Saturday 17 December 2011

Tidak Berbutang

Dee Jr. sedang kebuntuan, dalam gelora lautan jiwa, tak keruan, dan tak punya rasional lagi untuk meneruskan apapun, buat masa ini.

Jadi, dia banyak menghabiskan masanya dengan aku, mencari peluang yang ada untuk dia bersama dengan aku, melepaskan keluhannya dan menghabiskan sejumlah wangnya untuk membeli alkohol-alkohol atau bermacam lagi substance yang ada. Sepertinya, aku adalah raja yang akan dapat segala apa yang aku hajati, dan Dee Jr. akan terus patuh dengan semua permintaan aku. Cuma, dengan syarat, aku sudi menghabiskan masa aku dengannya, mendengar keluhan dan rungutannya.

‘Fatimah’ katanya, sambil tangannya menyelak-nyelak helaian majalah yang ada di depannya, ‘dah tak nak cakap dengan aku’ lalu dia pandang muka aku. Aku alihkan pandangan aku, tepat kepada Bob Dylan yang tertampal di dinding bilik aku.

Janggal. Aku berpura-pura yang aku sedang berfikir, mengerut dahi untuk meyakinkan Dee Jr. yang aku sedang memikirkan apa yang dikatakannya itu. Sedangkan, tak ada apa yang boleh aku fikirkan dari apa yang dia baru cakapkan tadi. Tapi, dia di luar fokusnya dan dia tak akan perasaan kesilapan kecil yang aku lakukan tu. Jadi, aku teruskan lakonan aku.

Katanya, ‘aku tahu, dia takut untuk cakap apa-apa dengan aku’ lalu dihulurkan tangannya menuding kepada bong kuning yang terletak di hujung sofa di dalam bilik aku, sofa biru yang pernah menjadi bot asmara yang dibantai gelora laut. Di tepi sofa biru, berdirinya ukiran kayu, yang dihadiahkan oleh Dee Jr.. Ukiran itu telah berdiri di tempat yang sama selama lebih dari 3 tahun, dan di dalam kebanyakkan masanya, tak ada siapa pun yang akan perasan akan kewujudannya.

Aku hulurkan kepadanya, bersama dengan balang kedap udara yang tersimpan herba sakti di dalamnya. Dengan cermat, dia lakukan segala proses sehingga sudah, sehingga kepul asap itu berjejeran keluar dari mulutnya. Dilepaskan sekali keluhannya. Matanya merah, dan mata aku pun merah. Merahnya mata kami, menggambarkan betapa jauhnya kami dari tanah realiti ini.

Aku temankan dia. Aku layankan apa yang dia nak katakan. Dan dalam keadaan seperti ini, dia memang selalu betul, dan aku pula hanya akan memberikan dia pendapat-pendapat yang akan ditolak mentah-mentah. Dia tanyakan aku soalan, untuk dia paksakan aku menerima jawapan yang diberikannya. Dia degil, dan dalam keadaan seperti ini, kedegilannya boleh jadi sangat menjengkelkan.

Menurut Dee Jr., Fatimah yang ada sekarang ni, bukanlah Fatimah sama yang dikenalinya. Mungkin, kerana terlalu membencinya, lalu Fatimah berkeputusan untuk berkomunikasi dengan jujur, dan terus dengannya. Katanya, Fatimah seringkali mengharapkan supaya Dee Jr. akan berkelakuan seperti biasa, memandangkan mereka masih lagi tinggal bersama. Tapi, menurut Dee Jr., konflik wujud bilamana tindak-tanduknya, tak sama seperti apa yang dikatakannya. Tindakkanya seolah dia sangat bencikan Dee Jr. dan mahu dia pergi secepat yang mungkin.

Jadi, Dee Jr. jadi lebih jahanam. Tak ada hala tuju, dan tak ada kawan, maka akulah yang dikutipnya untuk menemankan dia mengayuh basikal hidup dia itu.

