Monday 19 December 2011

Projek Kelas

'Pertama,' kata Dee Jr., 'kita masukkan benda ni ke dalam ni' sambil dia masukkan campuran tembakau dan satu lagi hasil alam ke dalam corong besi. Corong yang bercantum dengan satu rod yang dicucuk di tepi sebuah botol lutcahaya. Tingginya, lebih kurang enam lapan inci. Di dalamnya, tersimpan sejumlah kecil air. Tidak memenuhi ruangnya. Cukup untuk menapis asap sahaja.


Aku berikan perhatian aku kepada dia, sambil di belakang aku, terpasang kuat lagu John Frusciante. Aku biarkan, aku biarkan terpasang sejak dua hari lepas. Aku perlukan kawan, dan John Frusciante perlukan kawan. Kami ada persetujuan bersama. Jadi, dia datang dan duduk di belakang aku- memetik gitar dan menyanyi puisi. Puisi mat dadah.


'Lepas tu,' sambung Dee Jr. lagi, 'kau cari lighter' dipanjangkan lagi pandangannya, mencari-cari pemetik api.


'Leceh' keluhnya perlahan. Aku terdengar. Lagu John Frusciante bergerak ke trek yang seterusnya. Diam untuk satu saat. Atau lebih. 


'Ha' katanya, teruja bila ternampak pemetik api oren di bawah bantal. Diangkatnya tinggi, terpancar sinar dari bawah lampu tidur.


'Lepas tu,' sambungnya lagi, 'kita bakar' ditundukkan kepalanya. Mulutnya disumbat menutup seluruh mulut botol. Tangan kirinya memegang botol. Menutup satu lagi lubang kecil, dan tangan kanannya memegang pemetik api oren, menghidup dan membakar campuran tembakau menjadi bara.


Panas. Bunyi gelegak air, mengiurkan. Lalu, sedetik kemudian, asap berkumpul, ternampak dari luar botol lutcahaya. Botol kuning, lalu asap putih, dan air putih terlihat kuning dari luar. Dee Jr. pejamkan mata, entah meleret ke mana. Aku tak sempat capai tangan dia.


Dia menarik kuat. Bara yang membara, tersedut masuk ke dalam rod. Menghilang di balik salur besi, meninggalkan corong sendiri, kembali kosong.


Asap menerjah ke atas. Mahu bebas. Tetapi, bukan ke langit. Cuma ke dalam keronkong dan rongga Dee Jr.


'Dan,' sambungnya bila asap sudah disedut dan dihembus semua, 'kita akan gembira'.


Selamat petang, kawan.