Sunday 27 January 2013

Awan kepul-kepul.

Sarapan dengan Pink Floyd
Pagi Ahad yang hening, patutnya aku sudah duduk di Taman KLCC sambil aku memegang senaskah buku sambil aku pakai cool sunglass, dan sesekali aku akan hirup sedikit wine murah yang botolnya, ada gambar zirafah. Aku akan buka bakul piknik aku, yang aku letakkan sebelumnya di belakang basikal aku. Di dalam bakul itu, ada sandwich yang aku sendiri buat pagi tadi, bersama kekasih songsang, sambil bercumbu, bercium-cium, disinari mentari pagi Ahad.

Sambil semua itu berlaku, trek-trek Pink Floyd terus berputar, menemankan aku, dan yang lainnya. Menemankan dunia.

Tapi, sayangnya. Itu tak berlaku.

Aku masih lagi duduk di meja kerja, dan sedang menyudahkan sedikit lagi kerja yang dah aku rancang untuk siapkan pagi ini.

Jadi, pagi tadi, seorang client datang, untuk kutip dokumennya.

Dan, tadi selepas dia pulang, aku kembali meneruskan kerja-kerja menaip aku.
Menyedihkan.

Tak ada piknik, dan tak ada buku. Tak ada wine murah yang botolnya ada gambar zirafah, tak ada kawan-kawan yang pakai cool sunglasses, tak ada sandwich dan tak ada bakul.
Yang ada, cumalah sedikit kerja dan lagu Pink Floyd. Sedikit air teh bunga, sepeket tembakau, sedikit ubat tak boleh tidur, yang datang dalam bentuk herba, dan kerja.

Tapi, untuk aku, tak kisah. Aku ada janji. Pada diri sendiri yang perlu aku langsaikan.
Jadi, untuk tak rugi untuk aku korbankan sedikit benda-benda yang sangat gay ini, untuk aku langsaikan janji aku pada diri aku sendiri itu.

Lagipun, sambil aku selesaikan kerja aku yang sempoi-sempoi ni, ada beberapa kawan yang dah pun bangkit awal pagi tadi, ber-IM dengan aku tadi.

Bermandikan cahaya
Kali terakhir aku bertemu dengan S adalah, mungkin 6, 7 atau 8 tahun lepas. Masa itu, dia baru habis sekolah. Dan, aku pun lebih kurang macam tu. Kot.

Dan, kami adalah sampah masyarakat ketika itu, dan kini (untuk aku).

Dan, dulu kami berdua percaya, bahawa ayat yang Mark Renton cakap, pasal ‘choose life, bla, bla, bla, I choose something else, bla, bla, bla’ adalah motivasi kepada kami, doa kepada kami sebelum kami memulakan hidup kami yang jahanam.

Bila Mark Renton cakap, ‘ I chose not to choose life. I chose somethin' else’, kami cepat-cepat, dari atas sofa di depan TV itu, declare, itulah motivasi hidup bebas kami, sebagai junky, sebagai sampah masyarakat, dan sebagai barah sosial di mata masyarakat.
Kami hidup dengan teruk, dan memang itulah kami. Teruk. Tak ada perkataan lain yang boleh mendefinisikan kami dan malam-malam kami.

Tapi, semalam S menghubungi aku semula. Memberitahu betapa bahagia dia sudah berkahwin, dan sudah punya anak sendiri.

Jadi, bagus. 

Sekurangnya, Mark Renton pernah berfalsafah dalam kepala kau.

Harap, kau tak akan menjadi bapak-bapak yang membosankan, yang akan menjahanamkan lagi nasib generasi yang akan datang.

Aku harap, anak yang dah kau pancutkan tu, akan boleh menyumbang sesuatu kepada sesuatu atau sesiapa yang lain.

Lagu kegemaran di dalam player. Tapi, malu mahu tulis namanya.
Tapi, aku cukup tak senang, bila S sudah mula berbual pasal kahwin kepada aku. 
Bukan aku peduli, kalau dia nak ceritakan pasal kisah kahwin dia pada aku, sebab itu normal. Tapi, janggal bila dia cuba bercerita pasal kenduri kahwin yang mana pengantin lelakinya adalah aku.

‘Sampai bila?’ tanyanya.

‘Huh?’ balas aku.

‘Nak macam ni ?’ sambungnya lalu diceritakan kepada aku, tentang apa itu normal, dan apa yang tidak. Yang kebanyakkannya berkait rapat dengan seksualiti aku, yang bukan aku suka-suka pilih.

Aku kecewa mendengar di hujung talian bila aku tersalah sangka. Tersalah sangka bahawa perbualan ini, akan menjadi perbualan di antara seorang bekas sampah masyarakat dengan seorang lagi sampah masyarakat yang saling memahami, yang jika diletakkan watak dua ini di dalam filem, ia akan jadi seperti Jay dan Silent Bob, tak punya komunikasi 2 hala, tapi masih mampu memahami masing-masing.

Mark renton, telah gagal di dalam kuliahnya.

Dan S, aku berharap, dia akan berhenti berfikir bahawa homoseksualiti adalah seperti demam, yang boleh datang dan pergi dalam hidup kau.

Dan moral of the story is;

Bila loceng pintu rumah ditekan, sebelum buka pintu itu, sila tengok dahulu di lubang kecil itu, siapa di luar sana. Jika kau tak sorokkan lagi bong yang ada di dalam bilik kau.

Dan, tak kisah untuk berubah, tapi kau kena ingat, kau perlu faham bahawa manusia lain juga sama seperti kau- sedang belajar. 

Damn.