Saturday 31 December 2011

Dee Jr.

Dee Jr. masih lagi kekusutan memikirkan masalah-masalah, yang mungkin sebenarnya tak wujud. Dia masih lagi banyak menghabiskan masanya di bar kegemarannya itu. Kadang-kadang, bila aku terlalu sibuk dengan kerja aku, dia akan menghabiskan masanya sendiri, atau mungkin ditemani oleh pekerja-pekerja bar itu yang sedang berehat.


Jadi, malam ini dia mengambil keputusan untuk tidak keluar. Dari rumahnya, atau dari bar kegemarannya. Dan, aku pula dah terlalu penat nak ajak dia untuk menyaksikan himpunan Vendetta yang akan berlaku di dataran sana, malam ini. Aku ajak dia, untuk menyaksikan sejarah.


Tapi, dia tolak. Penat, katanya.


Aku diam.


Mungkin, memang benar, dia perlukan ruangnya sendiri, untuk dia luaskan lagi otak dan ketakutan dia. Supaya dia cepat sedar bahawa apa yang dia dah lakukan pada masa lalu, boleh buat dia hilang segalanya. Dan, jika dia sendiri tak berubah, tak akan ada siapa yang akan menunggu dia lagi.


Jadi, aku biarkan dia. Biarkan dia khayal danb berguling di atas tilamnya. Dia perlukan semua itu.


Dia perlukan gula-gula.


Dia perlu untuk tidak menghiraukan apa pun perubahan yang berlaku. Dia perlu fokus.


Dee Jr., selamat tahun baru.


I love you.

Selamat Selamat

Selamat menyambut ketibaan tahun 2012. 


Jujurnya, untuk aku, ia cumalah satu perubahan angka. Dan, tak ada apa pun yang akan berubah sebenarnya. Kawan aku, selalu datang dengan resolusi-resolusi yang baru setiap tahun, ada beberapa dari mereka, yang punya kebiasaan ini, dah di hari-hari akhir setiap tahun seperti ini, mereka akan merungut tentang resolusi baru yang perlu difikirkan, dan resolusi lama yang tak disudahkan.


Jadi, setiap tahun adalah sama. Resolusi baru, dicipta untuk menutuo malu sendiri kepada kegagalan resolusi lama.


Jadi, aku duduk di dalam bilik, menerima berita bahawa seorang kawan, yang sedang berurus niaga kokain, ditangkap polis. Dan, hal itu, telah berlaku beberapa kali, sebelum ini, dan tak ada apa pun yang berubah.


Dia masih akan terus berurus niaga kokain dan dia akan masih terus keluar dan masuk ke dalam lokap.


Dan, beberapa jam lagi, angka di set nombor tahun akan berubah. Ada manusia yang sedang kegilaan, memikir tentang kiamat yang dijangka tiba hujung tahun ini, dan ada manusia yang masih lagi tidak memberikan apa-apa respon pada apa yang berlaku kepada isi dunia.


Aku, masih lagi di takuk lama, memikir tentag apa yang aku tak perlu fikirkan, menurut pendapat beberapa teman aku.


Aku masih lagi tidak punya wawasan, dan masih lagi belum punya kereta impian, dan, aku masih lagi belum memiliki pasukan bola sepak Eropah kegemaran aku sendiri.


Aku masih lagi terkapai-kapai, hampir lemas di tengah-tengah peralihan ini. Aku cuba untuk menarik nafas sepanjangnya, cuba untuk meneruskan perlawanan gelora yang menggila ini.


Dee Jr., masih lagi bermasalah dengan kekasih gelapnya.


Dunia, masih lagi berputar pada paksinya.


Aisberg, masih lagi mencair, dan ada manusia lagi, yang sedang menahan lapar pada detik ini.


Dunia, masih lagi pada paksi gilanya.


Dee Jr., Sam dan beberapa teman lain, masih lagi mengunjungi bar kegemaran mereka setiap hari.


Cuma angka yang berubah.


Mungkin.


Harapnya.


Selamat menunggu tahun baru.

Friday 30 December 2011

Bar Khamis

Esok, adalah merupakan hari terakhir bagi tahu 2011.  Hari yang mana, akan ada beberapa individu, terbangkit dari tidur setahunnya, dan berkata, 'sial, dah masuk tahun baru' dan di tangannya masih terpegang erat botol bir suam yang dihurungnya ke sana dan ke sini.


Dee Jr. tanya aku, 'kau masih tak ada azam?' sambil dia pandang aku, yang sedang tekun mengunyah kacang, beberapa malam sudah. Di hadapan kami, berdiri setia pekerja bar yang tak bernama. Deretan botol arak mahal menghiasai segenap pemandangan kami. Perlawanan bola sepak di skrin TV, langsung kami tak hiraukan.


Aku gelengkan kepala. Tak ada. Tak ada langsung. Dan, tak terfikir untuk ada satu pun. Azam.


Dia senyum, dan dia palingkan pandangannya ke hadapan semula. Mengangkat-angkat kening, memesan 2 botol bir lagi.


Lalu, dia bersuara, 'sebab kau tak akan achieve apa-apa, better untuk kau tak meletak garis harapan'.


Aku diam.

Tuesday 27 December 2011

Sinetron

Botol air mineral senget. Idioteque- Radiohead. Metro Bus. Awan mendung. Petang. 


Pembantu tuan rumah sedang berebut televisyen dengan anak tuan rumah.


Apa?


Ah, berat sangat semua ini. Lagi mahu fikirkan.


iTunes di Windows. DVD.


Fear and Loathing in Las Vegas.


Finally.

Thursday 22 December 2011

Oren

Dee Jr. mengeluh.


Dia sedang duduk di dalam kelas hidup. Kelas yang dibuka di pub-pub di kota sunyi ini. Dia duduk, dan dia mengulangkaji pelajarannya.


Dia sedang meraikan kehilangan. Dan dia sedang belajar untuk menyedarkan dirinya bahawa dia dan Fatimah, bukan lagi membaca buku yang sama seperti dahulu. Jadi, dia perlu belajar untuk biasakan dirinya untuk membaca perenggan selepas perenggan sendirian. Dan dia perlu belajar untuk menafsirkan segala isi buku itu, sendirian. Tak ada lagi Fatimah untuk berdebat, berhujah dan berkongsi.


Fatimah sudah punya pasangan lesbiannya sekarang.


Dan, Dee Jr. bukan lagi orang yang Fatimah perlukan. Dee Jr. cuma daging besar yang bergerak di dalam rumah mereka. 


Tapi, Dee Jr. masih lagi terkial-kial untuk memahami semua itu.


Tak apa. 'Sabar. Perlahan-lahan sikit' kata aku padanya, cuba untuk menasihatkannya.


Dia diam.


Mungkin, dosa yang telah dia lakukan, terlalu besar untuk Fatimah dan salahnya Dee Jr. bila dia cuba mengembalikan kepercayaan Fatimah kepadanya. Kepercayaan bahawa dia sedang cuba untuk berubah.


Tapi, Fatimah dah penat. Dia tahu, pasangan lesbiannya ada lebih banyak kebaikkan. Dan, Fatimah tak perlu sedikit pun nak sakit kepala dengan pasangan lesbiannya itu. Mereka terlalu bahagia sekarang dan bahagia Fatimah itu, tak pernah Dee Jr. tengok seblum ini. 


Jadi, untuk apa Fatimah pedulikan dia lagi?


'Jadi' katanya, 'dia memang gembira di sana' dia lepaskan keluhan. Putus asa. Kecewa, dan masih terkejut.


'Dan, aku mahu dia gembira' sambungnya.


