Monday 21 November 2011

Sorak dan teriak bodoh.

Sekarang, adalah masa untuk aku menyudahkan apa yang perlu. Aku dah tahu, apa yang dunia mahukan. Dan, aku akan sudahkannya.


Aku akan biarkan dunia bergelumang dengan segala yang indah yang boleh isi bumi janjikan.


Sampai jumpa lagi.

Friday 18 November 2011

Khayall

Terbang, dari cerun yang lain. Cerun yang warnanya agak kelam.


Tapi, terbang.

Thursday 17 November 2011

Tanpa Nota Pendek

Perasaan kecewa, dan keliru bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia manusia ini.

Awan


Jika aku boleh berdoa, aku akan doakan agar bidadari-bidadari yang selalu kau dambakan, akan bangkit di alam nyata dan akan membimbing kau supaya sedar tentang apa yang sebenarnya yang kau mahukan, dan mereka akan membawa kau pergi jauh dari semua sangkal dan kekeliruan yang sedang memerangkap kau.

Aku akan berdoa agar kau akan sedar tentang segala kemungkinan yang telah kau ketepikan bila otak kau terlalu bercelaru bertemu dengan pilihan.

Aku akan doakan supaya bidadari-bidadari rahsia yang kau simpan, akan keluar dan akan tunjukkan kepada kau senyuman yang kau mahukan. Dan aku akan doakan mereka akan sentiasa ada untuk kau, sepertimana yang kau mahukan, jauh di dalam diri kau sendiri.

Jika aku boleh berdoa.

Foto.


Tak perlu kau terangkan foto-foto yang gelap warnanya. Yang kontrasnya tinggi, dan yang kelajuan shutternya tak selaju mana.

Tak perlu kau terangkan. Kerana ia akan tetap gelap, atau mungkin, jika kau mahu terangkannya juga, akan hilang nilai astetiknya.

Jadi, tak perlulah.

Terlajak Perahu.

Sudah terlambat. Air surut sudah menampakkan dasar pantai. Dan tak ada apa untuk alam sembunyikan lagi.

Nostradamus.

Kau masih lagi belum melalui satu lorong yang benar-benar gelap, dan kau masih lagi belum melihat darah sebenar yang mengalir dari luka-luka hidup seorang manusia, atau mungkin, luka-luka di dalam hidup kau sendiri.

Bila kau sudah lalui dan nampak semua itu, kau akan tahu apa yang aku, dan mereka tahu. Dan kau akan sedar bahawa semuanya sudah terlambat.

Lalu, kau akan jawab dengan kotak ego kau. Yang mengawal kotak suara dan otak kau.

Atau, kau akan mencari buku, untuk kau tukarkan diri kau menjadi Bumi, di galaksi yang lain.

Layarkan Kapal Emas Itu.


Kerana kau cuba untuk beritahukan kepada aku bahawa segala ruang yang kau pernah berikan bukan lagi bermaksud untuk aku.

Kerana kau cuba ertikan bahawa semua apa yang telah berlaku cumalah satu keterlanjuran dan kesilapan semata, yang datang atas banyak alasan dan cuma kau sendiri yang tahu alasan-alasan itu.

Kerana kau cuba maksudkan apa yang sudah cukup, perlu disudahkan. Dan tidak perlu disambungkan lagi.

Jadi, layarkanlah kapal emas itu. Supaya kau boleh belayar jauh, dan boleh memandang kepada yang baru. Boleh memandang kepada hamparan emas yang lagi tepu isinya.

Jahanamkan irama-irama gelap itu.


Berhentilah kau dari terus mencabul bait-bait indah itu bila kau sebenarnya tak pernah cuba untuk faham dan benar-benar percaya kepadanya.

Hentikanlah semua kegilaan itu, dan ludahkan semua sindiran dan ejekkan yang kau ada itu di telinga jalang-jalang yang banyak di dalam hidup kau.

Kerana ada manusia yang benar-benar percaya dan benar-benar terhina bila kau ludahkan bait itu sesuka hati kau.

Kerana bukan semua manusia dilahirkan untuk dijadikan bahan ejekkan dan bahan sindiran.

Laut Barat.

Jangan sekali kau beritahu pada dunia tentang cantiknya pemandangan yang mereka miliki.

Kerana itu boleh jadi kesilapan yang paling besar yang kau akan buat.

Kerana dunia tak perlu tahu tentang kecantikkan mereka.

Kerana dunia tak perlu diberikan lagi sebab untuk menjadi bongkak dan angkuh.


Bingkai-Bingkai Pecah.

Plotnya, masih lagi sama seperti apa yang telah dibincangkan. Kedudukan kamera masih lagi perlu diletakkan di tempat asalnya, tak perlu diubah atau dialihkan.

Pelakonnya masih lagi sama, dan cahayanya masih lagi seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini.

Dan, scene ini akan diulang rakam untuk beberapa ratus kali lagi. Dan percayalah, semua barang dan peralatan yang kau ada, tak perlu kau simpan lagi. Kau akan gunakannya kelak.

Percayalah. Kerana aku sedang melihat, dan beberapa manusia lain, sedang menafsirkan.

Biarpun aku dan mereka bukanlah mereka yang punya nama, tapi kami masih mampu mengkritik dan mendefinisikan apa yang kami mahukan.

Tak perlu kau simpan semua peralatan itu.