Tuesday 29 January 2013

Gua akur dengan kehendak alam.

Kawan aku, A pernah fikir, bahawa jaded adalah bila kau cuba untuk gulung rokok, dan bila ia siap, ia tak sesempurna yang diharapkan. Tengahnya, akan membuncit, membuntingkan tembakau yang tak dibelai dengan cukup rapi.

Dia dah balik.

Untuk aku, jaded itu, bila kau sedang terpaksa menyiapkan beberapa kerja menaip, dan tempat kerja kau, tidak punya langsir untuk menghalang cahaya matahari petang masuk terus ke dalam bilik.

Lebih malang, bila monitor kau, membelakangkan cermin besar yang menampakkan sebahagian besar ruang kerja kau. Dan, bila cahaya matahari masuk menerjah, ketika kau sedang terpaksa menaipkan kerja-kerja kau, leher kau diserang panahan cahaya matahari, lalu di kepala kau, akan terlintas imej-imej leher yang bakal menggelap.

Tambah lagi, bila kau mahu lihat apa yang terpampang di atas skrin sana, kau terpaksa bersusah payah. Cahaya terlalu terang menyukarkan kau untuk faham ke mana gerak kursor tetikus kau.

Nak marah, kau tak tahu nak marah pada siapa. Atau, kau punya hak untuk marahkan sesiapa.

Ini masalah tak ada langsir. Bukan salah siapa. Salah aku sendiri. Kemiskinan mendorong aku untuk merelakan apa yang berlaku. Dan, kemiskinan juga mendorong aku untuk melupakan niat untuk membuka website d.i.y semua tu, kerana duit masih lagi diperlukan.

Jadi, itu jaded.

Ditambah, bila kau buka BlackBerry kau, yang sibuk berkelip-kelip lampu LEDnya, kau sangkakan, kawan kau yang menghantar mesej pada kau. Tapi, bila kau buka, rupanya, cuma BC, (aku tak pernah faham istilah ini, mereka gunakan bila mereka hantar satu mesej yang kepada semua yang ada dalam list BBM contact mereka), dari beberapa orang gay yang sebenarnya, kau pun tak kenal. Dari mana kau dapat number mereka, vise versa, kau pun tak pasti.

Mesej seperti, 'Salam...sapew sdi bc pin ardien...nnti ardien bc pin u smua k...' adalah sangat tak masuk. 

Kenapa?

Itu, jaded.

Tak ada hala tuju, tak ada masa depan, tak ada apa-apa pun.

Tanam sawi.

Bila aku lama tak habiskan masa aku dengan Dee Jr., aku akan mudah hilang fokus, hilang arah, dan hilang inspirasi.

Macam bila aku hilang buku kegemaran aku- buku yang tak pernah aku baca habis, sejak aku sekolah dahulu, sejak aku mula-mula jumpa buku itu.

Hilang inspirasi. Tak ada lagi moment-moment menyelak buku tanpa tujuan, dari satu muka ke satu muka surat yang lain. Randomly baca baris demi baris ayat. Dan, di masa akan datang, muka surat yang sama, exactly ayat yang sama, mungkin akan dibaca kembali.

Moment yang membawa aku jauh pergi dari kesesakkan angkuh manusia-manusia sempurna.

Bodoh.

Tapi, aku tak pernah merungut bila tiap kali aku sedar betapa bodohnya aku, berulang kali menyelak muka surat yang sama, tanpa aku, dengan ikhlas mahu membacanya. 

Kerana, itu yang buat aku boleh fokus. Yang boleh berikan sesuatu untuk aku lakukan bila aku hilang fokus, dan sesuatu yang berikan aku peluang untuk percaya yang aku tidak lagi hilang fokus.

Fokus.

Benci.







Sunday 27 January 2013

Awan kepul-kepul.

Sarapan dengan Pink Floyd
Pagi Ahad yang hening, patutnya aku sudah duduk di Taman KLCC sambil aku memegang senaskah buku sambil aku pakai cool sunglass, dan sesekali aku akan hirup sedikit wine murah yang botolnya, ada gambar zirafah. Aku akan buka bakul piknik aku, yang aku letakkan sebelumnya di belakang basikal aku. Di dalam bakul itu, ada sandwich yang aku sendiri buat pagi tadi, bersama kekasih songsang, sambil bercumbu, bercium-cium, disinari mentari pagi Ahad.