Aku pegangkan bahu dia. Dan ketika jam menunjukkan tepat jam sembilan pagi, di hari Khamis, aku hulurkan satu segelas wiski kepadanya.


Aku pandang ke luar tingkap. Pagi, kau terlalu kejam.

Wednesday 21 December 2011

John Frusciante

Mak aku dah tua. Lahir tahun 1944, pada tarikh yang sama dengan aku lahir, berpuluh tahun selepas itu. Dia dibesarkan di kampung, dan berkahwin kepada seorang lelaki yang dah berkahwin, dan dah mempunyai lapan orang anak. Hasil perkahwinan mak dan ayah aku, mereka berjaya memperoleh lapan orang anak, sebelum ayah aku meninggal dunia, lima belas bulan selepas aku dilahirkan. Aku tak pernah tanya betul-betul, apa yang berlaku pada ayah aku. Mak dan kakak-kakak aku pernah cerita, tapi aku tak pernah tanya, apa yang aku nak tanya. Mungkin, pertanyaan aku cuma akan buat mereka (yang pernah merasa kasih sayang ayah aku), sedih.


Hari ni, aku tiba-tiba teringat pada mak aku, yang masih tinggal di kampung, bersama dengan seekor kucing, dan sesekali akan ada abang-abang dan kakak-kakak aku datang melawat dan membantu apa yang perlu.


Mak aku orang yang simple. Makcik-makcik tipikal kampung, yang akan menyarungkan baju kurung Kedah hampir pada setiap masa. Makcik-makcik tipikal yang akan menyiram bunga bila waktu petang sampai menjengah bumi. 


Dia tak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah sebab ketika selepas datuk aku daftarkan mak aku untuk masuk ke sekolah, dia (datuk aku) terpaksa berangkat ke Mekah dengan menaiki kapal untuk menunaikan Haji. Jadi, Datuk aku mengamanahkan mak cik aku, kakak kepada mak aku untuk melangsaikan hal itu. Malangnya, mak cik aku, berpendapat yang mak aku tak perlu ke sekolah. Mungkin dengan tanggapan yang wanita, akhirnya akan duduk di ceruk dapur juga.


Jadi, dia tak hantar mak aku ke sekolah. Dia merasakan yang mak aku akan lebih baik masa depannya, jika tak ke sekolah, dan tinggal di rumah sahaja, menjaga anak-anak kecilnya.


Dan, di situ, mak aku menghabiskan masa kecilnya- tidak ke sekolah, dan tidak mendapatkan pendidikan asas membaca dan menulisnya di sana. Yang dia boleh lakukan, cuma menggunakan imaginasinya, membayangkan dia berjalan kaki ke sekolah. 


Tapi, mak aku tak pernah marah mak cik aku tu. Dan, dia sendiri pesan pada anak-anak dia, supaya jangan dibenci orang itu. 


Sebab, mak aku memang rileks.


Kalaulah aku boleh jadi macam dia, memaafkan, dan rileks, aku rasa aku akan dapat hidup dengan lebih senang.


Bila ada masalah, aku cuma perlu keluar dari rumah, dan pergi siram pokok bunga. Atau, cantas bunga kantan. Atau, tanam lebih banyak lagi pokok.


Tadi, mak aku telefon. Sesekali, dia cuba untuk menyelitkan cerita-cerita kahwin pada aku. Cerita tentang masa depan. Tentang warisan, dan tentang dunia dewasa.


Aku diam. Aku malas nak layan. Dan, aku masih belum cukup kuat untuk luhurkan hati ibu aku dengan beritahu dia, betapa gay-nya aku. Jadi, aku diam. Melayankan.


Dan, sesekali aku akan bersuara, berharap supaya dia mengubah topik. Sebab, aku tak nak bergaduh, atau tinggi suara dengan dia. 


Bukan sebab adat, atau dosa ke apa. Tapi, sebab aku sayangkan dia. Aku tak nak tinggikan suara aku, sebab aku sayang dia. Dan, aku tahu, aku sendiri akan sedih, bila aku tinggikan suara aku pada dia. Pecayalah. Aku pernah laluinya.


Mak aku risau. Risau kalau-kalau sebelum dia pergi, dia tak dapat nak tengok aku bahagia dengan orang yang secara sahnya, boleh menggembirakan aku. Dia risau, kalau-kalau bila aku makin tua, dan dia tak ada untuk aku, aku akan jadi hilang arah.


Aku lepaskan keluhan kecil. Mata aku berat sikit. Kepala aku, khayal. Ini bukan masa yang sesuai, mak.


Aku tahu, mak aku sayangkan aku. Dia risaukan aku. Dia risau kalau aku jadi sunyi. 


Tapi, dalam kebanyakkan hal, mungkin dia tak boleh nak faham aku. Kerana aku sendiri punya cerita-cerita gelap, bahagian dan sisi tersorok yang aku tak boleh nak bualkan pada dia. Aku takut, dia akan sedih.


Jadi, biar rahsia itu terus tersimpan. 


Tapi, disebabkan rahsia itulah, mak aku akan terus ingatkan aku tentang masa depan, dan kahwin.


Masa depan, aku boleh dengar lagi.


Kahwin? Maaf, mak. Saya tak boleh.


Jadi, aku tak tahu, apa perlu aku buat, untuk sekali ini. Aku tak mahu tinggi suara, atau seperti biadap kepadanya. Tapi, sampai bila perlu dia seperti ini?


Aku lepaskan keluh. 


Dan, di balik perbualan yang membosankan itu, aku terbayangkan imej mak aku, berdiri di bawah pokok sirehnya, menyiram bunga-bunganya. Dan, sesekali dia akan mengesat peluhnya di dahi dengan lengan baju yang dipakainya. 


Aku lepaskan keluh lagi.


Dan, aku berharap aku boleh beritahu mak aku tentang siapa aku, dan minta maaf untuk itu, jika itu menyakitkan dia.

Tuesday 20 December 2011

Jika dunia tidak ada beg tangan

Bayangkan, kalau di dunia ini, tak ada beg tangan. 


Apa yang akan jadi pada tamadun manusia? Dan adakah ini akan mengubah mana-mana fakta sejarah yang ada di dalam dunia? 


Bayangkan, kalau di dunia ini, tak ada beg tangan.


Apa yang akan terjadi pada dunia? Adakah ia akan tetap sama sepertimana yang kita lihat sekarang? 


Jika tak ada beg tangan, apa yang akan pengusaha-pengusaha, para penjual, para pereka, dan pekerja kilang beg tangan lakukan? 


Adakah kegawatan ekonomi yang melanda dunia, atau perang-perang besar, atau mungkin Tsunami takkan berlaku, jika dunia tak ada beg tangan?


Aku palingkan badan aku, menghadap dinding merah. Aku capai alat kawalan jauh, dan aku kuatkan lagi volume lagu John Frusciante.


 Jiran aku, Majid sedang berkaraoke.


Dan, apa agaknya yang akan berlaku kepada Majid, jika dunia tak ada beg tangan?



Tosai Garing

Aku bergolek ke kanan, dan ke kiri, cuba untuk mencari posisi yang paling selesa untuk aku habiskan minit-minit terakhir aku berjaga. Cuaca tak panas. Angin masuk menerjah perlahan. Aku tak terkejut. Aku tak takut, aku layankan je, apa yang angin bagi. Selagi boleh kawal, aku biarkan. Kalau dah tak boleh, aku terpaksa tutup tingkap, pasang kipas.


Tak boleh tidur. Aku bangkit. 


Dalam otak aku, berlegar macam-macam soalan, dan macam-macam hal yang aku belajar. Satu persatu masuk dan keluar ke otak aku. Perlahan-lahan, ia masuk ke dalam lipat-lipat otak aku. Aku layankan. Macamana aku layankan angin malam ni.


