Wednesday 21 December 2011

John Frusciante

Mak aku dah tua. Lahir tahun 1944, pada tarikh yang sama dengan aku lahir, berpuluh tahun selepas itu. Dia dibesarkan di kampung, dan berkahwin kepada seorang lelaki yang dah berkahwin, dan dah mempunyai lapan orang anak. Hasil perkahwinan mak dan ayah aku, mereka berjaya memperoleh lapan orang anak, sebelum ayah aku meninggal dunia, lima belas bulan selepas aku dilahirkan. Aku tak pernah tanya betul-betul, apa yang berlaku pada ayah aku. Mak dan kakak-kakak aku pernah cerita, tapi aku tak pernah tanya, apa yang aku nak tanya. Mungkin, pertanyaan aku cuma akan buat mereka (yang pernah merasa kasih sayang ayah aku), sedih.


Hari ni, aku tiba-tiba teringat pada mak aku, yang masih tinggal di kampung, bersama dengan seekor kucing, dan sesekali akan ada abang-abang dan kakak-kakak aku datang melawat dan membantu apa yang perlu.


Mak aku orang yang simple. Makcik-makcik tipikal kampung, yang akan menyarungkan baju kurung Kedah hampir pada setiap masa. Makcik-makcik tipikal yang akan menyiram bunga bila waktu petang sampai menjengah bumi. 


Dia tak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah sebab ketika selepas datuk aku daftarkan mak aku untuk masuk ke sekolah, dia (datuk aku) terpaksa berangkat ke Mekah dengan menaiki kapal untuk menunaikan Haji. Jadi, Datuk aku mengamanahkan mak cik aku, kakak kepada mak aku untuk melangsaikan hal itu. Malangnya, mak cik aku, berpendapat yang mak aku tak perlu ke sekolah. Mungkin dengan tanggapan yang wanita, akhirnya akan duduk di ceruk dapur juga.


Jadi, dia tak hantar mak aku ke sekolah. Dia merasakan yang mak aku akan lebih baik masa depannya, jika tak ke sekolah, dan tinggal di rumah sahaja, menjaga anak-anak kecilnya.


Dan, di situ, mak aku menghabiskan masa kecilnya- tidak ke sekolah, dan tidak mendapatkan pendidikan asas membaca dan menulisnya di sana. Yang dia boleh lakukan, cuma menggunakan imaginasinya, membayangkan dia berjalan kaki ke sekolah. 


Tapi, mak aku tak pernah marah mak cik aku tu. Dan, dia sendiri pesan pada anak-anak dia, supaya jangan dibenci orang itu. 


Sebab, mak aku memang rileks.


Kalaulah aku boleh jadi macam dia, memaafkan, dan rileks, aku rasa aku akan dapat hidup dengan lebih senang.


Bila ada masalah, aku cuma perlu keluar dari rumah, dan pergi siram pokok bunga. Atau, cantas bunga kantan. Atau, tanam lebih banyak lagi pokok.


Tadi, mak aku telefon. Sesekali, dia cuba untuk menyelitkan cerita-cerita kahwin pada aku. Cerita tentang masa depan. Tentang warisan, dan tentang dunia dewasa.


Aku diam. Aku malas nak layan. Dan, aku masih belum cukup kuat untuk luhurkan hati ibu aku dengan beritahu dia, betapa gay-nya aku. Jadi, aku diam. Melayankan.


Dan, sesekali aku akan bersuara, berharap supaya dia mengubah topik. Sebab, aku tak nak bergaduh, atau tinggi suara dengan dia. 


Bukan sebab adat, atau dosa ke apa. Tapi, sebab aku sayangkan dia. Aku tak nak tinggikan suara aku, sebab aku sayang dia. Dan, aku tahu, aku sendiri akan sedih, bila aku tinggikan suara aku pada dia. Pecayalah. Aku pernah laluinya.


Mak aku risau. Risau kalau-kalau sebelum dia pergi, dia tak dapat nak tengok aku bahagia dengan orang yang secara sahnya, boleh menggembirakan aku. Dia risau, kalau-kalau bila aku makin tua, dan dia tak ada untuk aku, aku akan jadi hilang arah.


Aku lepaskan keluhan kecil. Mata aku berat sikit. Kepala aku, khayal. Ini bukan masa yang sesuai, mak.


Aku tahu, mak aku sayangkan aku. Dia risaukan aku. Dia risau kalau aku jadi sunyi. 


Tapi, dalam kebanyakkan hal, mungkin dia tak boleh nak faham aku. Kerana aku sendiri punya cerita-cerita gelap, bahagian dan sisi tersorok yang aku tak boleh nak bualkan pada dia. Aku takut, dia akan sedih.


Jadi, biar rahsia itu terus tersimpan. 


Tapi, disebabkan rahsia itulah, mak aku akan terus ingatkan aku tentang masa depan, dan kahwin.


Masa depan, aku boleh dengar lagi.


Kahwin? Maaf, mak. Saya tak boleh.


Jadi, aku tak tahu, apa perlu aku buat, untuk sekali ini. Aku tak mahu tinggi suara, atau seperti biadap kepadanya. Tapi, sampai bila perlu dia seperti ini?


Aku lepaskan keluh. 


Dan, di balik perbualan yang membosankan itu, aku terbayangkan imej mak aku, berdiri di bawah pokok sirehnya, menyiram bunga-bunganya. Dan, sesekali dia akan mengesat peluhnya di dahi dengan lengan baju yang dipakainya. 


Aku lepaskan keluh lagi.


Dan, aku berharap aku boleh beritahu mak aku tentang siapa aku, dan minta maaf untuk itu, jika itu menyakitkan dia.