Sambil semua itu berlaku, trek-trek Pink Floyd terus berputar, menemankan aku, dan yang lainnya. Menemankan dunia.

Tapi, sayangnya. Itu tak berlaku.

Aku masih lagi duduk di meja kerja, dan sedang menyudahkan sedikit lagi kerja yang dah aku rancang untuk siapkan pagi ini.

Jadi, pagi tadi, seorang client datang, untuk kutip dokumennya.

Dan, tadi selepas dia pulang, aku kembali meneruskan kerja-kerja menaip aku.
Menyedihkan.

Tak ada piknik, dan tak ada buku. Tak ada wine murah yang botolnya ada gambar zirafah, tak ada kawan-kawan yang pakai cool sunglasses, tak ada sandwich dan tak ada bakul.
Yang ada, cumalah sedikit kerja dan lagu Pink Floyd. Sedikit air teh bunga, sepeket tembakau, sedikit ubat tak boleh tidur, yang datang dalam bentuk herba, dan kerja.

Tapi, untuk aku, tak kisah. Aku ada janji. Pada diri sendiri yang perlu aku langsaikan.
Jadi, untuk tak rugi untuk aku korbankan sedikit benda-benda yang sangat gay ini, untuk aku langsaikan janji aku pada diri aku sendiri itu.

Lagipun, sambil aku selesaikan kerja aku yang sempoi-sempoi ni, ada beberapa kawan yang dah pun bangkit awal pagi tadi, ber-IM dengan aku tadi.

Bermandikan cahaya
Kali terakhir aku bertemu dengan S adalah, mungkin 6, 7 atau 8 tahun lepas. Masa itu, dia baru habis sekolah. Dan, aku pun lebih kurang macam tu. Kot.

Dan, kami adalah sampah masyarakat ketika itu, dan kini (untuk aku).

Dan, dulu kami berdua percaya, bahawa ayat yang Mark Renton cakap, pasal ‘choose life, bla, bla, bla, I choose something else, bla, bla, bla’ adalah motivasi kepada kami, doa kepada kami sebelum kami memulakan hidup kami yang jahanam.

Bila Mark Renton cakap, ‘ I chose not to choose life. I chose somethin' else’, kami cepat-cepat, dari atas sofa di depan TV itu, declare, itulah motivasi hidup bebas kami, sebagai junky, sebagai sampah masyarakat, dan sebagai barah sosial di mata masyarakat.
Kami hidup dengan teruk, dan memang itulah kami. Teruk. Tak ada perkataan lain yang boleh mendefinisikan kami dan malam-malam kami.

Tapi, semalam S menghubungi aku semula. Memberitahu betapa bahagia dia sudah berkahwin, dan sudah punya anak sendiri.

Jadi, bagus. 

Sekurangnya, Mark Renton pernah berfalsafah dalam kepala kau.

Harap, kau tak akan menjadi bapak-bapak yang membosankan, yang akan menjahanamkan lagi nasib generasi yang akan datang.

Aku harap, anak yang dah kau pancutkan tu, akan boleh menyumbang sesuatu kepada sesuatu atau sesiapa yang lain.

Lagu kegemaran di dalam player. Tapi, malu mahu tulis namanya.
Tapi, aku cukup tak senang, bila S sudah mula berbual pasal kahwin kepada aku. 
Bukan aku peduli, kalau dia nak ceritakan pasal kisah kahwin dia pada aku, sebab itu normal. Tapi, janggal bila dia cuba bercerita pasal kenduri kahwin yang mana pengantin lelakinya adalah aku.

‘Sampai bila?’ tanyanya.

‘Huh?’ balas aku.

‘Nak macam ni ?’ sambungnya lalu diceritakan kepada aku, tentang apa itu normal, dan apa yang tidak. Yang kebanyakkannya berkait rapat dengan seksualiti aku, yang bukan aku suka-suka pilih.

Aku kecewa mendengar di hujung talian bila aku tersalah sangka. Tersalah sangka bahawa perbualan ini, akan menjadi perbualan di antara seorang bekas sampah masyarakat dengan seorang lagi sampah masyarakat yang saling memahami, yang jika diletakkan watak dua ini di dalam filem, ia akan jadi seperti Jay dan Silent Bob, tak punya komunikasi 2 hala, tapi masih mampu memahami masing-masing.

Mark renton, telah gagal di dalam kuliahnya.