'Manusia,' kata Dee Jr., 'memang komplikated'.


Dan, mungkin manusia, terlalu sempurna, untuk menerima pesalah seperti Dee Jr. yang cuba sekali untuk melakukan perubahan. Walaupun dah banyak kali dia cuba? 


Macam kes-kes banduan yang keluar dari penjara, dihakimi kali kedua, dianggap akan melakukan kejahatan mereka lagi.


Aku pandang kepada siling. Pandang pada kipas, yang bergerak, berputar laju. Dinding merah penuh tertampal nota-nota pendek, di kanan pintu, ada berdiri beberapa botol bir kosong. Sunyi tersembunyi di balik bayang-bayang malam.


Jadi, dalam kes si Dee Jr., dia cuba untuk menjadi baik, aku faham. Dia cuba mencari mana silap yang telah dia lakukan, aku faham. Dan dia juga menghabiskan masanya meng-google ayat-ayat yang boleh mengajarnya membuangkan ego bodohnya. Aku nampak usahanya, tapi malang untuk dia, bila Fatimah tetap tak yakin dengan apa yang dilakukannya.


Mungkin, Fatimah terlalu penat untuk mempercayai bahawa usaha ini akan berjaya. Mungkin, Fatimah sendiri dah tidak merasakan apa-apa yang relevan yang boleh si Dee Jr. lakukan.


Dinding merah, sesekali seolah menyala. Dan, sesekali akan tenggelam di balik nota-nota pendek yang tercatat di atas kertas kuning itu. John Frusciante, menemankan malam aku.


Aku boleh nampak jelas tindak tanduk Fatimah yang mungkin cuba menjelaskan betapa jengkelnya Dee Jr. di mata dia. Dan, aku mungkin boleh baca, betapa terdesaknya, Fatimah mahu Dee Jr. main jauh-jauh.


Tapi, Dee Jr. tetap macam orang bodoh. Tapi, aku tak boleh nak katakan apa-apa padanya. Dia sedang meraikan kejahanamannya, di ceruk-ceruk bar, bersama dengan manusia-manusia yang tak dikenalinya, atau dengan aku.


Kalau aku duduk, dan ceritakan pada dia apa yang aku rasa, aku yakin, dia akan bungkus pakaian dia, dan akan minta kebenaran bermalam di mana-mana bar, untuk jangka masa yang panjang.


Jadi, tak ada apa yang boleh aku buat. Aku sendiri tak boleh nak salahkan Fatimah atas ketidakpercayaannya kepada usaha sementara yang Dee Jr. lakukan. Tapi, apa yang aku boleh katakan, sekurangnya, dia sedang berusaha, untuk menjadi dirinya, yang elok-elok sahaja, macam dia yang kami semua kenal sebelum ini.


Mungkin, dah terlalu banyak insiden yang berlaku yang buatkan Fatimah bertindak sedemikian, dan jujur, kalauaku sendiri, mungkin aku pun dah lama pergi. Siapa yang sanngup bertemankan si bodoh macam Dee Jr. ni?


Tapi, aku tak boleh nak cakap banyak. Sebab, aku tak mahu menjadi pengaruh kepada keputusan-keputusan yang bakal Dee Jr. buat sebab aku tak nak meleret dengan satu masalah ini. Jadi, aku layankan sahaja. Sebab, aku boleh dapat bir percuma, aku boleh mabuk sampai aku tak ingat nama aku, tanpa aku perlu keluarkan lebih dari sepuluh Ringgit untuk beli rokok seludup.


Jadi, dengan bertemankan malam dan dinding merah, aku cuba fahami, kegilaan manusia, yang takut akan ketidaksempurnaan, takut akan manusia-manusia yang pernah membuat dosa, dan takut dengan manusia-manusia yang sedang bertaubat.


Mungkin, manusia terlalu sempurna untuk menerima manusia-manusia seperti ini. Pesalah lampau.


Jadi, aku capai telefon aku. Aku bosan dengan sunyi macam ni, dan malam macam ni. Aku tak nak malam esok aku jadi macam ni lagi. Lalu, lal aku taipkan mesej;


'Aku rasa, esok kau perlu belikan aku bir'

Monday 19 December 2011

Sial

Hari ni, aku perlukan cuti, dari melayan Dee Jr. dan menghabiskan malam aku dengan melepek di bar bising. Jadi, aku matikan telefon aku, yang dah rosak, terjatuh ketika aku sibuk bersungguh-sungguh mengayuh pulang, mengejar bahagia di dalam plastik, ataupun kanabis.


Hari ni, aku habiskan masa aku dengan menyudahkan beberapa hal yang dah lama tertangguh. Beberapa telah berjaya aku habiskan memandangkan tak ada apa yang menarik yang boleh aku buat hari ini. Dee pula, tersangkut di tengah kesesakkan lalu lintas. Aku matikan telefon, aku tak peduli. Dia dah besar. Dia tak akan sesat, dan dia tak akan mati tercekik.


Jadi, duduk di dalam bilik, sambil aku pasangkan muzik-muzik klasik zalim, sebagai permulaan. Aku duduk diam, dan sesekali, aku akan tambahkan bilik aku dengan asap. Dari kanabis. Aku perlukan ia, sebagai ubat untuk redakan gelisah. Atau tidur.


Aku sandarkan badan aku, dan aku cuba untuk membaca, sambil menyudahkan beberapa tugasan menaip yang perlu disudahkan. Kepala aku berat, dan penuh berisi dengan khayal. Dan juga persoalan-pesoalan yang bukan-bukan.


Itulah sebabnya aku benci melepak dengan Dee Jr., dia akan buat aku datang dengan persoalan-persoalan yang tak perlu. Persoalan yang pada akhirnya akan menjahanamkan hidup aku sendiri.


Jadi, aku cuba fokus. Untuk mengelakkan aku pergi ke lembah gelap itu. Aku sedut lagi, dan hembus lagi asap, supaya bilik aku berkepul dengan asap. Aku suka. Aku suka melihat dari bawah, asap yang mati terpanah oleh cahaya matahari.


Aku bangkit. Kepala aku, tak boleh nak angkat pen, atau tarik kibod. Saraf aku, dah malas nak buat benda-benda macam tu. 


Aku tarik lagi, dan aku hembus lagi. Hisap dan hembus.


Aku bangkit. Nampaknya, aku kena keluar.


Aku tak boleh merasa rindu pada Dee Jr. rupanya.


Sial.

Projek Kelas

'Pertama,' kata Dee Jr., 'kita masukkan benda ni ke dalam ni' sambil dia masukkan campuran tembakau dan satu lagi hasil alam ke dalam corong besi. Corong yang bercantum dengan satu rod yang dicucuk di tepi sebuah botol lutcahaya. Tingginya, lebih kurang enam lapan inci. Di dalamnya, tersimpan sejumlah kecil air. Tidak memenuhi ruangnya. Cukup untuk menapis asap sahaja.


Aku berikan perhatian aku kepada dia, sambil di belakang aku, terpasang kuat lagu John Frusciante. Aku biarkan, aku biarkan terpasang sejak dua hari lepas. Aku perlukan kawan, dan John Frusciante perlukan kawan. Kami ada persetujuan bersama. Jadi, dia datang dan duduk di belakang aku- memetik gitar dan menyanyi puisi. Puisi mat dadah.


'Lepas tu,' sambung Dee Jr. lagi, 'kau cari lighter' dipanjangkan lagi pandangannya, mencari-cari pemetik api.


'Leceh' keluhnya perlahan. Aku terdengar. Lagu John Frusciante bergerak ke trek yang seterusnya. Diam untuk satu saat. Atau lebih. 


