Wednesday 25 September 2013

Kerana aku masih sayang Dee Jr.

'Mana kita pergi selama ni?' tanya Dee pada aku, pada satu malam, ketika kami sedang di dalam gelap, mendengar kepada rekod Bob Dylan, sambil kami memandang langit yang terbentang luas, yang gelap, yang bertemankan dengan bintang-bintang yang nampak berkelip.

Aku diam, membisu dan tidak menjawab tanyanya itu, kerana aku buntu, atau tak bersedia, atau aku memang tak tahu jawapannya. Bahkan, soalannya cukup tricky, dan deep untuk aku tafsirkan ianya sebagai satu soalan yang mahu bertanyakan keberadaan kami semasa siang sebelumnya.

Bukan itu, setahu aku. Dan aku yakin.

Jadi, di balik suara Dylan memelodikan semua puisi-puisinya, aku diam tidak menjawab.

Aku tahu, dia rindukan diri dia sendiri, hidup dia sendiri, dan orang-orang yang pernah ada di kelilingnya. Aku faham perasaan rindunya itu. Rindu yang tak berpenghujung, rindu yang tak dapat dihuraikan, dan tak dapat difahami oleh orang lain, termasuk aku, katanya.

Dan, kerana rindu itulah, kami berdua terbaring di dalam gelap, terintoksikasi, berat dan deep, sambil kami dengar kembali kepada Dylan, untuk menyeru kembali romantik malam-malam yang pernah kami habiskan masa kami bersama satu masa yang lama dahulu. Dan, kerana rasa rindu itulah, timbulnya ragu yang sangat mendalam pada masa lampau yang pernah dia (Dee) alami. Rasa rindu itu juga, berbaur penyesalan. Tapi, ianya tak jelas.

Aku beritahu pada dia, ketika moment senyap beberapa saat di antara dua lagu- bukan salah kau, kau nak ke mana pun.  Ini hidup, dan kita semua memang traveller, backpackers kelas murahan yang cuma ada maruah untuk dibawa bekal menyusur di dalam dunia yang serba laju ini.

Dan, aku diam, menanti kembali Dylan memetik gitarnya, atau menghembus harmonikanya. Aku terasa terlalu bahaya deep ini, kalau aku jebakkan diri aku.

'Tapi, sekurangnya,' sambungnya, ketika kami bergelap mendengar kepada rekod Dylan, sambil mata kami memandang gelap di langit yang bertemankan bintang-bintang yang nampak berkelip dari jauh sana, 'aku cuma nak ingat, mana aku dah pergi selama ni, jauh sangat dah ke aku pergi?' sambil terdengar sedikit kerisauan di dalam ton suaranya.

Aku lepaskan keluhan kecil.

Dan, aku palingkan badan aku.

Entahlah.

'Mungkin,' kata aku, perlahan, di dalam intoksikasi berat, dan ketika terbaring di dalam gelap, 'esok, kita perlu bergerak laju sikit, selesaikan semua masalah dan tuntut balik semua apa yang kau rindukan, dan kita akan jejak balik, dari mana datangnya kau ni'.

'I love you, man' balas Dee ringkas, di dalam gelap.

'Hm' senyap, akhirnya.