Dan S, aku berharap, dia akan berhenti berfikir bahawa homoseksualiti adalah seperti demam, yang boleh datang dan pergi dalam hidup kau.

Dan moral of the story is;

Bila loceng pintu rumah ditekan, sebelum buka pintu itu, sila tengok dahulu di lubang kecil itu, siapa di luar sana. Jika kau tak sorokkan lagi bong yang ada di dalam bilik kau.

Dan, tak kisah untuk berubah, tapi kau kena ingat, kau perlu faham bahawa manusia lain juga sama seperti kau- sedang belajar. 

Damn.

Saturday 26 January 2013

Soalan tentang hidup.

"Apa guna rooftop, kalau tak boleh nak nampak view?" Dee Jr.







Tuesday 22 January 2013

Kawan yang baru di add di laman web sosial.

Kepada Dinding,

Berikan aku masa untuk faham bahasa yang kau tuturkan dan berikan aku sedikit masa lagi, untuk aku faham mimik muka kau, dan bahasa badan kau.

Terima kasih, dan selamat datang ke dalam hidup aku, Dinding.

Regards,

Salleh G.

Tuesday 8 January 2013

Petang Selasa


Apapun alasannya, aku yakin kebanyakkan manusia, punya impian yang macam ni.

Macam Dee Jr.

Dia sendiri punyai impian untuk memerintah dunia. Tapi, bukan dunia besar yang selalu digambarkan oleh orang lain, yang mana, isi di dalamnya akan menyembah tunduk kepada dia setiap masa.

Dunia yang cuma ada diri dia sendiri, yang menyembah, dan yang disembah.

Dan, oleh sebab itulah aku yakin, sekarang, dia tidak lagi sedang bersenang di Balkoni Merah, kerana dia punya matlamat, dan dia sendiri punya dunia untuk diperintahnya.

Dunianya sendiri yang penuh dengan impian. Impian untuk menakluki kembali hidupnya, dunianya.

Untuk itu, aku hari ini, aku bersendiri di Balkoni Merah, sambil aku julangkan tin bir dan aku ucapkan selamat untuk Dee dan perjalanannya itu.

Perjalanan mengejar impian untuk mengambil kembali dan mengepalai kembali hidupnya, yang telah lama dicuri.

Pulang dengan selamat, sayang.

Friday 4 January 2013

Dikejar masa yang tak pasti

Situasinya macam ni;

Pertama, aku ada dua tempat kerja, yang masing-masing punyai latarbelakang operasi yang sangat berbeza. Kumpulan yang terlibat di dalamnya juga adalah sangat-sangat berbeza.

Kedua; aku perlukan kedua-dua kerja ini, di dalam memastikan yang aku boleh teruskan apa yang aku teruskan, dan di dalam masa yang panjang, sedikit demi sedikit hutang lapuk aku, aku perlu selesaikan.

Ketiga; dalam kebanyakkan masanya, aku tak punya masa untuk penuhi kedua-dua kerja yang patut aku terima ini. Ada kalanya, kedua-dua tawaran kerja, akan datang pada masa yang sama.

Jadi, harini, aku duduk di meja kerja yang belum siap diset-up, sambil berserabut tentang kerja-kerja yang perlu aku selesaikan cepat, tanpa aku, atau sesiapa pun di dalam blik kerja aku ini, tahu bila tarikh hantarnya.

Jadi, aku sedang kebuntuan. Dikejar masa, yang tak aku tahu berapa panjangnya.

Ditambah lagi, dengan segala hal kerja yang perlu aku ingati.

Rasa macam nak cakar dinding sampai keluarkan bunyi yang sangat menjengkelkan.

Tapi, atas alasan mahu meneruskan apa yang perlu diteruskan- hidup, aku perlu lakukan kesemua ini. Perlu menjadi gila seperti orang lain, perlu untuk tidak punyai masa untuk saniti dan kesenangan diri sendiri.

Aku suka kerja-kerja yang aku sedang lakukan.

Tapi, masa terlalu kejam untuk aku.

Jadi, kepada para kerja yang sedang beratur di depan pintu bilik kerja aku, aku harap, kau semua boleh bersabar.  Otak aku sedang kecairan, cuma mengejar apa yang kau suruh aku kejarkan.

'Berikan ku masa' macam kata Bandi Amuk, dulu.

Thursday 3 January 2013

Tajuk sama seperti yang di-bold-kan di bawah.

Sebenarnya, tempat kerja aku adalah sangat baik.

