Tuesday 31 January 2012

Karim, Jangan Buat Hal

Karim mahu aku dan Dee Jr. percaya bahawa dia memang mahu kami makan sekali biskut coklat yang dia bawa masuk ke dalam bar itu, beberapa bulan sudah. Baunya, menganggu kami menikmati berangan kami di depan deretan botol arak mahal.


Dia mahu kami percaya, dia mahu berikan sedikit, mungkin secubit kepada kami, sedangkan mukanya, tindak-tanduknya, langsung tak melambangkan itu.


Jadi, aku dan Dee Jr. cuma tersengih-sengih sambil menolak tawarannya.


Amatur.

'Macamana kalau aku hidup sampai 200 tahun?'

'Bodoh,' kata Karim. Yang kemabukkan. Hanya dengan meminum dua botol kecil bir.


Amatur.


'Kau jangan layan dia' sampuk Dee Jr., yang masih belum mabuk-mabuk walaupun dah bergelas-gelas, dia curahkan dan telan ke dalam mulut dia.

Karim

Karim perlu pergi. Dia tak tahan berada di dalam bar, macam orang bodoh, duduk di sebelah aku dan Dee Jr. kembukkan sambil membebel pasal dunia. Dan hidup. Dan, cinta, untuk Dee Jr.


Dia mual duduk di dalam lingkaran tak sempurna kami. Dia semak. Dia sesak nafas. Tapi, dia masih senyum. Cuba menyimpan apa yang dia rasa pada tiap kalinya. Dia mahu jaga hati kami.


Karim perlu beri alasan. Dan, Karim perlu cari lingkaran yang baru.


Karim perlu lari.



Kepada Dee Jr.

Kawan baik.


Dan kau, cumalah... habuk. Mungkin. Itupun, kalau kau benar wujud.


Dan, dah tiba masanya kau kuatkan diri kau untuk tukarkan kata ganti diri yang kau biasa gunakan.


Bukan 'kita', atau 'kami'. Tapi, 'kau', 'aku', 'dia' dan 'mereka'.


Maaf, jasad kau, tidak lagi valid di dalam buku ceritanya.


Faham, Dee Jr.?

Monday 30 January 2012

Dee Jr. dan Buku Lusuhnya.

Sedang aku cuba hendak berbual dengan dinding biru tadi, aku teringatkan kepada Dee Jr. dan beberapa hasil tulisannya yang pernah dia berikan kepada aku. Ada yang masih segar di atas kertas. Dan ada yang sudah terpahat tiap baitnya di dalam kepala aku.


Jadi, aku akan cuba selongkar lagi untuk cari apa yang tinggal, dan apa yang aku ingat.


Aku perlu buat. Walaupun Dee Jr. mungkin adalah sampah untuk orang lain, buangan untuk manusia lain, aku tetap akan selalu ada dekat dengan dia. Dan, cuba untuk sokong apa yang dia buat, bila hal itu tidak melampaui batasan dia sebagai manusia. 


Dia bodoh, mungkin. Tapi, dia juga punya perasaan, dan dia juga berhak untuk berkongsi. Jadi, memandangkan aku cuma ada dinding biru yang diam ini, aku ajak jiwa Dee untuk datang sekali, dengan bait-bait ayat songsangnya.


Nanti, aku akan masukkan dalam entri yang akan datang.

Tersalah Kaunter Pertanyaan

Abang Kaunter Pertanyaan,


Maafkan saya kerana tersalah pergi ke kaunter yang tak sepatutnya untuk bertanyakan soalan yang tak sepatutnya kepada kakitangan yang tak sepatutnya.


Mungkin, kalau dulu saya boleh tanyakan soalan itu di kaunter yang sama. Tapi, sekarang ni, bidang dah berubah. Saya tak dibenarkan lagi untuk ditanya (saya dibenarkan bertanya, tetapi hakikatnya, kaunter itu, bukan untuk saya lagi. Hakikatnya, nama saya telah disenaraihitamkan untuk bertanyakan apa jua jenis soalan di sana).


Dan, maafkan saya kerana lambat menyedari bahawa saya tersalah kaunter. Saya hanya menyedarinya setelah saya ajukan soalan itu.


Harap, kamu boleh maafkan saya dengan senyum yang ikhlas. Kerana saya ikhlas meminta maaf. Saya tak mahu abang bersedih kepenatan hidup di belakang Kaunter Pertanyaan. 


Saya mahu abang gembira lalu boleh menjadi lebih produktif di dalam hidup abang.

Selamat Bertarung.

Kawan, 


Selamat berjaya untuk malam ini. Selamat menyudahkan misi kau untuk malam ini, walau dengan siapapun kau sudahkan misi kau itu, walau gelap mana pun kisah yang ada di balik jalan cerita itu, walau teruk mana pun aku, seteruk kain buruk sekalipun, aku mahu ucapkan selamat untuk kau.


Selamat berjaya.


Itu pun, kalau ucapan aku ini, yang cacat dan tidak sempurna hidupnya, yang tak akan mampu untuk mengubah sesuatu menjadi yang lebih baik walaupun dalam banyak cubaan, masih valid dan relevan untuk kau, yang sentiasa ditemani manusia-manusia cool yang tahu tentang semua benda, yang betul dalam semua persoalan, yang mampu untuk setiap hal, dan yang jauh lagi baik dari aku ini. Yang kau yakin akan dapat melihat dengan mata hati satu hari nanti, yang kau tahu akan memberikan apa yang baik untuk kau- persekitaran, pemikiran, kesenangan yang baik untuk kau. Aku harap, untuk sekali ini, ucap aku masih lagi valid dan relevan.


Selamat.

Baca

Kain buruk.

4:44 Petang di Pekan Yiyi, 1985

Di Pekan Yiyi, kita melihat tembok-tembok itu hampir roboh,
di celah-celah jendela, kita mengintip, takut dalam tanya, rebah.


Lalu, jiwa-jiwa rebah di Pekan Yiyi, berantakkan,
Tak ada kami; hanya mereka dan aku.


Dan, percaturan di hujung pedang lantas berlangsung,
Bukan lagu kami; hanya lagu mereka dan aku.


Jadi, kita cuba selamatkan, pertahankan tembok-tembok yang hampir roboh,
di satu ceruk, di satu lorong, di satu sisi di Pekan Yiyi.


Teriak tempik, Pekan Yiyi sekali lagi beraya, tanpa adanya gaya,
dan di satu meja, cerita yang ditulis, bukan dari pena yang sama, bukan di kertas yang sama.


Dan, ketika Pekan Yiyi sedang di dalam berantakkan, 
aku cuma miliki kubu biru untuk aku bicarakan ketakutan aku.



Dan, di Pekan Yiyi, ketika malam itu sedang berantakkan, 
aku menulis di dalam ketakutan yang maha.



Dee Jr., 4:44 Petang di Pekan Yiyi, 1985.



Cerita-ceriti.

Satu perkataan.


Yang boleh buat aku super-mual.



Keliru- Nurul dan Ajai

Mungkin, sudah tiba masanya, aku perlu mencari jaringan sosial atau/dan anti-sosial yang baru.


Nasihat Dee Jr. pada aku beberapa bulan sudah.


Sambil aku perlu diamkan diri, katanya. Supaya keadaan tak berubah. Supaya tak ada siapa yang akan terpaksa berusaha mengubah keadaan. Mengubah hakikat tanpa jujur.


Entahlah. Aku keliru sebenarnya, Dee.



Sakit Tuan

Bangkit dari tidur sebentar, aku terbaca mesej dari Dee Jr.


Aku buka cepat-cepat. 


"Kau tengok macamana dunia punya permainan. Tanya diri kau, teruk sangatkah kau? Sampai dunia perlu berikan kau alasan. Sampai kau, dan dunia sama-sama takut. Teruk sangatkah kau, sampaikan kau diperlaku seperti ini?


Dan, aku tahu kau akan tahu. Cuma, kau terlalu takut untuk tahu. Kau takut dengan realiti kau. Dan, kau sangup tadah kesakitan, hanya kerana itu. Kau takut bila kau sedar apa yang kau ada. Dan, apa yang kau dah tak ada. Manusia."


Aku balas.


Dia diam. Kembali menghilang.


Selamat menggembara, Dee Jr.