'Ha' katanya, teruja bila ternampak pemetik api oren di bawah bantal. Diangkatnya tinggi, terpancar sinar dari bawah lampu tidur.


'Lepas tu,' sambungnya lagi, 'kita bakar' ditundukkan kepalanya. Mulutnya disumbat menutup seluruh mulut botol. Tangan kirinya memegang botol. Menutup satu lagi lubang kecil, dan tangan kanannya memegang pemetik api oren, menghidup dan membakar campuran tembakau menjadi bara.


Panas. Bunyi gelegak air, mengiurkan. Lalu, sedetik kemudian, asap berkumpul, ternampak dari luar botol lutcahaya. Botol kuning, lalu asap putih, dan air putih terlihat kuning dari luar. Dee Jr. pejamkan mata, entah meleret ke mana. Aku tak sempat capai tangan dia.


Dia menarik kuat. Bara yang membara, tersedut masuk ke dalam rod. Menghilang di balik salur besi, meninggalkan corong sendiri, kembali kosong.


Asap menerjah ke atas. Mahu bebas. Tetapi, bukan ke langit. Cuma ke dalam keronkong dan rongga Dee Jr.


'Dan,' sambungnya bila asap sudah disedut dan dihembus semua, 'kita akan gembira'.


Selamat petang, kawan.

Sederet

Aku dan Dee Jr. duduk di dalam bar. Kami berdua pandang ke hadapan. Aku nampak deretan botol arak yang mahal, yang selalu datang dalam mimpi aku, atau yang selalu datang ke dalam kotak imaginasi aku, bila aku duduk di meja kerja aku. Aku terlihat deretan botol yang secara sempurna dihasilkan oleh manusia, yang menyimpan 700 mililiter air yang dibancuh manusia, air yang menjadi tiket untuk aku terasa kebas di muka aku. Air yang membawa pergi berat yang ada, kadang-kadang.


Tapi, apa yang Dee Jr. nampak?


Pandangannya, kosong. Dan untuk sekali ini lagi, aku diam. Tak ada lagi lawak-lawak zalim, tentang perasaan, dan tentang perhubungan manusia. Sekurangnya, untuk seketika ini, sehingga dia benar-benar sembuh dari luka dalam yang tergaris di atas jiwa dia. Tapi, aku sedia menunggu. Sedia untuk aku tunggu masa itu kembali. Masa yang mana Dee Jr. akan datang di sebelah aku, dan mula berbicara tentang kegilaannya yang biasa, bukan kesedihan yang macam itu.


Dan, tak mungkin dia akan ternampak deretan botol yang sama dengan apa yang aku nampak.


Untuk sekali ini, aku cuba berdoa, walaupun aku tak tahu apa yang betulnya, dan walaupun aku tak tahu realitinya, dan walaupun aku tak punya keyakinan ke atasnya. Biarlah, untuk sekali ini, aku doakan untuk kekuatan Dee Jr. walau kepada siapapun aku doakan doa itu.

Ceruk Bar

Kata Dee Jr., Fatimah telah pun menjelaskan segala-galanya, melalui tindak-tanduknya, bahawa dia, Dee Jr. bukan lagi orang yang relevan untuk dia, Fatimah jadikan kawan untuk berkongsi, apa sekalipun, walaupun ruang sekalipun.


Jadi, aku duduk di dalam pub pada malam Ahad, diajak oleh Dee Jr. dan menggagalkan usaha aku untuk melupakan kesengsaraan dia buat seketika. Sakit kepala aku akibat kemabukkan semalam, masih belum hilang. Semalam, aku pun tak pasti apa yang dah berlaku sebenarnya, dan semalam, seorang peguam, telah bertukar menjadi anak kecil yang comel. Dan, berada di dalam pub itu, diajak oleh Dee Jr., pada malam Ahad, bukanlah sesuatu yang biasa.


Jadi, aku tahu, keadaannya tak elok.


Jadi, aku pesan beberapa gelas lagi bir, dan aku pesan beberapa botol bir lagi. Di televisyen di depan kami, di satu sudut di dalam bar itu, terpasang perlawanan siaran langsung. Kedua kami langsung tidak menghiraukannya. Ia cuma ada di situ untuk menemankan jiwa-jiwa sunyi yang tak ada benda lain yang nak dibuat selain dari merenung kepada deretan botol arak mahal yang ada di depan mereka.


Dia- Dee Jr. sedang keliru dengan apa yang perlu dirasakannya. Dia tak tahu apa yang sedang dirasakannya, dan semua cecair yang ditelannya juga, tidak meninggalkan apa-apa kesan, selain dari melekatkan baunya di dalam mulut Dee. Dah berbatang balutan sakti yang dah kami hisap tapi, nampaknya, cuma aku yang terjahanam melayan dia. Sedangkan, dia masih lagi mampu berdiri tegak, dan termenung tak tentu pasal.


Jadi, untuk sekali ini, sekali lagi, aku cuma mampu menemankan dia, tanpa aku boleh katakan apa-apa. Matanya tidak lagi menceritakan benda yang sama, dan tidak lagi mempercayai apa yang mungkin pernah dipercayainya. Matanya penat, dan jiwanya kelesuan.


Aku diam, dan sesekali mata aku menjeling kepada skrin yang terpampang di depan aku. Pandang kosong. Hanya untuk mengalihkan tumpuan.


Fatimah, terima kasih kerana kau telah menunjukkan segalanya. Dan sebagai kawan kepada Dee Jr., aku ucapkan terima kasih kerana kau pernah menjadi sebahagian besar hidupnya, dan pernah menajdi alasan untuk Dee Jr. kembali senyum kepada dunia. Cumanya, aku tahu, kau sendiri dah tak mampu nak menahan apa pun. Jadi, terima kasih kerana masa-masa itu.


Dan, terima kasih, kerana kau, aku mampu menghabiskan malam-malam aku kemabukkan, mendengar kepada keluhan dan ketidakpuasan hati dia.


Terima kasih.

Saturday 17 December 2011

Tidak Berbutang

Dee Jr. sedang kebuntuan, dalam gelora lautan jiwa, tak keruan, dan tak punya rasional lagi untuk meneruskan apapun, buat masa ini.

Jadi, dia banyak menghabiskan masanya dengan aku, mencari peluang yang ada untuk dia bersama dengan aku, melepaskan keluhannya dan menghabiskan sejumlah wangnya untuk membeli alkohol-alkohol atau bermacam lagi substance yang ada. Sepertinya, aku adalah raja yang akan dapat segala apa yang aku hajati, dan Dee Jr. akan terus patuh dengan semua permintaan aku. Cuma, dengan syarat, aku sudi menghabiskan masa aku dengannya, mendengar keluhan dan rungutannya.

‘Fatimah’ katanya, sambil tangannya menyelak-nyelak helaian majalah yang ada di depannya, ‘dah tak nak cakap dengan aku’ lalu dia pandang muka aku. Aku alihkan pandangan aku, tepat kepada Bob Dylan yang tertampal di dinding bilik aku.

Janggal. Aku berpura-pura yang aku sedang berfikir, mengerut dahi untuk meyakinkan Dee Jr. yang aku sedang memikirkan apa yang dikatakannya itu. Sedangkan, tak ada apa yang boleh aku fikirkan dari apa yang dia baru cakapkan tadi. Tapi, dia di luar fokusnya dan dia tak akan perasaan kesilapan kecil yang aku lakukan tu. Jadi, aku teruskan lakonan aku.