Jujur, supervisor aku adalah sangat baik. Dan, boss besar aku, pun ok. Cuma, aku tak punya banyak masa untuk luangkan dengan dia. Maklumlah, dia orang yang sangat sibuk, kerja jauh-jauh dan aku pula, cumalah pencacai yang kerjanya, tak menentu waktu mula dan habisnya.

Jadi, macam tajuk yang aku bold-kan di atas, tempat kerja aku sebenarnya, adalah sangat best.

Boss besar aku, cuma pernah datang menjenguk aku melaksanakan tugas aku, sebanyak dua kali je, so far. Tapi, aku perlu tahu yang boss-boss ini, biasanya ada trik yang mereka ingat, orang macam aku tak akan tahu, iaitu, datang senyap-senyap.

Tapi, aku tak risau kerana boss besar aku adalah sangat cool, dan boleh dibawa berbincang. Cuma, kita abaikan muka dia, bila dia bercelaru dengan persoalan-persoalan yang membelenggu jiwa dia.

Dan Supervisor aku, yang sebenarnya mempunyai kuasa mutlak ke atas pejabat urusan tempat aku bekerja, seolah memberikan kebebasan kepada aku, untuk melakukan beberapa perkara, yang sepatutnya, tak boleh nak aku lakukan di mana-mana tempat aku bekerja.

Dan, dia panggil aku sebagai 'boss', dan dia akan tanya pendapat aku, bila dia perlukan.

Jadi, apa lagi yang aku mintak?

Lagi pula, macam sekarang ni, sebenarnya, aku sedang mengemas tempat aku bekerja, dan aku dah hampir mempunyai meja kerja sendiri, hanya selepas aku sendiri setup-kannya. Aku tak boleh nak minta meja daripada boss besar aku. Aku perlu usahakannya sendiri.

Aku boleh buat hampir semua benda yang aku mahu lakukan.

Tapi, itulah. Desakkan hidup untuk mencari sesuap lagi nasi, mendesak aku, untuk tidak menghabiskan sepenuh masa aku di bilik kerja aku itu. Dan, ini membuatkan perjalanan kami, menjadi sedikit perlahan.

Lagi pula, baru-baru ni, aku selalu tak sihat.

'Balasan tuhan' kata kawan kepada kawan aku.

Jadi, hari ni, aku dah pun hampir mempunyai meja kerja sendiri dan, kaki aku, sudah beransur pulih. Ditambah lagi, ketika sekarang Trifecta sedang berlatih untuk persembahan mereka yang akan datang, dan ketika aku sedang menaipkan ini, mereka sedang memainkan lagu kegemaran aku.

Jadi, mood aku baik. Aura yang ada di keliling aku, positif dan aku senang untuk menjadi sedikit optimis. Lalu, aku berjanji kepada diri aku untuk berani mengatakan 'fuck you off, boss' bila boss aku yang lagi satu, boss yang menggajikan aku untuk melakukan sesuatu yang aku separuh tak suka, telefon aku.

Aku perlu banyak habiskan masa aku di sini, dan memberikan apa yang sepatutnya seorang pekerja yang waraq, perlu berikan.

I love my co-worker, my supervisor and my boss.


Aku tak licik.

Aku tak licik. 

Macam sekarang. Kalau aku licik, aku dah boleh buat apa yang aku nak buat, dalam keadaan terdesak macam sekarang ni. 

Ini, tak. Aku terpaksa mengiyakan permintaan keliling aku yang mahu aku jadi sepertimana yang mereka mahu. Sekalipun, mereka tak bagi aku ruang untuk bangkit melawan.

Jadi, aku di satu penjuru di tempat kerja yang aku tumpang, aku sedang memikirkan caranya mahu menjatuhkan semua penghalang ini.

Aku, perlu lebih licik.

Rindu bila nampak lampu


I love you.

Wednesday 2 January 2013

Emel aku dah clear

Ada banyak kerja menaip yang tak aku sudahkan
  
Dan, maaf kepada sesiapa yang masih lagi menunggu aku sudahkan kerja-kerja aku itu. Bukan malas. Tapi, dalam kebanyakkan masanya, aku sendiri akan tersangkut di tengah-tengah limpahan perkataan yang aku taip.

Dan, di hujung ayat nanti, sebelum aku letakkan titik noktah itu, aku akan padamkan semuanya kembali, dan kembali merenung muka surat yang kosong.