Sunday 29 January 2012

Puntung Rokok

Diam. Diam.


Gua terlupa. 


Maaf. Gua betul-betul terlupa.

Belakang BCB

"Bukan mudah untuk menjadi pilihan terakhir bila kau pernah menjadi pilihan pertama. Lagi besar dan berat tanggungjawabnya" Dee Jr.



'Wah, shopping sakan, nampak?'

Untuk pertama kali dalam hidup, aku perlu berazam. Aku perlu meletakkan beberapa hal di dalam list aku. List hal-hal yang perlu dan tak perlu aku buat untuk tahun ini. 


Jujur, setiap tahun, setiap kali datangnya Tahun Baru, aku tak akan terlintas untuk memasang apa-apa azam, atau cita-cita yang perlu aku penuhi di dalam satu-satu tahun. Aku malas nak fikir, dan aku malas nak merancang. Hidup aku sepatutnya berlangsung tanpa ada sakit kepala memikirkan perancangan-perancangan yang biasanya tak akan menjadi.


Jadi, untuk 2012, aku penat. Dan, pada malam Tahun Baru, aku menyatakan hasrat aku itu kepada Dee Jr. dan, dia cuma membalas pendek, 'loser'.


Jadi, untuk 2012 aku telah meletakkan beberapa sasaran untuk aku cuba lakukan. 


Pertamanya, dewasa ini, aku banyak menghabiskan pagi aku dengan mengikuti kelas-kelas belajar bermasin bass yang di-youtube dari akaun Flea- si pemain bass gila dari Red Hot Chili Pepers. Video-video tutorial disunting menjadi begitu cantik sehingga aku tak pernah bosan untuk menontonnya berulang kali. Ditambah pula dengan ajaran Flea, yang seolah menyindir aku, bila dia ajar aku cara untuk pasang tali, dan beritahu aku, kenapa aku perlukan pick-guard.  Jadi, aku meletakkan sasaran, (sekurangnya) belajar satu bassline Flea dengan sempurna sebelum menjelangnya hujung Disember 2012, itupun kalau masih sempat. Kalau apa yang Puak Mayan ramalkan itu benar, aku akan cuba capai sasaran aku ini, selewatnya, awal Disember 2012.


Dua tahun sudah, aku jualkan DSLR aku kepada kawan aku lalu cuma meninggalkan aku dengan satu Wide Lens dari Tamron, yang kini hanya menjadi bahan hiasan di dalam bilik Akid memandangkan aku masih belum mampu untuk membeli badan kamerannya. Jadi, sejak itu, aku kurang keluar dan mengambil gambar dan kalau ada sekalipun, aku akan keluar membawa kamera analog yang dipinjamkan oleh seorang kawan kepada aku, dan konflik yang aku ada bila mengambil gambar dengan kamera analog adalah, duit-duit yang aku perlu keluarkan untuk membeli filem dan memprosesnya. Tapi, jujur aku sukakan kepada cabaran dan surprise yang kamera analog boleh berikan kepada aku.


Tapi, untuk tahun 2012, aku rasa aku perlu kurangkan untuk berada di dalam lapangan ini, atau mungkin aku boleh terus keluarkan diri aku dari lapangan ini memandangkan, tidak ada apa sangat yang boleh aku lakukan dengan fotografi. Kalau dulu, aku akan bawa kamera aku ke mana sahaja, dengan semangat yang dunia perlu dibekukan momennya. Tapi, sekarang aku dah tak peduli. Semua benda, kebanyakkan kalinya, akan berulang. Sama. Bosan. Dan menyakitkan otak. Jadi, aku tak mahu lagi membekukan semua momen itu.


Dan, memandangkan aku ni bukan penyerap ilmu yang baik, aku rasa dah cukup apa yang aku tahu, mengenai kamera analog. Dah tak ada apa yang boleh aku serap lagi. Aku tak akan boleh buat yang terbaik, dan aku tak akan tahu lebih lagi. Aku tak akan dapat tangkap momen-momen sepertimana yang aku lakukan satu masa dahulu. Aku tak akan pernah faham apa-apa tentang kamera, DSLR atau analog dan aku tak akan pernah berjaya lagi untuk membekukan momen-momen yang sempurna.


Jadi, untuk apa aku hurung lagi ke hulu dan ke hilir kamera tu semua? Berat dan memenuhkan ruang. Dulu, aku sanggup memenuh dan memberatkan beg aku dengan kamera dan aksesorinya kerana aku masih lagi yakin, dan masih lagi percaya. Tapi, bukan sekarang.


Jadi, 2012 aku akan kurangkan kamera, atau lenyapkan terus kamera dari hidup aku. Sekurangnya, Akid dan Fatimah masih lagi mengambil gambar, dan mungkin aku boleh gembira merasakan teruja mereka. Sambil aku menikmati hasil-hasil kerja cantik mereka.


Tahun lepas, bulan Oktober kalau tak salah aku, kontrak kerja aku tamat, dan sebaik tamatnya kontrak aku sehingga ke hari ini, aku masih lagi mencari kerja, dan seperti sperma yang tidak sihat, kerja-kerja yang aku cari itu semua, tak melekat di badan aku, yang aku bayangkan di dalam keadaan ini, sebagai ovum. Telur. Yang perlu disenyawakan. Untuk menjadi satu hidup.


Jadi, untuk tempoh beberapa bulan ini, aku banyak menghabiskan masa aku dengan meng-download porno gay, dan mencari kerja, di dalam masa yang sama. Tapi, masih belum berhasil.


Jadi, untuk 2012, aku meletakkan sasaran yang aku perlu cari kerja, atau sumber pendapatan, yang membolehkan aku untuk bernafas dengan lebih baik. Tak payah besar angka gajinya. Tapi, cukup untuk aku bayar untuk tempat tinggal, rokok, dan modal untuk aku menjalankan perniagaan sampingan. Kecil-kecil. Mungkin, menjual sayur-sayuran di taman perumahan berdekatan di waktu malam. Mungkin.


Dan untuk tahun 2012 juga, ada beberapa lagi perkara yang aku dah letakkan di dalam list-nya. Tapi, terlalu kelakar untuk aku tulis di mana-mana. Jadi, secara kasarnya, aku akan fokuskan diri aku untuk tiga hal ini. Tiga hal utama yang perlu aku selesaikan sebelum sampainya hujung tahun nanti.


Dan, mungkin awal tahun depan, aku akan duduk di sebelah Dee Jr., sebagai seorang yang segar. Seorang yang baru, akibat dari perlaksanaan hal-hal yang aku nyatakan tadi.


'Kau memang loser. Loser' kata Dee Jr.


Aku tenyeh puntung rokok, dan aku buat-buat tak dengar. Dan, ya. Aku perlu cari kawan berborak di bar yang lain.


Di dalam pub, kami memerhati bunga api, cuma di skrin TV.


Selamat Tahun Baru, Dee.

Saturday 28 January 2012

Lee, What?

Kalau ditakdirkan aku ambil peduli tentang siapa yang 'memimpin negara aku' sekalipun, aku tak akan kisah dan peduli tentang bagaimana dia mahu masukkan zakarnya, dan ke mana dia mahu masukkan zakarnya.


Bukan maksud aku untuk kata apa yang dituduhkan kepada Anwar Ibrahim itu adalah benar.


Tapi, jika ia benar sekalipun, apa yang perlu aku pedulikan? Jika aku ingin ambil tahu sekalipun?


Moral, tidak boleh buat kerja.


Kalau dia bermukah dengan perempuan asing di Thailand sekalipun atau dia nak berjubur dengan pembantunya sekalipun, dan  di dalam masa yang sama, dia mampu untuk pastikan kelancaran perjalanan pentadbiran negara, siapa aku untuk membising?


Kalau dia orang yang sempurna agamanya sekalipun, kalau dia tak mampu nak tadbir negara, kalau dia tak mampu nak pastikan ekonomi negara ni bangun dengan pesat, untuk apa aku pilih dia?


Mereka (ahli-ahli politik) bodoh kerana menjual agama di dalam percaturan itu dan kamu (yang percaya dengan perang agama mereka) pun sama bodoh.


Jadi, situasinya adalah; si bodoh menyalak, cuba mempertahankan si bodoh. 


