Saturday 3 December 2011

Potong 1

"Sam berlalu pergi, meninggalkan tingkap biliknya lalu melabuhkan punggungnya di atas katil. Dicapainya secara random sebuah buku yang tersusun kemas di atas meja kerjanya. Dia sandarkan badannya ke dinding dan dicapainya remote control untuk dia kuatkan lagi muzik tulisan Mozart yang ditelannya sejak petang itu.


Awan malam sudah semakin gelap, sudah hampir mahu hujan ketika itu, ketika Sam menyandarkan badannya ke dinding, dan ketika muzik sunyi Mozart menemankan Sam mengelamun sendiri di dalam biliknya.


Di luar, Jude dan Samsa sedang sibuk menghabiskan sisa-sisa malam mereka dengan menghembuskan asap-asap kanabis bebas ke udara, seolah seperti mereka membebaskan merpati-merpati terkurung yang terlihat jelas kesedihan di mata mereka.


Mereka memang tak akan menganggu Sam bila dia membawa dirinya jauh dari orang lain kerana itulah sifat Sam- dia lebih mudah untuk duduk bersendiri di dalam dunianya sendiri. Tak ada siapa yang benar-benar faham apa yang sebenarnya otaknya sedang fikirkan.


Trek ke empat dari CD Mozart sedang kedengaran- Pathetique. Sam mengelamun, memandang kosong kepada dinding. Seolah di depannya terhidang satu perjalanan jauh yang tak nampak penghujungnya. Dan, dia berdiri di garis mula, seolah dia mahu selesaikan hari minggunya itu, dengan menyusuri perjalanan yang ada di depannya itu."