Sunday 15 January 2012

Tadah

‎'Sebagai penumpang kapal, kau kena sedar yang kau akan sedar yang kau adalah objek paling hina yang boleh manusia sempurna fikirkan. Dan, tambah sempurna lagi, kalau kau tak berkemampuan. 


Kau adalah nothing. Cuma separuh dari zat habuk yang maha kecil.


Tapi, kau dinasihatkan untuk layankan sahaja. Kerana kesemua kesalahan adalah datang dari kau, dan bukan dari manusia yang sempurna yang penuh dalam hidup kau. Dan, kau pendosa, yang pernah lakukan kesalahan, dan, mereka yakin, kau akan ulangi kesalahan yang sama.


Jadi, kau perlu sedar akan siapa kau, dan bila kau dah sedar, kau akan layankan. Kerana kau tahu, yang miskin, dan yang menumpang, memang tak akan pernah betul walau dia berdiri melawan apa yang salah.


Kau terpaksa layankan. Kau jilat setiap ludah yang mereka ludahkan. 


Dan, kawan baik kau, tersenyum melihat kau menjilat dan menafikan bila kau meminta keadilan.


Lalu, kau layankan. Kau kena layankan walaupun kau tahu, kau bukan di kapal yang salah. Tapi, kau tetap akan dianggap salah. Semua pandangan kau, cumalah salah faham, dan salah tafsir. Apa yang kau fikirkan bukan lagi sesuatu yang relevan. Walau apa pun yang berlaku, kau bukan lagi orang yang relevan. Kau cuma terlalu negatif dan terlalu paranoid. Kau terlalu penuh dengan salah faham. 


Dan, cuma kaulah yang mencipta masalah yang tak perlu ada. Kau kompleks.


Kau layankan. Tanpa kau boleh ragui atau persoalkan apa sekalipun. Kau tak punya ruang.


Ruang kau untuk bicara dengan saniti, telah hilang, bersama dengan digniti kau.


Ahad, datang dengan realiti yang bukan dongeng dan di atas kapal itu, kau akan sedar, yang tak ada apa yang kau boleh lakukan selagi kau tak mampu untuk membeli jiwa-jiwa manusia lain' 


Itu, apa yang Dee Jr. fikir dan katakan pada aku.


Dunia. Dan Ahad. Maafkan Dee Jr., dunia. Kerana ketidaksempurnaan, salah anggap, salah tafsir, salah anggap dan paranoia yang dia miliki, mencacatkan keindahan dan kesempurnaan yang sepatutnya kau miliki. Aku yakin, kegembiraan yang kau pernah miliki satu masa dahulu, hancur musnah bila Dee Jr. wujud di dalam kau. 


Untuk sekali ini, Dunia maafkanlah Dee Jr. dan berikanlah dia ruang untuk menumpang untuk beberapa ketika lagi sebelum dia tinggalkan kau untuk bersenang bersama dengan isi bumi yang sempurna dan yang cantik.


Dia cumalah penumpang atas penumpang. Yang hina. Dan yang tak mampu.


Maafkanlah dia, Dunia.