Sedarlah. Inilah masanya untuk meletakkan isu-isu moral bodoh, dan agama di luar pentadbiran negara. Setiap manusia sudah cukup bijak untuk meng-agama-kan, dan me-moral-kan diri mereka sendiri.


Ah.


Untuk aku, semuanya tetap akan sama. Dari dulu, sekarang sampailah ke hari esok, selagi keangkuhan individu-individu di dalam bangsa itu tidak dibuang, semuanya akan sama sahaja.


Sampai bila-bila pun, orang akan persoalkan tentang isu moral. Tentang agama.


Bosan.


Jadi, sampai bila pun, tak ada apa yang akan berubah, betul-betul berubah. Kerana bila percik api perubahan baru nak kelihatan, ada banyak orang yang akan mula menggelabah mempersoalkan halal, atau haram tindakkan itu.


Pergi mati.


Bodoh.


Nasib baik, aku lebih suka habiskan masa di rumah, bermastrubasi. Dan menonton porno gay. Dan, kalau aku mati sekalipun, aku tak akan peduli. Jadi, jatuh bangunnya politikus semua itu, lagilah aku tak akan peduli.


Tapi, aku cuma mahu menaip. Menaip sambil membayangkan yang aku ni adalah rakyat yang peka pada perkembangan semasa politik negara. Padahal, untuk aku, semuanya akan sama sahaja. Tak kisah siapapun yang memerintah, negara ini akan tetap jahanam, kalau rakyatnya tetap bodoh, menakut macam ni. 


Takut yang aku maksudkan, bukan takut fizikal.


Tapi, takut untuk fikir, dan takut untuk persoal.


Yang mereka tahu, jilat dan gelabah.


Tinggi mana pun pendidikan mereka, mereka akan panik menggelabah, berpeluh bila ada yang datang bertanya tentang halal-haram ubat gigi yang mereka gunakan.


Jadi, nak membayangkan negara ini berubah? Bila mereka berhenti jadi paranoid dengan status halal ubat gigi, barulah aku boleh nampak spark kepada perubahan itu. Selagi aku tak nampak itu, aku akan terus sumbatkan barang-barang aku ke dalam beg aku, untuk aku berambus jauh dari bangsa jumud ini.


Aku perlu cari bangsa jumud yang lain. Bangsa jumud yang tak membosankan. Yang tak menggelabah pada benda-benda yang tak perlu digelabahkan pun. 


Aku perlu cari bangsa jumud yang tak menggelabah pasal status halal-haram ubat gigi mereka.

Dulu, Kini dan Selamanya.

Dulu, ia membencikan, menyakitkan.


Sekarang, tidak lagi.


Ia cool.


Dan, saya akan tolong ia/mereka jadi lagi cool.

Tanda Awal

Kita semua pun tahu akhir ceritanya;


yang Dee Jr., memang tak mahu berubah, walau apa pun usahanya. Tak perlu dipercayai usahanya;


yang semua jahanam ini, dicetuskan oleh Dee Jr.;


dan apa yang berlaku ini, cumalah paranoia si Dee Jr.


Seperti politik, yang popular pasti akan menang. Yang mampu, pasti akan ada jalan. Dan yang kecil, yang tak popular, sebetul mana pun mereka, mereka tetap salah, mereka tetap bermasalah.

Friday 27 January 2012

'Mungkin. Mungkin aku akan kembali' Lord Sunny Day

Dee Jr. masih lagi belum dapat dihubungi. Tak seorang pun dari kami, termasuk jirannya, yang tahu tentang keberadaannya. Sudah beberapa minggu dia menghilangkan dirinya. Aku masuk ke dalam tempat tinggalnya. Semuanya masih lagi ada di tempatnya, dan tak ada sebarang nota bunuh diri yang aku jumpa. Jadi, dia masih lagi hidup, kalau dia tak digilis bas ketika kemabukkan.


Aku perlukan dia. Aku perlu untuk duduk di sebelah dia di dalam pub, di depan bar, dan menghadap pada deretan botol arak mahal dan terus mengimpikan untuk membelinya satu hari nanti.


Aku perlukan dia. Dunia terlalu penuh dan sesak dengan manusia-manusia sempurna, yang terlalu bijak, yang level intelektual mereka, jauh berbeza dengan aku, langsung membuatkan mereka akan sukar untuk meneruskan perjalanan mereka.


Jadi, aku perlukan seseorang yang memang berada di level total-bodoh, yang tak akan pernah buat aku rasa kecil dan bodoh.


Aku perlu duduk dengan dia, dan rasa yang aku juga hidup, dan lebih baik dari orang lain.


Dee Jr., aku harap kau akan kembali dalam masa terdekat ini. Dan, aku janji, aku akan habiskan banyak masa aku untuk temankan kau merungut dan membenci dunia.


Aku janji.

'Oh, yeah. Sedap, Bang'

Dee Jr., jika kau terbaca ini, aku nak kau tahu, aku memang suka bila kau pergi, dan hilang dari aku, yang membawa maksud sekali, semua kekusutan yang aku ada, akan hilang juga. Sebab kau tak ada. Kau, adalah masalah. 


Jujur.


Dan, bila kau tak ada, aku tak perlu lagi mengayuh, berpeluh-peluh untuk duduk di sebelah kau di dalam bar yang penuh dengan manusia-manusia sempurna yang aku tak kenal. Yang akan merenung aku seperti aku adalah bahan pameran.


Aku gembira bila kau tak ada. 


Tapi, pagi ni aku sedar yang hidup aku kosong. Kosong bila tak ada lagi kayuh berpeluh mengejar Happy Hour, dan duduk di sebelah kau, dengan baju kerja mahal kau sambil kita berdua mendengar kau merungut tentang hidup, dan memandang deretan botol arak mahal yang dah lama kita idamkan.


Aku sedar yang hidup aku kosong, bila tak ada orang yang datang ke tempat tinggal aku di pagi hari, hanya semata untuk mengejutkan aku, dan mengajak aku keluar untuk membenci dunia.


Aku sedar, tanpa kau sebagai alasan, untuk aku benci dunia, aku rasa kosong.


Jadi, jika kau terbaca pos ini, dan kau masih lagi belum papa kedana, silalah hantarkan SMS pada aku. Berikan lokasi bar, dan masa. Aku akan kayuh berpeluh untuk duduk di sebelah kau di depan bar itu, sambil melihat kepada deretan botol arak mahal yang selalu kita idamkan, sambil menemankan kau membenci.


Aku rela, untuk sekali ini.

Lanun dan kapal barunya.

Menonton filem lanun. Yang pernah aku tonton sebelum ini. Yang mana, babak yang paling aku gemari adalah bila mana salah seorang lanun, yang merupakan watak utama di dalamnya, berjaya mendapatkan kapal baru untuk aktiviti lanunnya di perairan epik yang pernah aku lihat.


Dia lapkan kapal itu dan dia pastikan yang kapal itu berada di dalam keadaan yang elok. Sepertimana ketika pertama kali dia mendapatkannya.


Dia teruja dengan lanun-lanun lain yang menemankannya. Lanun-lanun, komrad-komrad baru yang direkrutnya.


Dia senyum. Dan dengan mata yang tertampal sebelah, dia lemparkan senyuman puas.

Dan, aku tonton.



Melihat seorang lanun, teruja dengan kapal dan komrad barunya.


Sedang aku, masih lagi duduk di sofa kuning di bilik Dee Jr., dan memikirkan untuk melabuhkan kapal usang aku.


Selamat berjaya dengan kapal dan komrad yang baru. Dan, selamat berjaya dengan laluan baru yang aku yakin kau akan suka. Dan, skrip kau, memang benar-benar berkesan bila kau berjaya buat aku, sebagai penonton, terasa seperti lanun yang dibuang, dengan jelas. Seperti kain buruk, walaupun aku hanyalah penonton filem itu, dan filem itu, tiada kaitannya dengan hidup aku di dalam dunia realiti ini.


Selamat berjaya dengan imej-imej baru yang akan kau bekukan masanya.


Selamat, lanun. Selamat.


Aku akan nantikan filem yang akan datang, dan jika filem yang akan datang tidak boleh aku temui, aku akan tonton kembali, dan aku akan cari semula babak-babak menarik yang lain.


Pagi Jumaat, dan lanun. Membahagiakan.

A.I, adalah yang paling babi.

