Thursday 22 December 2011

Oren

Dee Jr. mengeluh.


Dia sedang duduk di dalam kelas hidup. Kelas yang dibuka di pub-pub di kota sunyi ini. Dia duduk, dan dia mengulangkaji pelajarannya.


Dia sedang meraikan kehilangan. Dan dia sedang belajar untuk menyedarkan dirinya bahawa dia dan Fatimah, bukan lagi membaca buku yang sama seperti dahulu. Jadi, dia perlu belajar untuk biasakan dirinya untuk membaca perenggan selepas perenggan sendirian. Dan dia perlu belajar untuk menafsirkan segala isi buku itu, sendirian. Tak ada lagi Fatimah untuk berdebat, berhujah dan berkongsi.


Fatimah sudah punya pasangan lesbiannya sekarang.


Dan, Dee Jr. bukan lagi orang yang Fatimah perlukan. Dee Jr. cuma daging besar yang bergerak di dalam rumah mereka. 


Tapi, Dee Jr. masih lagi terkial-kial untuk memahami semua itu.


Tak apa. 'Sabar. Perlahan-lahan sikit' kata aku padanya, cuba untuk menasihatkannya.


Dia diam.


Mungkin, dosa yang telah dia lakukan, terlalu besar untuk Fatimah dan salahnya Dee Jr. bila dia cuba mengembalikan kepercayaan Fatimah kepadanya. Kepercayaan bahawa dia sedang cuba untuk berubah.


Tapi, Fatimah dah penat. Dia tahu, pasangan lesbiannya ada lebih banyak kebaikkan. Dan, Fatimah tak perlu sedikit pun nak sakit kepala dengan pasangan lesbiannya itu. Mereka terlalu bahagia sekarang dan bahagia Fatimah itu, tak pernah Dee Jr. tengok seblum ini. 


Jadi, untuk apa Fatimah pedulikan dia lagi?


'Jadi' katanya, 'dia memang gembira di sana' dia lepaskan keluhan. Putus asa. Kecewa, dan masih terkejut.


'Dan, aku mahu dia gembira' sambungnya.


Aku pegangkan bahu dia. Dan ketika jam menunjukkan tepat jam sembilan pagi, di hari Khamis, aku hulurkan satu segelas wiski kepadanya.


Aku pandang ke luar tingkap. Pagi, kau terlalu kejam.