Katanya, ‘aku tahu, dia takut untuk cakap apa-apa dengan aku’ lalu dihulurkan tangannya menuding kepada bong kuning yang terletak di hujung sofa di dalam bilik aku, sofa biru yang pernah menjadi bot asmara yang dibantai gelora laut. Di tepi sofa biru, berdirinya ukiran kayu, yang dihadiahkan oleh Dee Jr.. Ukiran itu telah berdiri di tempat yang sama selama lebih dari 3 tahun, dan di dalam kebanyakkan masanya, tak ada siapa pun yang akan perasan akan kewujudannya.

Aku hulurkan kepadanya, bersama dengan balang kedap udara yang tersimpan herba sakti di dalamnya. Dengan cermat, dia lakukan segala proses sehingga sudah, sehingga kepul asap itu berjejeran keluar dari mulutnya. Dilepaskan sekali keluhannya. Matanya merah, dan mata aku pun merah. Merahnya mata kami, menggambarkan betapa jauhnya kami dari tanah realiti ini.

Aku temankan dia. Aku layankan apa yang dia nak katakan. Dan dalam keadaan seperti ini, dia memang selalu betul, dan aku pula hanya akan memberikan dia pendapat-pendapat yang akan ditolak mentah-mentah. Dia tanyakan aku soalan, untuk dia paksakan aku menerima jawapan yang diberikannya. Dia degil, dan dalam keadaan seperti ini, kedegilannya boleh jadi sangat menjengkelkan.

Menurut Dee Jr., Fatimah yang ada sekarang ni, bukanlah Fatimah sama yang dikenalinya. Mungkin, kerana terlalu membencinya, lalu Fatimah berkeputusan untuk berkomunikasi dengan jujur, dan terus dengannya. Katanya, Fatimah seringkali mengharapkan supaya Dee Jr. akan berkelakuan seperti biasa, memandangkan mereka masih lagi tinggal bersama. Tapi, menurut Dee Jr., konflik wujud bilamana tindak-tanduknya, tak sama seperti apa yang dikatakannya. Tindakkanya seolah dia sangat bencikan Dee Jr. dan mahu dia pergi secepat yang mungkin.

Jadi, Dee Jr. jadi lebih jahanam. Tak ada hala tuju, dan tak ada kawan, maka akulah yang dikutipnya untuk menemankan dia mengayuh basikal hidup dia itu.

‘Dia mahu aku bersuara, tapi’ katanya terhenti, disedutnya bong kuning itu dengan cermat. Hembus. Kepul asap terapung di beberapa ruang di depan kami. Mata kami berdua sibuk melayan kepul asap yang ada.

Kami meleret. Langsung melupakan ayat tergantung Dee Jr. yang terpotong oleh sedutan bong. Tapi, aku faham. Aku sendiri pernah melihatnya, dengan mata dan kepala aku sendiri. Aku sendiri boleh menghidu betapa bencinya Fatimah kepada Dee Jr. sekarang, seolah jika diberikan peluang kepada Fatimah, mahu direjamnya kepala si Dee Jr. dengan batu yang beribu. Dan, dengan jelas boleh aku lihat yang Fatimah dah tak punya apa lagi hati dan perasaannya kepada Dee Jr. dan bukanlah pelik jika Dee Jr. dilupakan begitu sahaja oleh Fatimah.

Sekarang, untuk Fatimah, Dee Jr. cumalah bangkai hidup yang cuba mahu merosakkan lagi hidupnya. Mahu merumitkan keadaan hidupnya. Dan untuk Fatimah, mungkin sekarang Dee Jr. cumalah parasit yang menumpang, yang tak pernah bersyukur dengan apa yang telah diberikan kepadanya. Dan, yang paling jelas, untuk Fatimah, Dee Jr. cumalah manusia bodoh, yang tak akan pernah faham akan apa sekalipun dan, dia bukan lagi orang yang relevan untuk diajak berbual, berbincang, berkongsi, atau apa sekalipun. Dan, aku yakin, kerana itulah Fatimah cuba mengelakkan perbualan. Kerana dia tahu Dee Jr. yang bodoh ini, akan merosakkan keputusannya. Dia, tak mahu sekali lagi ditipu perasaannya.

Lagipun, untuk apa dia harapkan pada Dee Jr. lagi? Sedangkan dia sudah pun punya teman lesbian yang boleh berikan dia segala apa yang dia mahukan, yang boleh berikan dia kebahagiaan sepertimana manusia lain terima.

Aku faham. Dan Dee Jr. pun faham dan dia sendiri akui, kekurangan dan kesilapan yang dia ada.

Dan aku boleh nampak semuanya dengan jelas. Cumanya, bukan tanggungjawab, atau tugas aku untuk menyibuk tentang hal mereka. Cumanya, di dalam ruang yang aku ada ini, aku punya hak untuk tulis apa yang aku nak, dan aku yakin, kedua dari mereka, tak akan baca apa-apa pun yang aku taipkan di sini.

Jadi, aku pandang kembali kepada Dee Jr., lalu aku lupakan kepul-kepul asap yang ada. Aku tak mahu pergi sejauh Dee Jr. , dan aku tak mahu kepenatan mencari jalan pulang nanti. Aku bangkitkan diri aku dari khayal yang terlalu berat. Aku cuba bukankan mata aku seluas mungkin.

Mata aku memandang kepada Dee Jr.- seorang pencinta yang gagal, yang sedang berada di dalam kejahanaman, di ambang maut jiwa-jiwanya. Aku pandang kepada dia, dan aku cuba nasihati diri aku sendiri, bahawa inilah kesannya bila kita punya sifat-sifat sebagai manusia. Kita akan terpaksa bergelumang dengan semua perasaan yang mengelirukan itu.

Jadi, sambil tangan aku mengusap ukiran kayu yang selalu diabaikan, aku lemparkan pandangan aku kepada dunia, sambil otak aku cuba memikirkan sesuatu. Cuba untuk mencari kepada titik mula kepada apa yang sedang berlaku. Kepada aku, dan kepada Dee Jr. Cuba untuk mencari jawapan, untuk aku redakan diri aku, dan untuk aku redakan jiwa Dee Jr. yang kekalutan. Tak ada satu perkataan yang boleh aku cari untuk aku tutupkan keresahan itu.

‘Lain kali, kalau tak kuat, jangan cuba bermain dengan dumbel’ bisik hati aku seolah aku katakannya kepada Dee Jr.

Tarik. 

Dan kemudian, hembus.

Friday 16 December 2011

Malam Jumaat

Dee Jr. duduk di sebelah aku, menghadap barisan botol arak mahal yang ada di seberang bar sana. Di depan kami, pekerja bar, seorang lelaki, sedang sibuk ke sana dan ke sini, berkejaran untuk menyediakan minuman yang telah dipesan. Aku tak berduit, tapi oleh kerana Dee Jr. sedang menghadapi kerumitan di dalam hidupnya, maka aku berpeluang untuk menikmati arak percuma.

‘Selain Fatimah,’ kata Dee Jr. beberapa tahun sudah, ‘kau je lah yang aku ada’ dan dari situlah bermulanya tradisi yang mana aku akan menemankan dia, walau dalam apa jua keadaan ekonomi aku, untuk masuk ke dalam bar, dan menyelubungkan diri kami dengan kegelapan yang dialaminya. Tak banyak isu yang dia ada, kebanyakkannya pasti akan ada saling kaitan, sangkut paut dengan Fatimah.

Ya. Fatimah. Nama kekasih gelapnya, Fatimah, seorang gadis Seremban. Hanya aku di dalam senarai kawannya, yang tahu, apa yang berlaku di antara mereka berdua. Fatimah, seorang jururawat di hospital swasta yang datang dari latar belakang bangsa dan agama yang berbeza. Hubungan cinta mereka adalah hubungan yang boleh mendatangkan marah kepada kebanyakkan masayarakat di negara ini. Jadi, bila tiap kali dia menelefon aku dengan suaranya yang muram, aku tahu, aku bakal dihidangkan dengan arak tanpa henti. Tanpa limit.