Kepada Dee Jr., 


Kau perlu sedar diri. Tentang siapa kau. Siapa kau yang dahulu. Siapa kau yang sekarang.


Dunia takkan beku, masanya. Semuanya bergerak.


Apa yang ada semalam, bukan lagi apa yang kau miliki sekarang.


Otak kau terlalu bodoh untuk menyerap apa sekalipun.


Bodoh.


Kau perlu sedar.



Hakikat

Aku harap, aku bisu, pekak, dan buta.


Atau mati.


Atau tak pernah lahir.


Terima kasih, realiti. Terima kasih kerana jujur.

Dari Parit, Pergi Ke Laut

Tiba-tiba, dalam celik, kau terjaga. Kau tersedar. Seolah, setelah sekian lama, kau tertidur. Tertidur di dalam banyak keadaan. Tertidur ketika tidur.


Tapi, kau diam.


Tak ada apa yang kau boleh katakan. Semua yang ada pada kau, dan yang ada dalam kepala kau, bukanlah apa yang logik lagi.


Kau sendiri tak tahu, tak pasti. Kau menangis, tapi kau tak tahu, apa maknanya menangis. Kau ketawa, tanpa kau faham apa yang buat kau ketawa.


Kau diam. Dan, dari satu sudut, aku hanya memandang kau. Aku cuma orang asing. Dan, aku mengejar gembira, di celah-celah sesak nafas, yang mungkin tak lagi panjang.

Wednesday 25 January 2012

Saya Rindu Kakak Awak


Dulu, Dee Jr. pernah bercita-cita untuk belajar main gitar untuk lagu ini, dan hafal lirik, dan mahu nyanyikannya untuk Fatimah, sebagai lagu dodoian.

Tapi, malangnya taufan datang melanda di dalam hubungan mereka, sebelum dia sempat belajar untuk mainkan lagu ini.

Jadi, aku akan cuba untuk penuhi cita-cita Dee Jr. kerana aku tahu, hingga ke hari ini, rasa sayang dan kasihnya pada Fatimah, masih sama seperti ketika pertama kali dahulu. Atau mungkin, makin lebih.


Untuk sekali ini, untuk merayakan rasa rindu aku kepada Dee Jr. yang menghilang, aku akan belajar setiap not lagu ini, dan aku akan dodoikan Fatimah dengannya agar Fatimah tahu, masih ada lagi manusia yang sayangkan dia. Walaupun, manusia itu, cumalah aku dan Dee Jr.




Pecah Kepala

Kakak bawah rumah, bertekak dengan teman-teman serumah dia. Habis satu kejiranan boleh dengar suara dia bertekak pada waktu-waktu macam ni.


Dan, aku berjaya menyudahkan proses penyediaan Spagethi Goreng Kampung, yang aku letakkan belacan di dalam rencahnya dan mungkin, aku dah tersalah buat perkiraan dan hasilnya, sangatlah pedas. Dan tak sesuai dimakan oleh Akid, dan Fatimah, yang akan merungut bila aku ter-masak pedas.


Jadi, apakah ini hidup?



Mani Kering

Melihat dunia. Memikir tentang apa yang dah jadi gila. Malang. Tadahkan sahaja, kerana ini dunia, dan manusia-manusia sempurna seperti itu- yang akan selalu selamat, memang sentiasa akan memenuhi ruang-ruang dunia.

Hari ini, kita belajar tentang harga nilai seorang manusia, yang boleh didagangkan. Hari ini, kita melihat bagaimana manusia boleh membeli jiwa-jiwa manusia lain. Bagaimana jiwa-jiwa yang dibeli itu, akan menghalalkan sahaja apa yang bakal dilakukan.

Dunia. Mungkin, acuannya perlu aku ikuti.

Macam sial. 

Tapi, tak apa. Aku terlalu sibuk dengan hidup. Dengan Fatimah, dan dengan Dee Jr. yang menghilang entah ke mana. Dan, aku sibuk sampai sepatutnya aku tak perlu pun fikikan tentang semua itu. Tentang hal-hal manusia, dan dunia mereka. Dunia yang memang tak punya ruang kosong untuk orang macam aku.

Jadi, aku menaip bukan untuk merungut. Atau apa sekalipun. Tetapi, sekadar untuk aku ingatkan lagi kepada diri aku, bahawa setiap inci bumi ini, bukanlah tempat yang selamat untuk aku. Bukan tempat yang selamat untuk manusia-manusia yang ketidak-sempurnaannya dijadikan isu, dijadikan persoalan, dan dijadikan bahan jenaka.

Aku menaip untuk aku ingatkan diri aku. Bukan untuk aku peduli tentang dunia, atau isinya yang sempurna. Bukan untuk aku hamburkan kebencian aku. Kerana aku sudah cukup gembira dengan apa yang aku miliki saat ini, dan aku tak mahu hancurkannya. Aku ada Fatimah, dan Dee Jr. sudah lama menghilang, bersama dengan persoalan-persoalan paranoianya.

Jadi, aku cuma menaip untuk aku ingatkan diri aku sendiri. Bukan untuk keruhkan air jernih yang dah tuhan turunkan kepada aku.


Monday 23 January 2012

Kawan Lama

Pagi Isnin, aku bangkit awal untuk temankan Fatimah. Pagi lagi, aku dah terjaga, tersedar dari tidur aku di atas sofa hitam, kesejukkan, dan menumpang di rumah Fatimah, aku kemabukkan pada malam sebelumnya. Dan, aku terlalu mabuk untuk mengayuh balik ke rumah aku sendiri.

Dee Jr. entah ke mana. Sejak beberapa hari sebelum itu, dia dah pun mula hilangkan diri. Mungkin, dia merajuk bila aku beritahu dia, betapa penatnya aku dengan masalah-masalah yang dia hadapi, dan ludahkan ke depan muka aku. Aku katakan pada dia, betapa aku mahu jauhkan diri aku dari sebarang masalah yang dia hadapi. Dalam keadaan mulut yang berbau alkohol, aku nasihatkan dia untuk pergi mati, atau cari seseorang yang lain untuk dia ludahkan semua masalah yang dia ada.

Aku perlukan rehat. Rehat yang panjang. Dan, aku mahu ubah apa yang boleh aku ubah, untuk aku pastikan yang hari mendatang yang bakal menjengah masuk ke dalam hidup aku, akan menjadi lebih baik dari malam sebelumnya.

Jadi, aku perlu mengambil tindakkan drastik, aku perlu keluar dari semua kongkongan emosi, dan pemikiran yang membelenggu.

Jadi, aku halau Dee Jr. secara tak sengaja dari hidup aku. Malam itu, dia senyum membalas kepada apa yang aku cakap. Dia senyum dan sebelum dia pulang, dia peluk aku. Dia ucapkan terima kasih. Dan, itulah malam terakhir aku bersama dengan dia. Malam terakhir dia mencari aku untuk berkongsikan segala persoalan yang dia ada.

Jadi, malam aku sudah tidak ada Dee Jr. dan masalah-masalahnya. Tak ada lagi rutin berulang-alik dari rumah ke pub, atau dari satu pub ke satu pub yang lain. Tak ada lagi sesi-sesi termenung dan mengagak apa yang sedang berlaku di luar dunia sana. Tak ada lagi sesi-sesi Balkoni Merah yang pernah kami lakukan sama-sama dahulu.

Dee Jr., hilang dari radar. Tak dapat dikesan. Fatimah, mungkin risau. Tetapi, dia tahu Dee akan baik-baik jika dia bersendiri. Jadi, dia tak mahu menghabiskan masanya untuk merisaukan apa yang tak perlu dia risaukan. ‘Tunggu dapat khabar dari dia, baru aku akan risau’, kata Fatimah sambil dia membutangkan baju kemejanya. Bra hitam yang terpasang kemas di bahagian dadanya, terlihat jelas di balik kemeja putih nipisnya itu.

‘Aku perlu ke tempat kerja aku hari ini,’ kata Fatimah sambil-sambil dia menyiapkan dirinya. Menyerlahkan lagi kecantikkan dan keanggunan yang dia miliki. Tanpa solekkan, dia dah cukup cantik untuk sesiapa pun pandang. Dia seperti bidadari yang kepatahan sayap, yang jatuh dari taman kayangan, yang kesesatan di dalam ladang anggur ini, ‘jadi aku tak ada masa untuk fikirkan apa-apa yang tak perlu’, lalu dia berjalan ke luar bilik. Dia kuatkan lagi lagu The Garrison, sambil dia mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut rentak muziknya.

