Monday 23 January 2012

Kawan Lama

Pagi Isnin, aku bangkit awal untuk temankan Fatimah. Pagi lagi, aku dah terjaga, tersedar dari tidur aku di atas sofa hitam, kesejukkan, dan menumpang di rumah Fatimah, aku kemabukkan pada malam sebelumnya. Dan, aku terlalu mabuk untuk mengayuh balik ke rumah aku sendiri.

Dee Jr. entah ke mana. Sejak beberapa hari sebelum itu, dia dah pun mula hilangkan diri. Mungkin, dia merajuk bila aku beritahu dia, betapa penatnya aku dengan masalah-masalah yang dia hadapi, dan ludahkan ke depan muka aku. Aku katakan pada dia, betapa aku mahu jauhkan diri aku dari sebarang masalah yang dia hadapi. Dalam keadaan mulut yang berbau alkohol, aku nasihatkan dia untuk pergi mati, atau cari seseorang yang lain untuk dia ludahkan semua masalah yang dia ada.

Aku perlukan rehat. Rehat yang panjang. Dan, aku mahu ubah apa yang boleh aku ubah, untuk aku pastikan yang hari mendatang yang bakal menjengah masuk ke dalam hidup aku, akan menjadi lebih baik dari malam sebelumnya.

Jadi, aku perlu mengambil tindakkan drastik, aku perlu keluar dari semua kongkongan emosi, dan pemikiran yang membelenggu.

Jadi, aku halau Dee Jr. secara tak sengaja dari hidup aku. Malam itu, dia senyum membalas kepada apa yang aku cakap. Dia senyum dan sebelum dia pulang, dia peluk aku. Dia ucapkan terima kasih. Dan, itulah malam terakhir aku bersama dengan dia. Malam terakhir dia mencari aku untuk berkongsikan segala persoalan yang dia ada.

Jadi, malam aku sudah tidak ada Dee Jr. dan masalah-masalahnya. Tak ada lagi rutin berulang-alik dari rumah ke pub, atau dari satu pub ke satu pub yang lain. Tak ada lagi sesi-sesi termenung dan mengagak apa yang sedang berlaku di luar dunia sana. Tak ada lagi sesi-sesi Balkoni Merah yang pernah kami lakukan sama-sama dahulu.

Dee Jr., hilang dari radar. Tak dapat dikesan. Fatimah, mungkin risau. Tetapi, dia tahu Dee akan baik-baik jika dia bersendiri. Jadi, dia tak mahu menghabiskan masanya untuk merisaukan apa yang tak perlu dia risaukan. ‘Tunggu dapat khabar dari dia, baru aku akan risau’, kata Fatimah sambil dia membutangkan baju kemejanya. Bra hitam yang terpasang kemas di bahagian dadanya, terlihat jelas di balik kemeja putih nipisnya itu.

‘Aku perlu ke tempat kerja aku hari ini,’ kata Fatimah sambil-sambil dia menyiapkan dirinya. Menyerlahkan lagi kecantikkan dan keanggunan yang dia miliki. Tanpa solekkan, dia dah cukup cantik untuk sesiapa pun pandang. Dia seperti bidadari yang kepatahan sayap, yang jatuh dari taman kayangan, yang kesesatan di dalam ladang anggur ini, ‘jadi aku tak ada masa untuk fikirkan apa-apa yang tak perlu’, lalu dia berjalan ke luar bilik. Dia kuatkan lagi lagu The Garrison, sambil dia mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut rentak muziknya.

Dia bukan tak peduli. Tetapi, dia terlalu penat untuk peduli.

Aku juga, rasakan yang sama. Dan, kami merasakan, untuk kali ini, ada baiknya jika tak seorang pun dari kami, perlu bersama dengan Dee Jr. memikirkan tentang masalah-masalah dunianya. Aku sendiri rasa, ini masanya untuk aku biarkan dia sendiri. Biarkan dia berfikir secara dewasa tentang dunianya. Dunia yang penuh dengan ketakutan.

Mungkin, sejak malam aku ‘menghalau’ Dee Jr. itu berlaku, aku sudah pun hilang beberapa rutin, dan aku sendiri sudah hilang beberapa character di dalam hidup aku, tapi aku yakin, di satu tempat yang lain, atau mungkin di dalam biliknya sendiri di kampung, Dee Jr. mungkin sedang bersenang, melapangkan kepala otaknya sebelum dia kembali sebagai individu yang suci di kota Jahanam ini.

Jadi, aku biarkan walaupun aku kadang-kadang merindukan kewujudan dia. Kewujudan di dalam ruang hidup aku, di ceruk bilik aku, di sebelah aku ketika di bar, aku di atas katil aku berbual menemankan aku untuk tidur.

Mungkin, untuk sekali ini, aku perlu biarkan dia, untuk kegembiraan di masa hadapan dia. Dan, mungkin sekarang dia dah pun jumpa seseorang yang mampu menggantikan posisi aku. Mungkin sekarang, Fatimah akan memerlukan aku sepertimana Dee Jr. pernah perlukan aku di sisi dia.

Jadi, untuk sekali ini, aku biarkan. Biarkan apa pun berlaku kepada Dee Jr. kerana aku tahu, dia dan aku, kami mahukan hari esok yang lebih baik. Mungkin, ini baik untuk kami berdua.

Untuk Dee Jr., jika kau terbaca ini, aku harap kau sedang baik di mana pun kau berada. Aku mahu kau tahu, dunia bukanlah sejahat yang kau gambarkan dan aku mahu kau sedar, di balik manusia-manusia yang gila, yang banyak menyelubungi hidup kau, masih ada lagi jiwa-jiwa yang cantik, yang boleh buat kau rasa berbaloi untuk teruskan kegilaan ini, hidup ini. Aku mahu kau sedar yang kau boleh buat apa pun yang kau mahukan, bila kau betul-betul mahukannya. Bila kau betul-betul berusaha untuk melakukannya. Kau boleh wujud, dan kau boleh hidup. Sama seperti yang lain. Sama seperti Fatimah. Sama seperti Akid, dan sama seperti kawan-kawan yang lain. Jika kau sendiri yang mahukan itu.

Tapi, jika kau pilih untuk mati- fizikal atau emosi, itu tetap pilihan kau. Pilihan yang jika kau tanyakan pada aku, akan aku katakan sebagai sesuatu yang merugikan.

Kau boleh wujud, dan kau boleh hidup. Kau boleh lihat kembali senyuman yang kau ada, dan kau boleh dengar kembali suara yang pernah kau miliki. Kau boleh menyayangi, dan kau masih boleh disayangi.

Hanya jika kau mahukan semua itu berlaku.

Dee Jr., selamat berjaya.