Friday 16 December 2011

Malam Jumaat

Dee Jr. duduk di sebelah aku, menghadap barisan botol arak mahal yang ada di seberang bar sana. Di depan kami, pekerja bar, seorang lelaki, sedang sibuk ke sana dan ke sini, berkejaran untuk menyediakan minuman yang telah dipesan. Aku tak berduit, tapi oleh kerana Dee Jr. sedang menghadapi kerumitan di dalam hidupnya, maka aku berpeluang untuk menikmati arak percuma.

‘Selain Fatimah,’ kata Dee Jr. beberapa tahun sudah, ‘kau je lah yang aku ada’ dan dari situlah bermulanya tradisi yang mana aku akan menemankan dia, walau dalam apa jua keadaan ekonomi aku, untuk masuk ke dalam bar, dan menyelubungkan diri kami dengan kegelapan yang dialaminya. Tak banyak isu yang dia ada, kebanyakkannya pasti akan ada saling kaitan, sangkut paut dengan Fatimah.

Ya. Fatimah. Nama kekasih gelapnya, Fatimah, seorang gadis Seremban. Hanya aku di dalam senarai kawannya, yang tahu, apa yang berlaku di antara mereka berdua. Fatimah, seorang jururawat di hospital swasta yang datang dari latar belakang bangsa dan agama yang berbeza. Hubungan cinta mereka adalah hubungan yang boleh mendatangkan marah kepada kebanyakkan masayarakat di negara ini. Jadi, bila tiap kali dia menelefon aku dengan suaranya yang muram, aku tahu, aku bakal dihidangkan dengan arak tanpa henti. Tanpa limit.

Dan, aku dipaksa untuk menjadi predator.

Dan, di dalam pub itu, pada malam Jumaat yang mendung itu, Dee Jr. duduk di sebelah aku. Menghadap botol-botol arak mahal yang tersusun cantik di rak belakang bar. Matanya lesu, kepenatan dan bau pewangi pejabatnya, masih melekat di baju kerjanya. Dan cahaya malap yang datang dari atas kami, sesekali akan dipenuhi dengan hembus asap rokok yang tak henti-henti sepanjang kami duduk di sana.

Dee Jr., dia mungkin boleh orang lain pandang sebagai seorang yang lain cara fikirnya, tapi bukan untuk aku. Untuk aku, dia cumalah jasad bodoh yang dah mati, dia tak hidup. Matanya menceritakan tentang bagaimana sebenarnya, dia mahu keluar dari dunia nyata ini, keluar dari realitinya. Realiti yang tak mungkin dia sendiri fahami. Dia bodoh, dan dia mudah panik, dan disebabkan oleh faktor-faktor itulah aku berada di sana, di sebelahnya, di bawah malap cahaya yang berasap itu, mendengar kepada keluh kesahnya yang tak mungkin akan habis.

Dia ketakutan. Ketakutan ketika dia sedang menghadapi krisis di antara dia, dan Fatimah. Krisis yang terlah membuatkan dia perlu kembali kepada hidup asalnya- bersendiri, secara emosinya.

Pandangannya dilemparkan hambar ke hadapan. Ke deretan botol-botol sunyi yang tersusun di atas rak sana. Kedengaran perlahan keluhnya di balik lagu-lagu yang terpasang di dalam pub itu. Malap-malap cahaya yang terpancar sesekali menyuluh penglihatan kami, seolah-olah cuba memainkan peranannya di sana, cuba untuk memberitahu kepada asap rokok bahawa mereka perlu hiburkan kami.

Aku teguk lagi bir masuk ke dalam mulut aku, lalu membasahkan tekak aku yang kesejukkan, memberikan hangat yang tinggal untuk seketika di anak tekak aku. Aku bilasnya dengan menyedut asap rokok. Hidup yang sihat.

Jangan risau, ini bukan kali pertama perkara seperti itu berlaku. Sepanjang aku mengenalinya, aku menghabiskan sebanyak tiga per empat masa kami dengan menjadi ‘penasihatnya’. Jadi, aku boleh tenang di dalam menghadapi situasi itu, situasi yang tak mungkin boleh orang lain tangani. Dia terlalu menjengkelkan bila di dalam keadaan yang seperti itu.

