Monday 19 December 2011

Ceruk Bar

Kata Dee Jr., Fatimah telah pun menjelaskan segala-galanya, melalui tindak-tanduknya, bahawa dia, Dee Jr. bukan lagi orang yang relevan untuk dia, Fatimah jadikan kawan untuk berkongsi, apa sekalipun, walaupun ruang sekalipun.


Jadi, aku duduk di dalam pub pada malam Ahad, diajak oleh Dee Jr. dan menggagalkan usaha aku untuk melupakan kesengsaraan dia buat seketika. Sakit kepala aku akibat kemabukkan semalam, masih belum hilang. Semalam, aku pun tak pasti apa yang dah berlaku sebenarnya, dan semalam, seorang peguam, telah bertukar menjadi anak kecil yang comel. Dan, berada di dalam pub itu, diajak oleh Dee Jr., pada malam Ahad, bukanlah sesuatu yang biasa.


Jadi, aku tahu, keadaannya tak elok.


Jadi, aku pesan beberapa gelas lagi bir, dan aku pesan beberapa botol bir lagi. Di televisyen di depan kami, di satu sudut di dalam bar itu, terpasang perlawanan siaran langsung. Kedua kami langsung tidak menghiraukannya. Ia cuma ada di situ untuk menemankan jiwa-jiwa sunyi yang tak ada benda lain yang nak dibuat selain dari merenung kepada deretan botol arak mahal yang ada di depan mereka.


Dia- Dee Jr. sedang keliru dengan apa yang perlu dirasakannya. Dia tak tahu apa yang sedang dirasakannya, dan semua cecair yang ditelannya juga, tidak meninggalkan apa-apa kesan, selain dari melekatkan baunya di dalam mulut Dee. Dah berbatang balutan sakti yang dah kami hisap tapi, nampaknya, cuma aku yang terjahanam melayan dia. Sedangkan, dia masih lagi mampu berdiri tegak, dan termenung tak tentu pasal.


Jadi, untuk sekali ini, sekali lagi, aku cuma mampu menemankan dia, tanpa aku boleh katakan apa-apa. Matanya tidak lagi menceritakan benda yang sama, dan tidak lagi mempercayai apa yang mungkin pernah dipercayainya. Matanya penat, dan jiwanya kelesuan.


Aku diam, dan sesekali mata aku menjeling kepada skrin yang terpampang di depan aku. Pandang kosong. Hanya untuk mengalihkan tumpuan.


Fatimah, terima kasih kerana kau telah menunjukkan segalanya. Dan sebagai kawan kepada Dee Jr., aku ucapkan terima kasih kerana kau pernah menjadi sebahagian besar hidupnya, dan pernah menajdi alasan untuk Dee Jr. kembali senyum kepada dunia. Cumanya, aku tahu, kau sendiri dah tak mampu nak menahan apa pun. Jadi, terima kasih kerana masa-masa itu.


Dan, terima kasih, kerana kau, aku mampu menghabiskan malam-malam aku kemabukkan, mendengar kepada keluhan dan ketidakpuasan hati dia.


Terima kasih.