Monday 24 December 2012

Kanabis di bawah kad ATM.

Dah lama aku tak habiskan masa aku berjam-jam, berhari-hari, atau berminggu-minggu bersama dengan Dee Jr. dan timbunan kerjanya. Dan, dah lama juga aku tidak mendengar dia merungut tentang hidup, tentang kelilingnya, dan kadang-kadang, tentang hal-hal yang tak logik untuk dipersoalkannya.

Dia, hilang entah ke mana. Tapi, aku yakin, satu hari nanti, telefon aku akan berdering, dan nama dia akan terpapar di atas sana. Aku yakin, satu hari nanti, walau jauh mana pun dia pergi, dia akan datang kembali, menyapa aku, dan kembali merungut tentang semua hal yang selalu dia rungutkan kepada aku sebelum-sebelum ini.

Dan, balkoni merah yang selalu menjadi saksi kepada segala sakit dan penat dia, gembira dana ketawa dia, kini senyap sunyi. Tanpa ada bunyi rungutan atau dengusan berahi. Sarang labah-labah yang banyak di atas siling sana, kini kesunyian tidak mendengar segala rungut Dee.

Sesekali, aku menjenggah ke sana. Mungkin, aku seperti terpandang imbas Dee, atau aku sendiri mungkin sedang merindukan dia. Tapi, tak ada apa di sana. Balkoni merah itu, cuma menjadi sekadar balkoni merah, yang diletak di atasnya, kerusi rotan, dan meja. Ada pokok yang pernah menghijau segar di sana. Yang kini, mula menguning. Tak ada lagi botol bir yang masih basah terlekat sisa semalam. Yang ada, cumalah botol-botol bir yang kekeringan, yang sudah mula melekit, dan yang sudah dimamah usia.

Untuk sekali itu, aku lihat balkoni merah itu, seolah kesunyian. Seolah meronta meminta kami duduk di sana, atas alasan apa sekalipun.

Tapi, aku takut. Takut untuk ada di sana sendiri. Tanpa ada Dee.

Jadi, aku hanya menjengahkan kepala aku ke arah balkoni merah itu, sambil aku tanyakan pada diri aku, mana hilangnya Dee Jr.? Kenapa dia tak pernah sekali cuba untuk tinggalkan nota kepada aku, tiap kali dia mahu berlalu pergi jauh?

Dia sedang bahagia? Atau dia sedang bersedih? Kenapa dia menghilang? Atau dia masih ada di sekitar aku, dan kekasih songsang aku?

Aku pandang semula ke hadapan, menoleh kembali kepada realiti, memalingkan muka aku dari balkoni merah, yang kelihatan sedih. 

Mungkin, kami terlalu sibuk. Sibuk mengejarkan mimpi masing-masing. 

Sekurangnya, aku masih boleh menipu diri aku, dengan membisikkan kata itu ke telinga aku. Yang tersembat dengan lagu-lagu Punk tak percaya kepada sistem yang dipaksa terima oleh umum.

Tapi, apa mimpi yang aku ada? Di dalam kota ini?

Apa yang mampu aku beli dengan duit yang ada di dalam poket aku? Dengan nilai yang ada pada diri aku?

Jadi, aku bukan orang yang layak untuk punya mimpi di kota ini- kota yang kononnya terlimpah dengan mimpi-mimpi yang boleh dikejar oleh sesiapa pun.

'Mungkin' aku teringat pada perbualan aku dengan Dee Jr., 'itu salah kau sendiri'

Mungkin.

Mungkin, aku perlu lebih berani untuk mengejar apa mimpi yang selalu aku mimpikan. Bukan lagi hanya tunggu untuk Dee kembali ke balkoni merah dan merungut kembali.

Mungkin, untuk sekali ini, aku perlu jadi seperti Dee- berani untuk tinggalkan lama balkoni merah, tanpa dia dia hiraukan apa-apa pun, selain dari apa yang dikejarnya itu- mimpi gelapnya.

Dan, sehingga nama Dee muncul kembali di atas skrin telefon aku, aku perlu keluar, dan memperjudikan apa yang aku ada dan tak sekali takut untuk menjadi miskin untuk membayar apa yang perlu dibayar.

Dan, di hujung kisah nanti, aku percaya, aku dan Dee akan kembali semula ke balkoni merah itu, dan kembali menghidupkan lampu kuning itu, dan kembali merungut tentang semuanya.

Kerana kami, adalah perungut sejati.