Tuesday 20 December 2011

Tosai Garing

Aku bergolek ke kanan, dan ke kiri, cuba untuk mencari posisi yang paling selesa untuk aku habiskan minit-minit terakhir aku berjaga. Cuaca tak panas. Angin masuk menerjah perlahan. Aku tak terkejut. Aku tak takut, aku layankan je, apa yang angin bagi. Selagi boleh kawal, aku biarkan. Kalau dah tak boleh, aku terpaksa tutup tingkap, pasang kipas.


Tak boleh tidur. Aku bangkit. 


Dalam otak aku, berlegar macam-macam soalan, dan macam-macam hal yang aku belajar. Satu persatu masuk dan keluar ke otak aku. Perlahan-lahan, ia masuk ke dalam lipat-lipat otak aku. Aku layankan. Macamana aku layankan angin malam ni.


'Manusia,' kata Dee Jr., 'memang komplikated'.


Dan, mungkin manusia, terlalu sempurna, untuk menerima pesalah seperti Dee Jr. yang cuba sekali untuk melakukan perubahan. Walaupun dah banyak kali dia cuba? 


Macam kes-kes banduan yang keluar dari penjara, dihakimi kali kedua, dianggap akan melakukan kejahatan mereka lagi.


Aku pandang kepada siling. Pandang pada kipas, yang bergerak, berputar laju. Dinding merah penuh tertampal nota-nota pendek, di kanan pintu, ada berdiri beberapa botol bir kosong. Sunyi tersembunyi di balik bayang-bayang malam.


Jadi, dalam kes si Dee Jr., dia cuba untuk menjadi baik, aku faham. Dia cuba mencari mana silap yang telah dia lakukan, aku faham. Dan dia juga menghabiskan masanya meng-google ayat-ayat yang boleh mengajarnya membuangkan ego bodohnya. Aku nampak usahanya, tapi malang untuk dia, bila Fatimah tetap tak yakin dengan apa yang dilakukannya.


Mungkin, Fatimah terlalu penat untuk mempercayai bahawa usaha ini akan berjaya. Mungkin, Fatimah sendiri dah tidak merasakan apa-apa yang relevan yang boleh si Dee Jr. lakukan.


Dinding merah, sesekali seolah menyala. Dan, sesekali akan tenggelam di balik nota-nota pendek yang tercatat di atas kertas kuning itu. John Frusciante, menemankan malam aku.


Aku boleh nampak jelas tindak tanduk Fatimah yang mungkin cuba menjelaskan betapa jengkelnya Dee Jr. di mata dia. Dan, aku mungkin boleh baca, betapa terdesaknya, Fatimah mahu Dee Jr. main jauh-jauh.


Tapi, Dee Jr. tetap macam orang bodoh. Tapi, aku tak boleh nak katakan apa-apa padanya. Dia sedang meraikan kejahanamannya, di ceruk-ceruk bar, bersama dengan manusia-manusia yang tak dikenalinya, atau dengan aku.


Kalau aku duduk, dan ceritakan pada dia apa yang aku rasa, aku yakin, dia akan bungkus pakaian dia, dan akan minta kebenaran bermalam di mana-mana bar, untuk jangka masa yang panjang.


Jadi, tak ada apa yang boleh aku buat. Aku sendiri tak boleh nak salahkan Fatimah atas ketidakpercayaannya kepada usaha sementara yang Dee Jr. lakukan. Tapi, apa yang aku boleh katakan, sekurangnya, dia sedang berusaha, untuk menjadi dirinya, yang elok-elok sahaja, macam dia yang kami semua kenal sebelum ini.


Mungkin, dah terlalu banyak insiden yang berlaku yang buatkan Fatimah bertindak sedemikian, dan jujur, kalauaku sendiri, mungkin aku pun dah lama pergi. Siapa yang sanngup bertemankan si bodoh macam Dee Jr. ni?


Tapi, aku tak boleh nak cakap banyak. Sebab, aku tak mahu menjadi pengaruh kepada keputusan-keputusan yang bakal Dee Jr. buat sebab aku tak nak meleret dengan satu masalah ini. Jadi, aku layankan sahaja. Sebab, aku boleh dapat bir percuma, aku boleh mabuk sampai aku tak ingat nama aku, tanpa aku perlu keluarkan lebih dari sepuluh Ringgit untuk beli rokok seludup.


Jadi, dengan bertemankan malam dan dinding merah, aku cuba fahami, kegilaan manusia, yang takut akan ketidaksempurnaan, takut akan manusia-manusia yang pernah membuat dosa, dan takut dengan manusia-manusia yang sedang bertaubat.


Mungkin, manusia terlalu sempurna untuk menerima manusia-manusia seperti ini. Pesalah lampau.


Jadi, aku capai telefon aku. Aku bosan dengan sunyi macam ni, dan malam macam ni. Aku tak nak malam esok aku jadi macam ni lagi. Lalu, lal aku taipkan mesej;


'Aku rasa, esok kau perlu belikan aku bir'