Dia bukan tak peduli. Tetapi, dia terlalu penat untuk peduli.

Aku juga, rasakan yang sama. Dan, kami merasakan, untuk kali ini, ada baiknya jika tak seorang pun dari kami, perlu bersama dengan Dee Jr. memikirkan tentang masalah-masalah dunianya. Aku sendiri rasa, ini masanya untuk aku biarkan dia sendiri. Biarkan dia berfikir secara dewasa tentang dunianya. Dunia yang penuh dengan ketakutan.

Mungkin, sejak malam aku ‘menghalau’ Dee Jr. itu berlaku, aku sudah pun hilang beberapa rutin, dan aku sendiri sudah hilang beberapa character di dalam hidup aku, tapi aku yakin, di satu tempat yang lain, atau mungkin di dalam biliknya sendiri di kampung, Dee Jr. mungkin sedang bersenang, melapangkan kepala otaknya sebelum dia kembali sebagai individu yang suci di kota Jahanam ini.

Jadi, aku biarkan walaupun aku kadang-kadang merindukan kewujudan dia. Kewujudan di dalam ruang hidup aku, di ceruk bilik aku, di sebelah aku ketika di bar, aku di atas katil aku berbual menemankan aku untuk tidur.

Mungkin, untuk sekali ini, aku perlu biarkan dia, untuk kegembiraan di masa hadapan dia. Dan, mungkin sekarang dia dah pun jumpa seseorang yang mampu menggantikan posisi aku. Mungkin sekarang, Fatimah akan memerlukan aku sepertimana Dee Jr. pernah perlukan aku di sisi dia.

Jadi, untuk sekali ini, aku biarkan. Biarkan apa pun berlaku kepada Dee Jr. kerana aku tahu, dia dan aku, kami mahukan hari esok yang lebih baik. Mungkin, ini baik untuk kami berdua.

Untuk Dee Jr., jika kau terbaca ini, aku harap kau sedang baik di mana pun kau berada. Aku mahu kau tahu, dunia bukanlah sejahat yang kau gambarkan dan aku mahu kau sedar, di balik manusia-manusia yang gila, yang banyak menyelubungi hidup kau, masih ada lagi jiwa-jiwa yang cantik, yang boleh buat kau rasa berbaloi untuk teruskan kegilaan ini, hidup ini. Aku mahu kau sedar yang kau boleh buat apa pun yang kau mahukan, bila kau betul-betul mahukannya. Bila kau betul-betul berusaha untuk melakukannya. Kau boleh wujud, dan kau boleh hidup. Sama seperti yang lain. Sama seperti Fatimah. Sama seperti Akid, dan sama seperti kawan-kawan yang lain. Jika kau sendiri yang mahukan itu.

Tapi, jika kau pilih untuk mati- fizikal atau emosi, itu tetap pilihan kau. Pilihan yang jika kau tanyakan pada aku, akan aku katakan sebagai sesuatu yang merugikan.

Kau boleh wujud, dan kau boleh hidup. Kau boleh lihat kembali senyuman yang kau ada, dan kau boleh dengar kembali suara yang pernah kau miliki. Kau boleh menyayangi, dan kau masih boleh disayangi.

Hanya jika kau mahukan semua itu berlaku.

Dee Jr., selamat berjaya.

Rokok Penyebab Keguguran Janin

Bukan senang bila kita miskin, dan hidup di dalam dunia, yang sebenarnya hanya diciptakan oleh mereka yang mampu sahaja- mereka yang punya sekurangnya sepuluh Ringgit di dalam poket mereka.

Jadi, aku tidak punya lebih dari sepuluh Ringgit di dalam poket aku. In fact, aku lupa bila kali terakhir dompet aku ada menyimpan not kertas sepuluh Ringgit. Kalau ada sekalipun, not-not itu cumalah menumpang di dalam dompet aku, dan bukannya milik aku.

Jadi, aku tidak punya lebih dari sepuluh Ringgit di dalam poket. Not kertas yang aku ada, cumalah sekeping satu Ringgit, dan yang lainnya, cumalah syiling- sekeping lima puluh sen, beberapa keping dua puluh sen, sepuluh sen, dan beberapa keping syiling lima sen. Dan, kesemua duit yang aku bawa, masih lagi sah dan diperakui nilainya oleh umum di Malaysia.

Jadi, memandangkan aku masih lagi menganggur, dan aku juga merupakan perokok yang agak aktif, aku perlukan nakotin di dalam badan aku. Aku bangkitkan badan aku, yang sudah mencapai usia 26 tahun, dan aku keluar, dengan niat untuk menukarkan semua nilai mata wang yang aku miliki, dengan sekotak rokok seludup yang punya nilai yang sama dengan wang yang aku bawa.

Dan, aku jalan perlahan menuju kedai yang menjadi pembekal untuk aku.

Sesampainya aku di kaunter, aku hulurkan duit pada dia, dan aku minta rokok seludup yang aku idamkan, untuk aku hembuskan asapnya keluar bebas.

‘Saya tak mahu guna ini duit’ katanya bila dia nampak syiling lima sen aku. Aku pandang dia- seorang lelaki, imigran, yang datang jauh dari India, dengan niat, mahu membantu keluarga miskinnya mengubah nasib masa depan mereka.

26 tahun. Aku membesar dengan melihat bagaimana syiling-syiling lima sen, bebas digunakan di dalam pasaran jual-beli yang semacam ini. Mungkin, tak relevan untuk kau beli sepaket kanabis dengan menggunakan syiling-syiling lima sen yang banyak. Tapi, aku cuma mahu beli sepaket rokok seludup, dan wang yang aku bawa, cukup-cukup untuk aku dapatkan sekotak sahaja. Tak ada wang lebih yang aku bawa.

Dan, dia cakap, ‘ saya tak mahu guna ini duit’ sambil dia asingkan syiling-syiling lima sen aku.

Aku minta dia, semua duit aku semula. Dan aku berlalu pergi sambil beberapa rakyat Malaysia, hanya membiarkan syiling-syiling lima sen itu, dihina kewujudannya.

Dan, 26 tahun aku sebagai orang yang melihat bagaimana syiling lima sen bebas digunakan, akhirnya terhenti di situ. Dihentikan oleh seorang imigran yang dibayar gaji untuk menjaga kaunter.

Dan, kuasa beli aku, yang punya wang, yang diperakui kesahihannya oleh bank, hilang. Kuasa beli aku hilang, terhalang oleh kemalasan, dan kerakusan kuasa seorang imigran yang digajikan untuk menjaga kaunter.

Aku tak perlu masuk ke ruang legar bank besar untuk aku di-reject sebagai seorang miskin. Kini, dengan hanya masuk ke kedai Mamak, kau juga boleh sedar, bukan hanya orang yang bertali leher, dan ber-perfume Boss yang akan menghina kemiskinan kau. Mereka yang busuk, dan miskin yang diamanahkan untuk menjaga kaunter, juga boleh me-reject kau atas sebab kemiskinan kau.

Tak perlu tunggu seseorang itu menjadi kaya untuk melihat dia menjadi sial. Cuma berikan dia uniform, mesin kira-kira dan kaunter, sudah memadai.

Kalau aku kaya, aku akan ambil dia sebagai pekerja aku dan aku akan bayar gaji dia, dengan hanya menggunakan duit lima sen.

Aku, bukan xenopobik. Cuma si pandai, yang masih belum punya wang yang cukup, untuk menjadi sempurna.

Sunday 15 January 2012

Tadah

‎'Sebagai penumpang kapal, kau kena sedar yang kau akan sedar yang kau adalah objek paling hina yang boleh manusia sempurna fikirkan. Dan, tambah sempurna lagi, kalau kau tak berkemampuan. 


Kau adalah nothing. Cuma separuh dari zat habuk yang maha kecil.


Tapi, kau dinasihatkan untuk layankan sahaja. Kerana kesemua kesalahan adalah datang dari kau, dan bukan dari manusia yang sempurna yang penuh dalam hidup kau. Dan, kau pendosa, yang pernah lakukan kesalahan, dan, mereka yakin, kau akan ulangi kesalahan yang sama.


