Sunday 8 January 2012

Pagi Ahad.

'Hancurkan segala yang ada' arah salah seorang dari mereka. Dihunuskan pedangnya tinggi ke udara. Membunuh ego, dan membunuh bangga yang ada pada pihak lawan.


Dan, sejurus habis bait ayat itu habis diucap, maka bersoraklah bala tentera yang ramai, yang terdiri dari manusia kelas bawah, yang gagah dan dipersiap dengan kelengkapan besi yang kukuh, yang menguatkan lagi benteng pertahanan mereka. Mereka berarak, menghentak kaki ke atas tanah, memberikan gegar kepada bumi, mencipta takut kepada musuh.


Mereka bengis. Dan mereka hunuskan senjata mereka. Mereka julang dengan bangga dan mereka bersorak menyahut sesama sendiri, memberitahu kepada sesama mereka yang mereka tidak bersendiri. Sorakkan mereka terdengar dari segenap pelusuk bumi, menakutkan, dan mengerikan.


Mereka bangkit. Menyarungkan kemarahan mereka, cuba menjatuhkan keangkuhan pemerintah mereka. Dan, kroni pemerintah mereka.


Mereka bangkit, mempersoalkan tentang apa yang patut mereka miliki. Yang patut menjadi hak mereka, sebagai rakyat, dan sebagai manusia.


Jadi, mereka bangkit. Mahu mengubah nasib. Anak dan cucu yang akan mendatang.


Dan, untuk sekali lagi, mereka berteriak. Memberitahu sesama sendiri, bahawa mereka tidak bersendiri.


Memberitahu sesama sendiri, bahawa mereka di sana, bukan melawan sendiri. Tetapi, melawan bersama, dengan benang-benang cinta yang terjahit di tengah-tengah antara mereka.


Dan, benang-benang itu, langsung mengukuhkan lagi mereka. Lagi ditarik, lagi kuat mereka.


Jadi, mereka sedang berteriak, dan mereka enggan meninggalkan sisa. Mereka mahukan kejatuhan mutlak. Mereka mahu menang besar.


Dan mereka bersorak, menggegar ego-ego pemerintah. Yang mungkin sedang mengemas almari baju mereka.


Dan, kemarahan manusia kelas rendah, terus berarak.