‘Dia mahu aku bersuara, tapi’ katanya terhenti, disedutnya bong kuning itu dengan cermat. Hembus. Kepul asap terapung di beberapa ruang di depan kami. Mata kami berdua sibuk melayan kepul asap yang ada.

Kami meleret. Langsung melupakan ayat tergantung Dee Jr. yang terpotong oleh sedutan bong. Tapi, aku faham. Aku sendiri pernah melihatnya, dengan mata dan kepala aku sendiri. Aku sendiri boleh menghidu betapa bencinya Fatimah kepada Dee Jr. sekarang, seolah jika diberikan peluang kepada Fatimah, mahu direjamnya kepala si Dee Jr. dengan batu yang beribu. Dan, dengan jelas boleh aku lihat yang Fatimah dah tak punya apa lagi hati dan perasaannya kepada Dee Jr. dan bukanlah pelik jika Dee Jr. dilupakan begitu sahaja oleh Fatimah.

Sekarang, untuk Fatimah, Dee Jr. cumalah bangkai hidup yang cuba mahu merosakkan lagi hidupnya. Mahu merumitkan keadaan hidupnya. Dan untuk Fatimah, mungkin sekarang Dee Jr. cumalah parasit yang menumpang, yang tak pernah bersyukur dengan apa yang telah diberikan kepadanya. Dan, yang paling jelas, untuk Fatimah, Dee Jr. cumalah manusia bodoh, yang tak akan pernah faham akan apa sekalipun dan, dia bukan lagi orang yang relevan untuk diajak berbual, berbincang, berkongsi, atau apa sekalipun. Dan, aku yakin, kerana itulah Fatimah cuba mengelakkan perbualan. Kerana dia tahu Dee Jr. yang bodoh ini, akan merosakkan keputusannya. Dia, tak mahu sekali lagi ditipu perasaannya.

Lagipun, untuk apa dia harapkan pada Dee Jr. lagi? Sedangkan dia sudah pun punya teman lesbian yang boleh berikan dia segala apa yang dia mahukan, yang boleh berikan dia kebahagiaan sepertimana manusia lain terima.

Aku faham. Dan Dee Jr. pun faham dan dia sendiri akui, kekurangan dan kesilapan yang dia ada.

Dan aku boleh nampak semuanya dengan jelas. Cumanya, bukan tanggungjawab, atau tugas aku untuk menyibuk tentang hal mereka. Cumanya, di dalam ruang yang aku ada ini, aku punya hak untuk tulis apa yang aku nak, dan aku yakin, kedua dari mereka, tak akan baca apa-apa pun yang aku taipkan di sini.

Jadi, aku pandang kembali kepada Dee Jr., lalu aku lupakan kepul-kepul asap yang ada. Aku tak mahu pergi sejauh Dee Jr. , dan aku tak mahu kepenatan mencari jalan pulang nanti. Aku bangkitkan diri aku dari khayal yang terlalu berat. Aku cuba bukankan mata aku seluas mungkin.

Mata aku memandang kepada Dee Jr.- seorang pencinta yang gagal, yang sedang berada di dalam kejahanaman, di ambang maut jiwa-jiwanya. Aku pandang kepada dia, dan aku cuba nasihati diri aku sendiri, bahawa inilah kesannya bila kita punya sifat-sifat sebagai manusia. Kita akan terpaksa bergelumang dengan semua perasaan yang mengelirukan itu.

Jadi, sambil tangan aku mengusap ukiran kayu yang selalu diabaikan, aku lemparkan pandangan aku kepada dunia, sambil otak aku cuba memikirkan sesuatu. Cuba untuk mencari kepada titik mula kepada apa yang sedang berlaku. Kepada aku, dan kepada Dee Jr. Cuba untuk mencari jawapan, untuk aku redakan diri aku, dan untuk aku redakan jiwa Dee Jr. yang kekalutan. Tak ada satu perkataan yang boleh aku cari untuk aku tutupkan keresahan itu.

‘Lain kali, kalau tak kuat, jangan cuba bermain dengan dumbel’ bisik hati aku seolah aku katakannya kepada Dee Jr.

Tarik. 

Dan kemudian, hembus.