Jadi, kau perlu sedar akan siapa kau, dan bila kau dah sedar, kau akan layankan. Kerana kau tahu, yang miskin, dan yang menumpang, memang tak akan pernah betul walau dia berdiri melawan apa yang salah.


Kau terpaksa layankan. Kau jilat setiap ludah yang mereka ludahkan. 


Dan, kawan baik kau, tersenyum melihat kau menjilat dan menafikan bila kau meminta keadilan.


Lalu, kau layankan. Kau kena layankan walaupun kau tahu, kau bukan di kapal yang salah. Tapi, kau tetap akan dianggap salah. Semua pandangan kau, cumalah salah faham, dan salah tafsir. Apa yang kau fikirkan bukan lagi sesuatu yang relevan. Walau apa pun yang berlaku, kau bukan lagi orang yang relevan. Kau cuma terlalu negatif dan terlalu paranoid. Kau terlalu penuh dengan salah faham. 


Dan, cuma kaulah yang mencipta masalah yang tak perlu ada. Kau kompleks.


Kau layankan. Tanpa kau boleh ragui atau persoalkan apa sekalipun. Kau tak punya ruang.


Ruang kau untuk bicara dengan saniti, telah hilang, bersama dengan digniti kau.


Ahad, datang dengan realiti yang bukan dongeng dan di atas kapal itu, kau akan sedar, yang tak ada apa yang kau boleh lakukan selagi kau tak mampu untuk membeli jiwa-jiwa manusia lain' 


Itu, apa yang Dee Jr. fikir dan katakan pada aku.


Dunia. Dan Ahad. Maafkan Dee Jr., dunia. Kerana ketidaksempurnaan, salah anggap, salah tafsir, salah anggap dan paranoia yang dia miliki, mencacatkan keindahan dan kesempurnaan yang sepatutnya kau miliki. Aku yakin, kegembiraan yang kau pernah miliki satu masa dahulu, hancur musnah bila Dee Jr. wujud di dalam kau. 


Untuk sekali ini, Dunia maafkanlah Dee Jr. dan berikanlah dia ruang untuk menumpang untuk beberapa ketika lagi sebelum dia tinggalkan kau untuk bersenang bersama dengan isi bumi yang sempurna dan yang cantik.


Dia cumalah penumpang atas penumpang. Yang hina. Dan yang tak mampu.


Maafkanlah dia, Dunia.

Saturday 14 January 2012

Nota-Nota Kecil

Malam itu, aku tinggalkan Dee Jr. sendirian. Ketika dia tidur, aku bangkit, dan aku capai jaket aku, berlalu pergi dari bilik kecil yang menjadi dunia kepada dia. Aku selimutkan badannya yang penat. Dan, aku selakkan rambut dia agar tidak menutup mukanya, supaya dia tidak rimas. Dan, aku perlahankan lagi penghawa dingin. Lagu-lagu The Garrison, aku biarkan terpasang, shuffle dan repeat.


Aku tinggalkan nota kepadanya di atas sehelai kertas bergam bewarna kuning. Dia perlu tahu ke mana aku pergi, jika dia terjaga sewaktu ketiadaan aku. Jika aku tak tinggalkan nota itu, hari dia akan menjadi lebih teruk dan dia akan panik.


'I will be back, soon' aku tampalkan nota itu di atas skrin 40 inci komputernya. Aku lekatkan dengan kuat supaya ia takkan tertanggal sebelum si gila itu bangkit dari tidurnya.


'Boleh saya ke sana? I miss you' aku taipkan dan hantarkan kepada orang yang pernah dan masih aku sayang, A.


Aku turun, mencari teksi, dan mengejar sesuatu yang aku rindukan.


Dua puluh minit kemudian, aku berdiri di depan pintu rumah A, melihat dia berdiri di depan aku, dengan rambut lembutnya, dan dengan pakaian tidurnya. Baju kemeja besar warna kuning, yang dipenuhi corak petak di atasnya. Aku rindukan baju itu. Baju yang akan disarung selepas kami berhempas pulas berkongsikan berahi kami. Aku pandang pada senyuman dia.


Aku peluk dia. Aku penat. Dan aku rindu. Dia masih lagi kawan aku, walau keadaan kami bukan sama seperti dahulu. Walau kini, aku cuma menumpang kasih, mencuri ruang yang tertinggal yang ada pada dia. Malam itu, aku perlukan dia. Aku perlukan A, bukan Dee Jr.


Lalu, aku tinggalkan Dee Jr. kemabukkan, dan khayal. Tidur bersendiri ditemani The Garrison yang aku pasangkan di dalam mod shuffle dan repeat.


Aku dekati dia. Aku peluk dia seerat yang mungkin, seolah itulah malam terakhir, kami akan berjumpa, dan berbual mengenai hidup. Aku cium lehernya. Dan aku cium rambut lembutnya. Aku sentuh tangan lembutnya. Jari aku, merayap ke seluruh tubuhnya, dan diakhiri di hujung jarinya di mana akhirnya, untuk kesekian kalinya, jari aku yang penat itu akhir bertemu dengan sahabatnya.


Aku rindukan semua itu.


Aku dan dia diam. Aku peluk pinggannya erat sambil aku berjalan di sebelahnya. Kami hanya berdiam, dan kami terus menuju ke katilnya.


Aku pandang wajahnya. Pada matanya. Pada bibirnya. Cantik, dan menenangkan.


Aku baringkan A di atas katilnya, dan aku capaikan remote, aku perlahankan sedikit lagu-lagu Jazz yang terpasang di dalam studionya itu. Aku tarikkan selimut dan aku tutupkan sebahagian besar badannya dengan kain tebal itu. Aku cium dahi dan bibirnya.


Aku baringkan badan aku di sebelah A.


'I miss you' bisik aku pada dia. Aku baring betul-betul menghadap dia. Dan melihat jelas wajahnya. Wajah yang aku rindukan tiap masa. Dia balas, dengan senyumannya. Dia pejamkan mata. Dan senyum.


Mungkin, aku penat. Atau terlalu takut. Mungkin, bersama dengan Dee Jr. juga kadang-kadang boleh menambahkan takut dan penat aku. Aku jadi hilang. Hilang arah, dan tujuan.


Dan, dua puluh minit sebelum aku berdiri di depan studio di mana A tinggal, itu yang aku rasa. Aku rasakan kekosongan. Aku terasa seolah aku sedang berdiri di satu ruang vakum yang gelap. Tiada apa yang aku boleh lihat, dengar atau mungkin rasakan.


Mungkin, sudah terlalu lama aku seperti itu. Lalu, badan dan jiwa aku kepenatan.


Aku tak mahu ganggu A. Tapi, cuma dia yang aku ada, sebenarnya.


Jadi, dua puluh minit selepas itu, aku ada di sana. Di depan tempat tinggalnya, menyatakan rasa rindu aku. Seperti anak kecil yang memerlukan ibu atau ayahnya. Seperti anak kecil yang ketakutan, yang diserang gergasi di dalam tidurnya. Aku datang kepada A, memohon sedikit ruang.


Dan malam itu, aku habiskan sisa hari aku, dengan memeluk A, membisikan rindu aku di telinganya. Dan membelai tiap inci tubuh yang dia ada, dan untuk sekian kalinya, aku sedar, sekeras mana pun aku nafikan tentang kemanusiaan aku, aku masih lagi punya perasaan dan aku masih lagi punya rasa takut.


Dan, sekental mana sekalipun aku mengharung jahanam dunia ini, aku masih lagi rapuh dan terlalu mudah untuk dirosakkan.


Dan, malam itu, sebelum aku pejamkan mata aku, sambil aku peluk A dari belakang, di atas katilnya, dengan lagu-lagu Jazz terpasang menemankan kami, dan meninggalkan Dee Jr. dengan The Garrison, aku bisikkan kepada A, 'maafkan aku and I miss you. I love you, whoever you are'.


Dan malam itu, hati keras aku sedar, bahawa bukan setiap masa ia akan mampu menahan sakit yang dunia berikan. Dan, hati keras aku sedar, ada sesuatu di dalam hidup ini, yang tak akan boleh kita kikis buang dari hidup kita, walau apa pun yang berlaku.


