dan tak perlu aku buat untuk tahun ini. 


Jujur, setiap tahun, setiap kali datangnya Tahun Baru, aku tak akan terlintas untuk memasang apa-apa azam, atau cita-cita yang perlu aku penuhi di dalam satu-satu tahun. Aku malas nak fikir, dan aku malas nak merancang. Hidup aku sepatutnya berlangsung tanpa ada sakit kepala memikirkan perancangan-perancangan yang biasanya tak akan menjadi.


Jadi, untuk 2012, aku penat. Dan, pada malam Tahun Baru, aku menyatakan hasrat aku itu kepada Dee Jr. dan, dia cuma membalas pendek, 'loser'.


Jadi, untuk 2012 aku telah meletakkan beberapa sasaran untuk aku cuba lakukan. 


Pertamanya, dewasa ini, aku banyak menghabiskan pagi aku dengan mengikuti kelas-kelas belajar bermasin bass yang di-youtube dari akaun Flea- si pemain bass gila dari Red Hot Chili Pepers. Video-video tutorial disunting menjadi begitu cantik sehingga aku tak pernah bosan untuk menontonnya berulang kali. Ditambah pula dengan ajaran Flea, yang seolah menyindir aku, bila dia ajar aku cara untuk pasang tali, dan beritahu aku, kenapa aku perlukan pick-guard.  Jadi, aku meletakkan sasaran, (sekurangnya) belajar satu bassline Flea dengan sempurna sebelum menjelangnya hujung Disember 2012, itupun kalau masih sempat. Kalau apa yang Puak Mayan ramalkan itu benar, aku akan cuba capai sasaran aku ini, selewatnya, awal Disember 2012.


Dua tahun sudah, aku jualkan DSLR aku kepada kawan aku lalu cuma meninggalkan aku dengan satu Wide Lens dari Tamron, yang kini hanya menjadi bahan hiasan di dalam bilik Akid memandangkan aku masih belum mampu untuk membeli badan kamerannya. Jadi, sejak itu, aku kurang keluar dan mengambil gambar dan kalau ada sekalipun, aku akan keluar membawa kamera analog yang dipinjamkan oleh seorang kawan kepada aku, dan konflik yang aku ada bila mengambil gambar dengan kamera analog adalah, duit-duit yang aku perlu keluarkan untuk membeli filem dan memprosesnya. Tapi, jujur aku sukakan kepada cabaran dan surprise yang kamera analog boleh berikan kepada aku.


Tapi, untuk tahun 2012, aku rasa aku perlu kurangkan untuk berada di dalam lapangan ini, atau mungkin aku boleh terus keluarkan diri aku dari lapangan ini memandangkan, tidak ada apa sangat yang boleh aku lakukan dengan fotografi. Kalau dulu, aku akan bawa kamera aku ke mana sahaja, dengan semangat yang dunia perlu dibekukan momennya. Tapi, sekarang aku dah tak peduli. Semua benda, kebanyakkan kalinya, akan berulang. Sama. Bosan. Dan menyakitkan otak. Jadi, aku tak mahu lagi membekukan semua momen itu.


Dan, memandangkan aku ni bukan penyerap ilmu yang baik, aku rasa dah cukup apa yang aku tahu, mengenai kamera analog. Dah tak ada apa yang boleh aku serap lagi. Aku tak akan boleh buat yang terbaik, dan aku tak akan tahu lebih lagi. Aku tak akan dapat tangkap momen-momen sepertimana yang aku lakukan satu masa dahulu. Aku tak akan pernah faham apa-apa tentang kamera, DSLR atau analog dan aku tak akan pernah berjaya lagi untuk membekukan momen-momen yang sempurna.


Jadi, untuk apa aku hurung lagi ke hulu dan ke hilir kamera tu semua? Berat dan memenuhkan ruang. Dulu, aku sanggup memenuh dan memberatkan beg aku dengan kamera dan aksesorinya kerana aku masih lagi yakin, dan masih lagi percaya. Tapi, bukan sekarang.


Jadi, 2012 aku akan kurangkan kamera, atau lenyapkan terus kamera dari hidup aku. Sekurangnya, Akid dan Fatimah masih lagi mengambil gambar, dan mungkin aku boleh gembira merasakan teruja mereka. Sambil aku menikmati hasil-hasil kerja cantik mereka.


Tahun lepas, bulan Oktober kalau tak salah aku, kontrak kerja aku tamat, dan sebaik tamatnya kontrak aku sehingga ke hari ini, aku masih lagi mencari kerja, dan seperti sperma yang tidak sihat, kerja-kerja yang aku cari itu semua, tak melekat di badan aku, yang aku bayangkan di dalam keadaan ini, sebagai ovum. Telur. Yang perlu disenyawakan. Untuk menjadi satu hidup.


Jadi, untuk tempoh beberapa bulan ini, aku banyak menghabiskan masa aku dengan meng-download porno gay, dan mencari kerja, di dalam masa yang sama. Tapi, masih belum berhasil.


Jadi, untuk 2012, aku meletakkan sasaran yang aku perlu cari kerja, atau sumber pendapatan, yang membolehkan aku untuk bernafas dengan lebih baik. Tak payah besar angka gajinya. Tapi, cukup untuk aku bayar untuk tempat tinggal, rokok, dan modal untuk aku menjalankan perniagaan sampingan. Kecil-kecil. Mungkin, menjual sayur-sayuran di taman perumahan berdekatan di waktu malam. Mungkin.


Dan untuk tahun 2012 juga, ada beberapa lagi perkara yang aku dah letakkan di dalam list-nya. Tapi, terlalu kelakar untuk aku tulis di mana-mana. Jadi, secara kasarnya, aku akan fokuskan diri aku untuk tiga hal ini. Tiga hal utama yang perlu aku selesaikan sebelum sampainya hujung tahun nanti.


Dan, mungkin awal tahun depan, aku akan duduk di sebelah Dee Jr., sebagai seorang yang segar. Seorang yang baru, akibat dari perlaksanaan hal-hal yang aku nyatakan tadi.


'Kau memang loser. Loser' kata Dee Jr.


Aku tenyeh puntung rokok, dan aku buat-buat tak dengar. Dan, ya. Aku perlu cari kawan berborak di bar yang lain.


Di dalam pub, kami memerhati bunga api, cuma di skrin TV.


Selamat Tahun Baru, Dee.