Dan, aku dipaksa untuk menjadi predator.

Dan, di dalam pub itu, pada malam Jumaat yang mendung itu, Dee Jr. duduk di sebelah aku. Menghadap botol-botol arak mahal yang tersusun cantik di rak belakang bar. Matanya lesu, kepenatan dan bau pewangi pejabatnya, masih melekat di baju kerjanya. Dan cahaya malap yang datang dari atas kami, sesekali akan dipenuhi dengan hembus asap rokok yang tak henti-henti sepanjang kami duduk di sana.

Dee Jr., dia mungkin boleh orang lain pandang sebagai seorang yang lain cara fikirnya, tapi bukan untuk aku. Untuk aku, dia cumalah jasad bodoh yang dah mati, dia tak hidup. Matanya menceritakan tentang bagaimana sebenarnya, dia mahu keluar dari dunia nyata ini, keluar dari realitinya. Realiti yang tak mungkin dia sendiri fahami. Dia bodoh, dan dia mudah panik, dan disebabkan oleh faktor-faktor itulah aku berada di sana, di sebelahnya, di bawah malap cahaya yang berasap itu, mendengar kepada keluh kesahnya yang tak mungkin akan habis.

Dia ketakutan. Ketakutan ketika dia sedang menghadapi krisis di antara dia, dan Fatimah. Krisis yang terlah membuatkan dia perlu kembali kepada hidup asalnya- bersendiri, secara emosinya.

Pandangannya dilemparkan hambar ke hadapan. Ke deretan botol-botol sunyi yang tersusun di atas rak sana. Kedengaran perlahan keluhnya di balik lagu-lagu yang terpasang di dalam pub itu. Malap-malap cahaya yang terpancar sesekali menyuluh penglihatan kami, seolah-olah cuba memainkan peranannya di sana, cuba untuk memberitahu kepada asap rokok bahawa mereka perlu hiburkan kami.

Aku teguk lagi bir masuk ke dalam mulut aku, lalu membasahkan tekak aku yang kesejukkan, memberikan hangat yang tinggal untuk seketika di anak tekak aku. Aku bilasnya dengan menyedut asap rokok. Hidup yang sihat.

Jangan risau, ini bukan kali pertama perkara seperti itu berlaku. Sepanjang aku mengenalinya, aku menghabiskan sebanyak tiga per empat masa kami dengan menjadi ‘penasihatnya’. Jadi, aku boleh tenang di dalam menghadapi situasi itu, situasi yang tak mungkin boleh orang lain tangani. Dia terlalu menjengkelkan bila di dalam keadaan yang seperti itu.

Jadi, aku tenang. Aku betulkan posisi duduk aku, dan aku sandarkan sebahagian badan aku kerusi bar itu. Aku hembuskan perlahan asap rokok ke atas, menerjah lampu malap. Aku kawalkan nafas aku, dan aku cuba susunkan ayat-ayat aku, supaya tidak menjadi bahan perdebatan kelak.

Tapi, tak susah. Dia bodoh. Dan dia adalah orang bodoh yang sedang ketakutan dengan kehilangan, dan sedang di dalam ambang maut, memikirkan tentang apa yang boleh berlaku selepas ini. Jadi, ada banyak lohong-lohong kosong yang boleh aku masuki dan boleh aku tusuki, dan isi dengan hal-hal yang perlu, supaya dia boleh reda semula, dan kembali menjalani hidup gilanya.

Aku minta lagi sebotol bir dan aku minta segelas whisky untuk Dee Jr. dan seperti anak kecil, aku tenangkan, aku berikan gula-gulanya, aku berikan alcohol kepadanya, dan aku cuba contengkan pelangi kembali ke atas mukanya. Aku benci melihat dia mengerutkan dahinya. Imej yang membencikan itu, tak mungkin aku boleh tangani. Langsung, aku perlu berusaha untuk mengelakkan situasi yang tak mampu aku tangani itu.

Aku lihat pada tubuhnya. Aku hirup perlahan bir masuk ke dalam mulut aku. Aku bersihkan kesan buih di bibir aku. Aku letakkan gelas kembali di atas meja dan aku pandang kepada susuknya. Dia cuma melemparkan pandangan hambar dan takutnya ke deretan botol-botol arak mahal itu.

Kini, dia perlu belajar untuk hidup sendiri kembali, seperti sediakala, seperti sebelum dia mengenali Fatimah di persidangan Herba sedunia. Dia kini perlu belajar untuk tidak dihiraukan, dan dia perlu belajar untuk hanya menyimpan apa yang difikir dan dirasakannya kepada dirinya sahaja. Dia tak punya Fatimah lagi, dan Fatimah sendiri, aku yakin dah tak punya perasaan kepada dia. Kebodohan Dee Jr. sendirilah aku yakini yang menjadi punca kepada semua permasalahan mereka.

Ego. Dia memang terkenal dengan egonya, ego yang selalu bercampur gaul dengan emosi dan rasa takutnya yang datang entah dari mana. Jadi, bodoh. Aku dah nasihati dia banyak kali, dan dah beribu Ringgit duit yang telah dia habiskan untuk menghadiri sesi terapi yang aku adakan khas untuk dia di bar itu.

Tapi, dia masih belum berjaya. Mungkin, baik untuk aku. Aku masih berpeluang menikmati arak percuma tanpa henti, tanpa had dan aku akan disumbat dengan makanan-makanan enak, dan rokok mahal, dan aku punya sesuatu untuk aku lakukan di waktu lapang kami.

Jadi, aku rela menjadi pendengar yang setia. Dan, dia sendiri dengan rela menjadikan aku predator yang akan membaham apa sahaja yang ada di depan aku.

Dan, ketika malam itu, Dee sendiri tahu yang segalanya telah berakhir. Apa yang tinggal cumalah dua jasad yang saling mengenali, dan tak ada lagi perasaan yang tertinggal. Kebodohan yang Dee miliki, telah menghakis perasaan-perasaan yang mereka ada sebelum itu, dan aku ucapkan tahniah kepadanya malam itu.

Aku tak tahu apa yang perlu aku katakan padanya, dan aku tak tahu jika apa yang aku cakapkan itu akan mampu mengubah apa-apa dan aku tahu aku perlu mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa, tidak juga untuk bercakap apa-apa, selain menemankan dia, sambil memberikan dia ruang untuk berfikir, tanpa perlu dia rasa yang dia sedang bersendiri.

Aku pandang kepadanya, dan aku hembuskan perlahan asap rokok ke atas. Lampu malap kelihat indah menari, bersama dengan kepul-kepul asap, di malam Jumaat, ketika Dee sedang sakit kepala memikirkan kebuntuannya.

Aku diam.

Aku tak tahu, dan aku pesan lagi beberapa botol bir, dan aku ucapkan terima kasih kepada Dee Jr.

Satu malam lagi, Dee Jr. kebuntuan bersama dengan aku. Datang mengharap jawapan, tapi kecewa, dia pulang hanya dengan poket kosong dan ketakutan yang tak menghilang.

Padan muka.

Sunday 11 December 2011

Nadine


Satu hari nanti, anak kecil ini akan tahu betapa cool nya ayah dan ibunya. Percayalah. Aku akan hidup cukup lama untuk aku ceritakan kepada dia, satu hari nanti.

Dan untuk kedua ibu bapa anak kecil ini, tahniah. 