Malam yang sunyi, aku tidur berpelukkan dengan kekasih yang bukan lagi, untuk aku.

Thursday 12 January 2012

Melangkah Satu Bit


'Heart skipped a beat and when I caught it, you were out of reach. But I am sure you've heard it before'.

Puisi yang dilagukan. Didengar bersama Dee Jr. ketika dia kesakitan menahan darah yang keluar dari lukanya.

Parah dan berdarah. Untuk Dee Jr.

Rokok Penyebab Penyakit Gangren

Dee Jr. masih lagi termenung. Meninggalkan aku sendiri, memandang kepada skrin dan kibod yang membosankan ini. Dan, sesekali aku akan menjeling kepada dia, yang masih sibuk termenung sambil melayan trek-trek dari CD The Garrisson. Masing-masing dari kami sedang kemabukkan, dan sedang sarat dengan khayal kanabis.


Memulakan pagi dengan bir seludup yang di atas tinnya tercetak nama dan gambar binatang, bukanlah idea yang bijak untuk dilakukan di pagi Khamis. Sudahnya, aku kejahanaman cuba untuk menyudahkan kerja aku sambil aku menemankan Dee Jr. dengan tugasnya- menjadi sedih, keliru dan kesal. Itulah kerja sepenuh masanya.


Dia, yang aku kenal beberapa tahun sudah, bukanlah seorang manusia yang kenal erti 'kesal' memandangkan dia selalu datang dengan alasan bahawa 'hidup adalah proses pembelajaran', maka setiap kesilapan harus dia ambil sebagai satu lagi silibus kecil di dalam hidup dia. Dia tak pernah kesal dengan apa yang telah dia jalani.


Tapi, itu beberapa tahun yang sudah. 


Beberapa bulan yang sudah, mungkin sesuatu telah mengajar dia tentang erti kesal. Mungkin, Fatimah telah berjaya buatkan dia masukkan semula definisi perkataan 'kesal' ke dalam kamus hidupnya.


Jadi, kebelakangan ini, aku banyak layankan kekesalan yang Dee Jr. alami. Dan ada kekesalan yang dia ceritakan, dikoreknya dari memori dia tentang masa lampau dia. Bagaimana semua benda ada saling kaitan, dan bagaimana karma seharusnya didefinisikan semula.


Aku diam. Aku cuba untuk memikirkan tiap bait kata yang dia lafazkan. Aku cuba fahami jika ada sesuatu yang terselindung di balik semua itu.


Tak ada.


Tak ada apa yang terselindung selain dari perasaan yang benar. Perasaan jatuh. Gagal. Kecundang. Kecewa, dan juga mungkin marah. Sedih, semestinya.


Jadi, dia panik. Segala usahanya, dirasakan tidak berjaya. Untuk mengubah sifat negatifnya, kelihatan seperti terlalu sukar, walau itu bukan pilihannya. Mungkin, kerana faktor sekitarnya.


Dia panik, lalu cuba menyembunyikan paranoia yang dia miliki, dan tidak berjaya langsung menjadikan keadaan menjadi lebih rumit.


Dia menyesal. Dia sendiri mengaku, dia merasa salah.

'Aku bebankan Fatimah, dengan banyak benda' katanya, dengan suaranya terputus-putus. Sayup-sayup kedengaran di celah-celah bunyi yang terkeluar dari corong speker.



Mungkin, benar. Mungkin, persoalan dan perbualan bodoh paginya, membuatkan Fatimah terpaksa memulakan harinya dengan musibah. Terpaksa menelan kebodohan Dee, di kala dia (Fatimah) baru hendak memulakan hari barunya. Mungkin.


Aku sendiri pernah terlihat Fatimah termenung di balkoni, sendirian selepas dia bertekak kecil dengan Dee Jr., ketika Fatimah sedang mahu bersiap untuk ke tempat kerja. Bayangkan, beban yang terpaksa dia tanggung. Beban fizial, melaksana tugas dan beban mental, untuk memikirkan tentang Dee Jr.


Jadi, aku faham bila Fatimah mengeluh, atau penat. Atau mungkin pernah hampir putus asa dengan Dee Jr.. Mungkin, Fatimah sedang merasakan putus asa itu.


Dee Jr. diam. Tak tahu bagaimana harus dia lakukan. Dia tak mampu lakukan apa pun dengan betul untuk masa ini. Mungkin.


'Aku perlu untuk memberikan Fatimah gembira dia kembali. Aku perlu jauh dari dia. Sekurangnya untuk seketika, ketika dia tidak memerlukan aku langsung. Aku mahu dia senang. Aku tak perlu kotorkan hidup dia dengan mulut jahat aku, dengan otak kotor aku' kata Dee Jr.


Aku diam.


Kawan, untuk sekali ini lagi aku hanya mampu berdiam dan cuba untuk fahami kesakitan yang kau rasakan. Kesakitan yang Fatimah rasakan. Dan kesakitan yang secara kolektifnya kamu berdua rasakan. Tapi, aku cuma memerhati, dari satu dimensi yang tak akan pernah manusia lain faham.


Jadi, aku tak boleh nak mencelah masuk.


Dan, aku hanya mampu diam, dan merasa teruk untuk tidak dapat membantu.


Dee Jr. aku diam, tapi aku mahu kau tahu, aku sedang bersama dengan kau. Aku cuba untuk berbual dengan jiwa kau.


Kau bukan sendiri.

Melawat Meliwat

'Aku bangkit pagi, dengan harapan aku boleh temankan dia, dan buat dia senyum untuk dia mulakan hidup. Kerana itulah satu-satunya masa, aku boleh bersama dengan Fatimah, tanpa pasangan lesbiannya' kata Dee Jr.


Jadi, setiap pagi dia akan cuba untuk membaiki keadaan. Cuba untuk merasakan apa yang pernah dia rasakan. Sekurangnya.


Tapi, menurut Dee Jr. apa yang berlaku cumalah kehancuran. Kehancuran demi kehancuran dah dia lakukan. Dan, dia tak boleh minta maaf. Bukan kerana ego. Tetapi, kerana Fatimah tidak lagi percaya dia boleh ubah sifatnya. Jadi, setiap maafnya, cumalah seperti kata-kata bodoh yang menjengkelkan yang boleh Fatimah dengarkan. 


Jadi, keadaan tak akan pernah baik. Fatimah tak percayakan usahanya lagi, dan dia jatuh merundum. Dan, dia tak punya apa alasan lagi.


Jadi, aku katakan padanya, esok dia tak perlu bangkit. Dia tak perlu bangkit lagi memandangkan, Fatimah sudah ada yang mengejutkan, dan Dee Jr. pula tak pernah sempat untuk bangun awal dan sediakan sarapan untuk Fatimah. Jika dia ada sediakan sekalipun, akhirnya pasangan lesbian Fatimah yang akan menghabiskannya. Dan nilai cinta yang ada di dalam makanan itu, akhirnya masuk ke dalam badan, orang yang tak perlu. Orang yang dirasakannya telah mencuri sesuatu yang besar dari hidupnya. Orang yang akan Fatimah pertahankan walau apa sekalipun yang dia lakukan. Orang yang akan Fatimah tegakkan kebenarannya. Orang yang buat aku jadi makin bersalah, dan orang yang buat aku makin tak faham dengan hidup aku. Orang yang buat aku selalu salah faham akan situasi sebenar.


Jadi, Dee diam. Di dalam bar, di pagi Khamis. Pagi yang sepatutnya, dia akan rasa sedikit bebas dari hari yang lain. Hari ini, dia tidak bebas. Sebab itu, dia ada di dalam bar. Dia paksa tuan bar untuk buka kedai.


Tapi, aku faham. Kalau bukan aku, dan tuan bar ini, siapa lagi yang dia ada?


Dee Jr. esok, kau tak perlu cuba untuk apa sekalipun. Kau cuma perlu jadi si bodoh. Jadi diri kau yang sebenar, dan tidur seperti kau tak pernah pedulikan apa-apa, Dee.


Aku kasihan pada dia. Tapi, di pagi Khamis yang jahanam ni, aku tak tahu apa yang boleh aku bantu. 


Untuk sekali, maafkan aku Dee. Aku faham apa yang kau rasa, tapi aku cuma mampu duduk di sebelah kau.

