Friday 2 December 2011

Terapung di dalam hujan

Apa yang tinggal sekarang?


Tak ada apa, cuma apa yang aku harapkan, dia gembira dengan jalan yang dia pilih, dan aku harap, dia akhirnya akan menjalani kehidupannya seperti sediakala, sepertimana yang dia jalani, sebelum aku tarik dia masuk ke dalam hidup aku.


Jadi, apa yang tinggal sekarang?


Sekarang, cuma tinggal jasad kami, yang sedang berlakon, tersenyum menempuh hari-hari kami tanpa kami mampu untuk berkomunikasi seperti sedia kala, dan aku sendiri, kadang-kadang terasa mahu katakan sesuatu, cuma aku perlu hormati pendiriannya, untuk tidak lagi mendengar apa pun dari aku, supaya, keputusan yang telah diambil, tidak akan diubah.


Aku faham, dan aku rela untuk itu.


Lalu, apa lagi yang tinggal, sekarang?


Aku tak lagi mampu untuk bertanyakan khabar dia, atau apa yang dia rasakan, atau apa sekalipun. Persoalan, atau penyataan yang keluar dari rongga aku, kebanyakkan akan dibalas dengan senyap. 


Tapi, aku gembira kerana dalam masa yang sama semua kegilaan ini berlaku, dia bertemu pula dengan seorang teman yang sempurna, yang boleh diajak berbual dan boleh diajak berkongsi hidup, yang mana itu adalah sesuatu yang tak pernah aku berikan pada dia.


Jadi, apa yang tinggal sekarang?


Sekarang, cuma ada aku, dan basikal, dan laptop, dan juga beberapa tempat untuk aku tuju. Untuk aku nikmati semua tembakkan laju yang menakutkan, aku sembunyikan diri aku, jauh dari norma aku, aku biarkan, dan aku telan semuanya.


Mungkin, ini adalah masa untuk aku menelan, dan belajar. Aku katakan pada diri aku, inilah hukuman yang aku terima dari apa yang aku miliki dalam diri aku- ego dan emosi aku.


Jadi, untuk sekali ini, aku sedang belajar. Belajar sambil aku mentelaah buku. Buku-buku paranoid tentang kehilangan, dan tentang pekongsian yang jahanam


Aku tak bermaksud untuk mencari sebab terjadi, kerana aku tahu, jawapan yang aku temui akan menudingkan jarinya kepada aku. Aku yang bersalah, dan aku telah bersalah sejak lama dahulu.


Tapi, apa yang aku mampu janjikan, adalah sayang, dan cinta, yang tak akan pernah lupus.


Sekurangnya, itu yang mampu aku miliki, dan mampu aku simpan di dalam diri naif dan daif ini.


Aku berharap, bintang akan terus tersenyum, langsung di masa kelak, dia akan menemui segala apa yang dimahukannya.


Aku? Aku telah pun mati, hanya jasad terapung, memenuhkan ruang yang dipinjam.