Sunday 11 December 2011

Kisah Beg 2



Aku belajar tentang sesuatu, bila aku pandang pada beg koyak aku. Aku belajar tentang kehilangan dan tentang bagaimana kehilangan itu sebenarnya berlaku di atas kebodohan aku sendiri. Kebodohan yang datang riak dan angkuh bersama dengan ego aku.



Jadi, aku terduduk. Terjelepuk di satu sisi ruang hidup aku, memikirkan kembali, apa sebenarnya yang sedang berlaku, bagaimana beg ini boleh koyak?



Aku runsing. Aku tak tahu, apa perlu aku tunjukkan. Aku tak tahu, apa reaksi aku, dan apa yang aku rasakan sebenar-benarnya.



Untuk sekali, Chuck Palahniuk benar. Tentang bagaimana sesuatu itu boleh berubah secara drastik bila kita tersalah membuat langkah.



Sekarang, aku memegang beg yang koyak ini, dan aku tersedar. Tapi, dah terlambat.



'Esprit de l'escalier' bak kata Palahniuk yang mengambil kata-kata orang Perancis.



Aku terduduk. Merenung, dan cuba untuk fahami. Bukan yang lain, tetapi cuba fahami aku sendiri.



Dan, kepada beg yang koyak, maafkan aku. Aku tak pernah bermaksud untuk menyeksa kau, atau menyakitkan kau. Aku cuma terfikir, itulah yang terbaik boleh aku lakukan. Tapi, aku juga manusia- punya takut, dan punya persoalan yang belum terjawab.



Beg, untuk sekali ini aku mahu kau gembira, mungkin bersama tuan yang baru, atau bersama sang alam sahaja. Aku mahu kau gembira, dan maafkan aku.