Wednesday 11 January 2012

Bar Rabu

Duduk di dalam bar, betul-betul di sebelah Dee Jr. dan kami berdua memandang kepada deretan botol arak mahal yang ada tersusun di depan kami. Dee Jr. diam, bukan seperti malam-malam, atau hari-hari biasanya.


Sejak dari aku sampai, sehinggalah beberapa minit terakhir kami duduk bersama, dia diam. Cuma melepaskan beberapa patah perkataan, yang sebenarnya tak relevan untuk diludahkan.


Jadi, aku pun diam. Aku mengerawang jauh ke tempat yang aku sendiri tak pasti.


Lalu, aku membiarkan Dee Jr. dengan keliru jiwanya. Yang sedang kecewa, dan bergembira di dalam masa yang sama.


Dan, sayup-sayup kedengaran John Lennon, menemankan malam kami.


Malam yang sunyi, yang cuma terisi dengan puisi John.

Bising

Manusia sedang bertelingkah di luar sana, berdebat tentang siapa yang betul, dan siapa yang salah, mempertahan hujah, yang mengukuhkan ego. Dari jauh, aku dengar sayup-sayup suara lantang mereka, teriak mereka, dan tengking herdik mereka.


Dee Jr. pandang aku. Mukanya membosankan. Dia tak senang. Dunia terlalu bising. Itu, masih belum dikira jika Majid, jiran dia, mula memasang set karaokenya di rumah. Majid, selalu menemankan masyarakat setempat dengan dendangannya yang kebanyakkan masanya, tak mahu kami dengarkan.


Tapi, biarlah. Asalkan dia bahagia. Aku sendiri, tak punya hak untuk marah Majid. Orang di kawasan itu sayangkan dia. Aku hanya datang menumpang untuk beritual, jadi apa yang boleh aku rungutkan?


Sesekali, Dee akan capai Bong, dan melepaskannya kembali.


'Terlalu bising,' katanya.


Dunia, sedang hidup.


Aku diam, dan aku dekatkan badan aku dengan Bong. Bising, atau tidak. Aku perlu hembus untuk kali terakhir.


*vakum



A, untuk Anarki

Diam.


Tak ada ruang untuk pembetulan, atau menerima, atau menilai pembetulan. Atau berkomunikasi. 


Dan, di hujung kisah;


'layankan'.


Dan, itu pemberian baik.


Dan, sebab itu adalah salah Dee Jr., aku turuti nasihat kawan baik aku; layankan.


Untuk menghapus dosa-dosa kering yang mungkin takkan hilang.

Tuesday 10 January 2012

Selasa

Dee Jr. terkekeh-kekeh di hujung talian. Di belakangnya terdengar jelas sudu, garfu, pisau dan pinggan berlaga. Dan, kedengaran orang sedang ketawa dan sesekali terdengar sayup-sayup irama Jazz.


Ini tengahari Selasa, dan Dee Jr. sudahpun meng-occupy kerusi di bar.


'Aku tersalah tanya pada Fatimah,' katanya, sambil terdengar dia terkekeh. Aku sedang duduk di meja kerja aku. Melayan tugasan, dan juga Damien Rice.


'Aku tanya pada dia,' sambungnya, 'pada siapa lagi aku nak cerita?' sambil dia habiskan ketawanya.


Aku layankan.


Dua puluh saat kemudian, dia putuskan talian.

Sunday 8 January 2012

Majid


Kadang-kadang, kita sebagai manusia, selalu lupa tentang apa yang telah diberikan kepada kita. Dan, di akhir kisah kita, dalam kebanyakkan masanya, kita akan melupakan apa yang sebenarnya baik untuk kita.


Macam aku. Aku juga lakukan kesilapan yang sama. Dee Jr. juga melakukan kesilapan yang sama. 


Aku lupa, dia pun lupa. Dan, ada ramai lagi manusia yang akan, telah dan sedang melupakan.


Mungkin, aku terlalu sibuk memikirkan apa yang tak perlu hinggakan aku terlalu takut, langsung buat aku lupa tentang apa yang telah aku miliki, atau apa yang telah diberikan kepada aku.


Dan, bila aku tersedar yang aku bakal kehilangan apa yang pernah aku ada, semuanya mungkin telah terlalu lambat. Terlalu lambat untuk dipusing kembali. Terlalu lambat untuk diperbaiki keadaannya kembali.


Jadi, apa yang aku boleh buat? 


Aku cuma mengeluh.










p/s lagu ini, ditulis dan dimainkan oleh seorang kawan aku- Nazim Ifran, yang selalu datang pada aku, dengan cinta dia. Ini, adalah contoh bagaimana sesuatu yang baik itu, selalu dilupakan. Atau selalu dinafikan. Bacalah lirik dia, tengoklah ekspresi muka dia, dan bacalah bahasa badan dia. Dan, dengarkan emosi suaranya. Kau akan dengar, suara yang penuh dengan harapan. Suara yang ada kasih, yang meminta. Tapi, dikecewakan. 


Maaf. Dunia lagi kuat, kebanyakkan masanya, Nazim.

Pagi Ahad.

'Hancurkan segala yang ada' arah salah seorang dari mereka. Dihunuskan pedangnya tinggi ke udara. Membunuh ego, dan membunuh bangga yang ada pada pihak lawan.


Dan, sejurus habis bait ayat itu habis diucap, maka bersoraklah bala tentera yang ramai, yang terdiri dari manusia kelas bawah, yang gagah dan dipersiap dengan kelengkapan besi yang kukuh, yang menguatkan lagi benteng pertahanan mereka. Mereka berarak, menghentak kaki ke atas tanah, memberikan gegar kepada bumi, mencipta takut kepada musuh.


Mereka bengis. Dan mereka hunuskan senjata mereka. Mereka julang dengan bangga dan mereka bersorak menyahut sesama sendiri, memberitahu kepada sesama mereka yang mereka tidak bersendiri. Sorakkan mereka terdengar dari segenap pelusuk bumi, menakutkan, dan mengerikan.


Mereka bangkit. Menyarungkan kemarahan mereka, cuba menjatuhkan keangkuhan pemerintah mereka. Dan, kroni pemerintah mereka.


Mereka bangkit, mempersoalkan tentang apa yang patut mereka miliki. Yang patut menjadi hak mereka, sebagai rakyat, dan sebagai manusia.


Jadi, mereka bangkit. Mahu mengubah nasib. Anak dan cucu yang akan mendatang.


Dan, untuk sekali lagi, mereka berteriak. Memberitahu sesama sendiri, bahawa mereka tidak bersendiri.


Memberitahu sesama sendiri, bahawa mereka di sana, bukan melawan sendiri. Tetapi, melawan bersama, dengan benang-benang cinta yang terjahit di tengah-tengah antara mereka.


Dan, benang-benang itu, langsung mengukuhkan lagi mereka. Lagi ditarik, lagi kuat mereka.


Jadi, mereka sedang berteriak, dan mereka enggan meninggalkan sisa. Mereka mahukan kejatuhan mutlak. Mereka mahu menang besar.


Dan mereka bersorak, menggegar ego-ego pemerintah. Yang mungkin sedang mengemas almari baju mereka.


Dan, kemarahan manusia kelas rendah, terus berarak.



Friday 6 January 2012

Burung

Mungkin, kadang-kadang hidup kita sendiri seolah mahu mengajarkan kita sesuatu. Mahu supaya kita mengalami dan mampu memikirkannya. Dengan waras, dengan otak sebagai manusia.


Mungkin, dalam keadaan yang paling getir, dan buruk sekalipun, kau masih mampu lagi untuk melihat kepada kecantikkan dunia, kau masih lagi boleh menyentuh indah astetik desiran angin yang mengalun muzik indah.


Di tepi tong sampah, kau mungkin boleh menemukan cinta. Dan di balik bingit kota, kau mungkin boleh menemui senyum kau yang dah lama pergi menghilang.


Dan, dalam keadaan yang paling getir, kau mungkin boleh merasakan wujudnya lebih lagi appresiasi, di waktu kau sedang menantikan hilang.


Hidup, mungkin mahu mengajarkan kita sesuatu. Mengajarkan sesuatu yang wajib kita tahu, tapi terlalu leceh untuk kita ambil tahu.


Hidup sudah marah. Dia mahu kita belajar dari silap kita.


Hidup sedang marah.