Jadi, aku tenang. Aku betulkan posisi duduk aku, dan aku sandarkan sebahagian badan aku kerusi bar itu. Aku hembuskan perlahan asap rokok ke atas, menerjah lampu malap. Aku kawalkan nafas aku, dan aku cuba susunkan ayat-ayat aku, supaya tidak menjadi bahan perdebatan kelak.

Tapi, tak susah. Dia bodoh. Dan dia adalah orang bodoh yang sedang ketakutan dengan kehilangan, dan sedang di dalam ambang maut, memikirkan tentang apa yang boleh berlaku selepas ini. Jadi, ada banyak lohong-lohong kosong yang boleh aku masuki dan boleh aku tusuki, dan isi dengan hal-hal yang perlu, supaya dia boleh reda semula, dan kembali menjalani hidup gilanya.

Aku minta lagi sebotol bir dan aku minta segelas whisky untuk Dee Jr. dan seperti anak kecil, aku tenangkan, aku berikan gula-gulanya, aku berikan alcohol kepadanya, dan aku cuba contengkan pelangi kembali ke atas mukanya. Aku benci melihat dia mengerutkan dahinya. Imej yang membencikan itu, tak mungkin aku boleh tangani. Langsung, aku perlu berusaha untuk mengelakkan situasi yang tak mampu aku tangani itu.

Aku lihat pada tubuhnya. Aku hirup perlahan bir masuk ke dalam mulut aku. Aku bersihkan kesan buih di bibir aku. Aku letakkan gelas kembali di atas meja dan aku pandang kepada susuknya. Dia cuma melemparkan pandangan hambar dan takutnya ke deretan botol-botol arak mahal itu.

Kini, dia perlu belajar untuk hidup sendiri kembali, seperti sediakala, seperti sebelum dia mengenali Fatimah di persidangan Herba sedunia. Dia kini perlu belajar untuk tidak dihiraukan, dan dia perlu belajar untuk hanya menyimpan apa yang difikir dan dirasakannya kepada dirinya sahaja. Dia tak punya Fatimah lagi, dan Fatimah sendiri, aku yakin dah tak punya perasaan kepada dia. Kebodohan Dee Jr. sendirilah aku yakini yang menjadi punca kepada semua permasalahan mereka.

Ego. Dia memang terkenal dengan egonya, ego yang selalu bercampur gaul dengan emosi dan rasa takutnya yang datang entah dari mana. Jadi, bodoh. Aku dah nasihati dia banyak kali, dan dah beribu Ringgit duit yang telah dia habiskan untuk menghadiri sesi terapi yang aku adakan khas untuk dia di bar itu.

Tapi, dia masih belum berjaya. Mungkin, baik untuk aku. Aku masih berpeluang menikmati arak percuma tanpa henti, tanpa had dan aku akan disumbat dengan makanan-makanan enak, dan rokok mahal, dan aku punya sesuatu untuk aku lakukan di waktu lapang kami.

Jadi, aku rela menjadi pendengar yang setia. Dan, dia sendiri dengan rela menjadikan aku predator yang akan membaham apa sahaja yang ada di depan aku.

Dan, ketika malam itu, Dee sendiri tahu yang segalanya telah berakhir. Apa yang tinggal cumalah dua jasad yang saling mengenali, dan tak ada lagi perasaan yang tertinggal. Kebodohan yang Dee miliki, telah menghakis perasaan-perasaan yang mereka ada sebelum itu, dan aku ucapkan tahniah kepadanya malam itu.

Aku tak tahu apa yang perlu aku katakan padanya, dan aku tak tahu jika apa yang aku cakapkan itu akan mampu mengubah apa-apa dan aku tahu aku perlu mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa, tidak juga untuk bercakap apa-apa, selain menemankan dia, sambil memberikan dia ruang untuk berfikir, tanpa perlu dia rasa yang dia sedang bersendiri.

Aku pandang kepadanya, dan aku hembuskan perlahan asap rokok ke atas. Lampu malap kelihat indah menari, bersama dengan kepul-kepul asap, di malam Jumaat, ketika Dee sedang sakit kepala memikirkan kebuntuannya.

Aku diam.

Aku tak tahu, dan aku pesan lagi beberapa botol bir, dan aku ucapkan terima kasih kepada Dee Jr.

Satu malam lagi, Dee Jr. kebuntuan bersama dengan aku. Datang mengharap jawapan, tapi kecewa, dia pulang hanya dengan poket kosong dan ketakutan yang tak menghilang.

Padan muka.