Dan, itu, menurut Dee Jr. dan beberapa orang teman yang lain, adalah sesuatu yang tidak baik untuk aku- menaip dan mendeletenya semua setiap kali.

Jadi, aku perlukan sedikit lagi masa, untuk aku kembali duduk di meja kerja aku, sambil ditemankan rungut Dee Jr, dan ciuman panas kekasih songsang. 

Ini, janji yang tak pasti bila dapat aku tepatinya.

Aku bangun pagi, sebab aku tahu, aku ada kerja yang perlu disiapkan

Meja kerja aku, tidak bersepah seperti dahulu. In fact, aku dah tak punya meja kerja tetap. Dan, tiap kali pun, aku terpaksa menumpang sedikit ruang yang tersisa di atas meja-meja teman aku yang ada menemankan hari-hari kerja aku.

Jadi, dalam kebanyakkan masanya, aku tak rasa belong.

Dan, bila tak rasa belong, aku tak akan ada hati yang senang untuk melakukan kerja-kerja aku, sebagai seorang hamba kepada sistem. Kerana apa yang sepatutnya seorang hamba sistem perlu miliki, tak aku miliki.

Jadi, ya. Untuk aku, meja kerja memainkan peranan yang sangat penting di dalam satu-satu proses penyudahan sesuatu kerja atau tugasan.

Dan, untuk itu, aku perlu cepat-cepat sembuh dari sakit kaki ini, dan terus melaksanakan rancangan untuk mengangkut masuk meja-kerja-jumpa yang aku ternampak di kawasan tempat kerja aku beberapa masa yang lalu.

Aku perlu merasa belong ke atas bilik kerja aku nanti.

Tahun Baru yang sama

Kalau kau ucapkan 'Selamat Tahun Baru 2999' sekalipun, bukan bermakna, kau sedang bergerak maju ke hadapan.

Apa yang berubah, dan apa yang berganjak cumalah angka. Yang sebenarnya, yang pada hakikatnya, tidak membawa apa-apa maksud yang lebih jauh.

Untuk aku, selagi kebodohan dan ironi-ironi ini masih lagi dirayakan dengan bebas di negara ini, maka ada banyak hal lagi yang belum lagi selesai.

Jadi, untuk aku, 2012 hanyalah sekadar tahun yang baru pergi, yang tidak membawa maksud yang besar, atau membawa perubahan yang ketara. Semuanya masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Yang berubah, cuma bangunan, lebuhraya dan angkanya.

Tapi, bukan sekali jiwa dan otak di dalam tahun-tahun itu.

Selamat pagi, 2 January

Dee Jr., aku percaya masih lagi sibuk menyelinap masuk ke dalam kota-kota kecil, yang asing baginya. Aku yakin, dia masih lagi sibuk menyiapkan dirinya, untuk melihat apa yang mahu dilihatnya, dan terus mempersoal apa yang mahu dipersoalkannya.

Dan, aku harap, otak dan jiwanya, sudah pun jauh meninggalkan 2012, dan meninggalkan apa yang telah ditinggalkannya.

Aku tak mahu sekali, dia tertinggal, terlekat kakinya ke bumi, digam oleh memori-memori kejamnya.

Di mana pun kau berada, aku harap, kau senang di sana, Dee.

Cheers.




  

Happy Birthday, Akid and Aely.


Untuk kekasih songsang yang sedang terbaring di atas katil, keletihan dan kepenatan, aku tujukan lagu ini, untuk kau. Di pagi hari ulang tahun lahirmu.

I love you, Akid.

Dan, untuk seorang kawan baik aku, Aely yang juga meraikan hari ulang tahun kelahirannya hari ini. Harap, dia tak terlalu sibuk untuk meraikannya dengan isterinya yang tersayang. 

Miss you, brother. 

Happy Birthday to both of you. Have a good one.

Love and hug,

p/s lirik 'let me kiss you' yang dinyanyikan berulang kali oleh Morrissey, adalah ditujukan kepada Akid. Aely punya 'let-me-kiss-you', biarlah Mira yang buatkan.


Tuesday 1 January 2013

Ketika langit membiru dan darat menguning.

 



Ketika manusia sedang membersihkan diri mereka, dari ego-ego kuasa mereka, aku ada di celah sana, untuk mengutip sedikit sisa sabun mereka.

Bukan untuk aku bersihkan diri aku.

Tapi, untuk aku faham, apa yang mereka cuba bersihkan.