Thursday 5 January 2012

Gaduh-Gaduh Idea

Dunia, masih lagi berputar pada paksinya. Dan, masih lagi berputar di dalam orbit yang sama, di dalam laluan yang sama, seperti semalam. Dan, isi dunia, masih lagi gila seperti hari-hari sebelum ini. Tak ada apa yang menjadi semakin baik, dan tak ada apa yang mampu dipulihkan. Manusia, sekurangnya di tanah semananjung Suci ini, terlalu bodoh untuk memahami erti sebenar perubahan. Dan, mereka terlalu tolol untuk mengasingkan ego mereka ketika bersama-sama dengan manusia lain, laungkan revolusi, keluar dari corong mulut mereka.


Jadi, dalam kebanyakkan masa, manusia akan menjadi sangat membosankan bila mana, ego dan kebodohan mereka, akan mereka gunakan untuk mengemudi kapal hidup mereka.


Bodoh.


Macam apa yang berlaku baru-baru ini, bila segerombolan revolusioner, bertelingkah pendapat sesama sendiri, hanya kerana perbezaan kepercayaan (baca: agama) yang mereka miliki. Padahal, mereka sebenarnya berdiri di dalam kapal yang sama, dan punya musuh yang sama untuk ditentang, dan punyai misi yang sama yang perlu mereka penuhi.


Mereka kelihatan seperti sekelompok manusia romantis yang berjuang untuk cinta mereka terhadap jiwa-jiwa yang mereka sayangi. Mereka kelihat berkobar, cuba untuk menjatuhkan bendera fasisme yang dah lama berkibar.


Mereka cuba bersatu.


Tapi, hancur bila ada yang mula mempersoalkan kepercayaan sesama mereka. Bila mereka mula membanding bezakan agama yang mereka anuti.


Mereka mula berdakyah tentang tuhan siapa yang lagi afdal untuk dibacakan doa untuk perjuanagan tulus itu. Dan mereka berdakyah tentang tuhan siapa yang akhirnya yang akan menurunkan rahmat dan langsung menyelamatkan setiap reformis yang ada.


Bosan.


Mereka berdiri megah, berkobar mempertahan kubu yang mereka imaginkan, terlalu kuat untuk ditembusi pemerintah. Mereka sangkakan, mereka telah jauh selamat dari segala ancaman.


Tapi, sebenarnya, merekalah yang menebuk lubang besar di kubu itu, dan merekalah yang sebenarnya yang memberikan laluan kepada musuh untuk masuk dan menyerang dengan mudah.


Mereka igaukan revolusi, tetapi mereka selimutkan mimpi mereka dengan selimut argumen yang membosankan.


Yang akan mematikan segala perbincangan, dan yang akan menjahanamkan segala rancangan.


Jadi, ketika revolusi sedang cuba diselesaikan, dunia masih lagi berputar di paksinya, dan masih lagi berlegar di dalam galaksi yang sama seperti semalam. Masih lagi sama. Dan, isi dunia juga, masih lagi sama bodoh, sepertimana bodohnya mereka semalam.


Lalu, aku sarungkan kasut aku, dan aku tuju ke bar kegemaran aku. Di sana, revolusinya masih lagi buta dengan perbezaan yang kami semua miliki.