Kisah Beg 2



Aku belajar tentang sesuatu, bila aku pandang pada beg koyak aku. Aku belajar tentang kehilangan dan tentang bagaimana kehilangan itu sebenarnya berlaku di atas kebodohan aku sendiri. Kebodohan yang datang riak dan angkuh bersama dengan ego aku.



Jadi, aku terduduk. Terjelepuk di satu sisi ruang hidup aku, memikirkan kembali, apa sebenarnya yang sedang berlaku, bagaimana beg ini boleh koyak?



Aku runsing. Aku tak tahu, apa perlu aku tunjukkan. Aku tak tahu, apa reaksi aku, dan apa yang aku rasakan sebenar-benarnya.



Untuk sekali, Chuck Palahniuk benar. Tentang bagaimana sesuatu itu boleh berubah secara drastik bila kita tersalah membuat langkah.



Sekarang, aku memegang beg yang koyak ini, dan aku tersedar. Tapi, dah terlambat.



'Esprit de l'escalier' bak kata Palahniuk yang mengambil kata-kata orang Perancis.



Aku terduduk. Merenung, dan cuba untuk fahami. Bukan yang lain, tetapi cuba fahami aku sendiri.



Dan, kepada beg yang koyak, maafkan aku. Aku tak pernah bermaksud untuk menyeksa kau, atau menyakitkan kau. Aku cuma terfikir, itulah yang terbaik boleh aku lakukan. Tapi, aku juga manusia- punya takut, dan punya persoalan yang belum terjawab.



Beg, untuk sekali ini aku mahu kau gembira, mungkin bersama tuan yang baru, atau bersama sang alam sahaja. Aku mahu kau gembira, dan maafkan aku.

Wednesday 7 December 2011

Kisah Beg

Beg aku koyak. Lalu, aku cari benang. Dan jarum. Aku cuba untuk membaikpulihkan keadaan beg itu seperti sediakala tanpa perlu aku tambahkan apa-apa yang jelas untuk melakukan itu.

Jadi, beg aku koyak.Beg yang dalam masa kebelakangan ini, banyak menemankan aku dengan perjalanan hidup aku. Beg yang banyak menyimpan rahsia-rahsia helap aku, dan beg yang banyak berkongsi hidup dengan aku.

Jadi, beg aku koyak, dan seyakin aku, aku masih belum berkemampuan untuk membeli sebuah beg baru untuk aku gantikan beg aku yang ada ini. Lagipun, beg ini bukan sekadar beg. Tapi, lebih dari seorang kawan, lebih dari segalanya. Dan, jika aku diberikan peluang untuk memuisikan sesuatu, aku akan puisikan rasa cinta aku yang jujur, terhadap beg yang aku miliki ini.

Tapi, ia sudah koyak. Semakin hari, aku tahu koyaknya akan bertambah teruk dan aku yakin, tak banyak yang boleh aku lakukan di dalam usaha menyelamatkan beg ini.

Tapi, aku tak boleh terus bersetuju kepada graviti yang cuba menjatuhkan diri aku. Aku perlu cuba.

Dan kerana itulah aku masih mencari-cari jarum dan benang, untuk aku cuba untuk baiki kerosakkan yang ada ini.

Aku tak salahkan beg kerana ia rosak. Tapi, aku akan salahkan diri aku kerana tidak tahu menjaganya ketika ia masih di dalam keadaan elok.

Maafkan aku, beg.

Mendung Petang Bersama Dee Jr.

Aku sandarkan badan aku ke dinding. Aku capai kotak rokok, dan aku nyalakan rokok yang aku keluarkan. Cahaya matahari cuba menyelinap  masuk ke dalam bilik kami, ke dalam bilik Dee Jr. yang aku tumpang semenjak beberapa masa yang lalu.

Aku letakkan tangan aku di atas kepala Dee Jr. dan aku usap rambut lembutnya, sambil mata aku memandang dia, dari atas- satu sudut yang tak selalu aku jengah. Dahinya tidak luas, dan sebahagian dari rambutnya menutup ruang sempit yang ada di antara dahi dan rambutnya. Hidungnya tidak mancung, dan tidak pulak terlalu penyek. Matanya, terkebil-kebil, dapat aku lihat dari pergerakan kelopak matanya.

'Apa' tanya aku kepada dia, 'yang buat kau happy?' dan aku hembuskan asap rokok itu bebas ke udara.

Dia bangkit, membetulkan duduknya, dan menarik tangan aku, meletakkan rokok itu ke bibirnya, sambil aku masih lagi memegang rokok itu. dihembuskannya perlahan, dan dinikmati pemandangan beberapa saat itu, dengan diam. Dengan penuh kesunyian, dan dengan penuh ketekunan. Padahal, itu cumalah asap yang terbebas dari mulutnya. Asap yang penuh dengan isi-isi yang aku sendiri tak dapat pastikan. Tapi, badan ini, memerlukan sesuatu untuk dinikmati.

Jadi, Dee Jr. duduk betul-betul di sebelah aku. Dilentokkan kepalanya, jatuh ke bahu aku. Dia lepaskan keluhan kecilnya. Tapi, wajahnya masih terukir dengan senyuman. Senyuman yang jelas terlihat, tak ikhlas.

'Sall,' balasnya, 'ini dunia. Tapi, ini bukan dunia kau, definisi gembira untuk kau, bukan sama dengan apa yang mereka ada'. Dia kembali menarik tangan aku, dan diletakkan rokok itu di bibirnya.

'Kau takkan mampu hidup di dunia mereka. Sedarlah' sambungnya.

'Gembira. Gembira. Gembira' katanya, sambil dia terus mengelamun jauh.

Monday 5 December 2011

Bob


Sekadar gambar hiasan.

Hari Apung

Hari ini, atau mungkin pagi ini, aku panggilkan sebagai hari/pagi apung.


Semua hal yang ada dalam hidup aku akan aku apungkan bagi membolehkan aku mencari apa-apa yang tercicir di atas lantai hidup aku. 


Aku akan apungkan, dan aku akan cuba cari semula, satu persatu. 

Pagi Isnin

Masih lagi pagi yang sama seperti pagi-pagi yang lain. Mash lagi penuh dengan kelas-kelas yang dijanjikan, dan masih lagi penuh dengan perasaan-perasaan yang bermacam.


Tapi, hidup harus diteruskan, atas alasan apa sekalipun.


Selamat pagi, Isnin. 

Orang L

Hari ini, aku mulakan muka surat baru dengan berjalan kaki sejauh beberapa kilometer untuk mengambil basikal aku waktu matahari baru saja menjengah tanah Semenanjung ni.


Jadi, aku berjalan sejauh beberapa kilometer, dan cuma mendengar sesekali bunyi kenderaan yang lalu, dan aku ambil ia sebagai lagu yang menemankan aku dan perjalanan aku. Dan, sesekali aku akan cuba hiasi perjalanan aku dengan menghisap rokok- sebatang demi sebatang.


Jadi, sejauh beberapa kilometer, aku tak punya apa pun. Tak punya diri, dan tak punya tenaga. Apa yang aku mahu, aku sampai dan berjaya menuju destinasi aku agar aku dapat bersama dengan Ramona- si Basikal.


Jadi, apa yang tinggal untuk aku cumalah beberapa bunyi kenderaan yang lalu di tepi aku dan juga kepala yang terlalu luas untuk memikirkan apa lagi yang ada dan masih boleh difikirkan.


Jadi, untuk sejauh beberapa kilometer, aku banyak berbual, bersoal dan berjawab bersama dengan diri aku sendiri. Tentang apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku, dan apa yang sedang berlaku.


Lalu, aku katakan pada diri aku, mengingatkan semula diri aku bahawa semua ini adalah balasan kepada ego dan emosi yang aku miliki.


Jadi, aku tak kisah. Jika ini yang aku terima, bermakna, aku belum cukup elok untuk apa sekali pun, melainkan dari memenuhkan masa aku dengan mengkaji semula kelas-kelas yang dah aku duduki, dan cuba cari semula, apa kekurangan yang ada, dan aku mungkin boleh bangun semula dan berjaya menjawab soalan-soalan peperiksaan hidup ini.


Jadi, sejauh beberapa kilometer, peluh aku menitis jatuh bersama dengan segala persoalan, dan jawapan yang ada.


Masih buntu, dan masih lagi jahanam. 


Tapi, tak apa. Jalan masih panjang dan jadual kelas masih penuh. Ada banyak yang aku perlu ikuti.


Mungkin.

Saturday 3 December 2011

Potong 2

"Di balik keheningan malam, dan kegelapan lorong-lorong kecil itu, Sam berjalan perlahan. Di telinganya tersumbat kemas earphone, terdengar jelas, bait-bait marah xcrimescenex, dan terlihat dengan terang titis peluh yang jatuh membasahi sebahagian dahinya. 

           
Sam meneruskan perjalanannya. Tiap langkah yang diambilnya diatur kemas. Setiap langkah yang dibuat, dilengkapkan sekali dengan hembusan asap rokok bebas ke udara.           

 Hatinya tak senang, dan kepalanya tidak tenteram. Kanabis yang diambilnya tak meninggalkan sebarang kesan padanya. Tak senang, tak lapar, dan tak malas.            

Jadi, beberapa jam sebelum itu, dia bangkitkan dirinya dan diajaknya Kafka- anjing garang berkaki pendek milik dia dan Jude keluar bersiar."

Potong 1

"Sam berlalu pergi, meninggalkan tingkap biliknya lalu melabuhkan punggungnya di atas katil. Dicapainya secara random sebuah buku yang tersusun kemas di atas meja kerjanya. Dia sandarkan badannya ke dinding dan dicapainya remote control untuk dia kuatkan lagi muzik tulisan Mozart yang ditelannya sejak petang itu.


Awan malam sudah semakin gelap, sudah hampir mahu hujan ketika itu, ketika Sam menyandarkan badannya ke dinding, dan ketika muzik sunyi Mozart menemankan Sam mengelamun sendiri di dalam biliknya.


Di luar, Jude dan Samsa sedang sibuk menghabiskan sisa-sisa malam mereka dengan menghembuskan asap-asap kanabis bebas ke udara, seolah seperti mereka membebaskan merpati-merpati terkurung yang terlihat jelas kesedihan di mata mereka.


Mereka memang tak akan menganggu Sam bila dia membawa dirinya jauh dari orang lain kerana itulah sifat Sam- dia lebih mudah untuk duduk bersendiri di dalam dunianya sendiri. Tak ada siapa yang benar-benar faham apa yang sebenarnya otaknya sedang fikirkan.


Trek ke empat dari CD Mozart sedang kedengaran- Pathetique. Sam mengelamun, memandang kosong kepada dinding. Seolah di depannya terhidang satu perjalanan jauh yang tak nampak penghujungnya. Dan, dia berdiri di garis mula, seolah dia mahu selesaikan hari minggunya itu, dengan menyusuri perjalanan yang ada di depannya itu."

Friday 2 December 2011

Tikus Robot Kecil

Tadi, ada tikus robot kecil datang dekat pada aku, menggesek-gesekkan hidungnya di telinga aku. Lalu, aku yang terbaring, memandang. Di keliling kami, cuma ditemani dengan paranoia dan persoalan yang menakutkan, tentang hari esok, dan tentang segalanya. Lalu, aku tinggikan alunan Mozart, menemankan emosi aku, dan menemankan tikus robot kecil.


"Ini, masa untuk kau belajar, bodoh" kata tikus robot kecil. Dibisikkan ke telinga aku, seolah aku sedang dalam koma, dan diharap untuk bangkit kembali menempuh jalan-jalan itu.


Aku cuma memandang, dan sesekali aku palingkan muka aku kepada skrin komputer. Cuba menggambarkan Mozart sedang bersendiri dan menjawab segala persoalan dan paranoia yang datang menjengahnya.


Mozart lalu tidak menghiraukan aku yang berfantasi kepada kesunyiannya. Lalu, tikus robot kecil pergi. Pergi meninggalkan aku yang sedang terapung di dalam persoalan aku sendiri. Pergi dengan kekecewaan bila aku menolak untuk menarik dia masuk ke dalam fantasi itu. Sedangkan, Mozart yang entah di mana realitinya, aku pandang ada di sisi aku.


Aku memang mengecewakan. 


Dan, aku tahu, tikus robot kecil turut rasa yang sama.


Maaf.



Terapung di dalam hujan

Apa yang tinggal sekarang?


Tak ada apa, cuma apa yang aku harapkan, dia gembira dengan jalan yang dia pilih, dan aku harap, dia akhirnya akan menjalani kehidupannya seperti sediakala, sepertimana yang dia jalani, sebelum aku tarik dia masuk ke dalam hidup aku.


Jadi, apa yang tinggal sekarang?


Sekarang, cuma tinggal jasad kami, yang sedang berlakon, tersenyum menempuh hari-hari kami tanpa kami mampu untuk berkomunikasi seperti sedia kala, dan aku sendiri, kadang-kadang terasa mahu katakan sesuatu, cuma aku perlu hormati pendiriannya, untuk tidak lagi mendengar apa pun dari aku, supaya, keputusan yang telah diambil, tidak akan diubah.


Aku faham, dan aku rela untuk itu.


Lalu, apa lagi yang tinggal, sekarang?


Aku tak lagi mampu untuk bertanyakan khabar dia, atau apa yang dia rasakan, atau apa sekalipun. Persoalan, atau penyataan yang keluar dari rongga aku, kebanyakkan akan dibalas dengan senyap. 


Tapi, aku gembira kerana dalam masa yang sama semua kegilaan ini berlaku, dia bertemu pula dengan seorang teman yang sempurna, yang boleh diajak berbual dan boleh diajak berkongsi hidup, yang mana itu adalah sesuatu yang tak pernah aku berikan pada dia.


Jadi, apa yang tinggal sekarang?


Sekarang, cuma ada aku, dan basikal, dan laptop, dan juga beberapa tempat untuk aku tuju. Untuk aku nikmati semua tembakkan laju yang menakutkan, aku sembunyikan diri aku, jauh dari norma aku, aku biarkan, dan aku telan semuanya.


Mungkin, ini adalah masa untuk aku menelan, dan belajar. Aku katakan pada diri aku, inilah hukuman yang aku terima dari apa yang aku miliki dalam diri aku- ego dan emosi aku.


Jadi, untuk sekali ini, aku sedang belajar. Belajar sambil aku mentelaah buku. Buku-buku paranoid tentang kehilangan, dan tentang pekongsian yang jahanam


Aku tak bermaksud untuk mencari sebab terjadi, kerana aku tahu, jawapan yang aku temui akan menudingkan jarinya kepada aku. Aku yang bersalah, dan aku telah bersalah sejak lama dahulu.


Tapi, apa yang aku mampu janjikan, adalah sayang, dan cinta, yang tak akan pernah lupus.


Sekurangnya, itu yang mampu aku miliki, dan mampu aku simpan di dalam diri naif dan daif ini.


Aku berharap, bintang akan terus tersenyum, langsung di masa kelak, dia akan menemui segala apa yang dimahukannya.


Aku? Aku telah pun mati, hanya jasad terapung, memenuhkan ruang yang dipinjam.