Saturday 29 December 2012

Creature of Habit

"Tonite, I'm gonna play harmonium and guitar at the side of the road. Whoever finds me, take me as your hope"  Nyatnyinsonmatekajisemarnyiseng

Sejak semalam, selepas aku terbaca ayat ini, baru aku tersedar bahawa, lama dahulu, aku telah kutip Dee dari tepi jalan, dan aku ambil dia sebahagai harapan aku.






Yang membawa kami kepada Balkoni Merah- tempat usang yang banyak menyimpan cerita-cerita gelap kami.




Berbual mengenai harapan, memanglah berat. Sangat berat. Melibatkan banyak benda, dan melibatkan banyak aspek.



'Kau ada dream?' tanya Dee pada aku, ketika kami baru saling mengenali sesama sendiri. Kami sedang duduk di kota asing itu, di celah-celah gerai bergerak yang sibuk menjual makanan. Dan di tengah-tengah kota Bangkok itu, kami yang berdua seperti Lost In Translation, hanya duduk berdua, dan cuba menebarkan kembali peta hidup yang dah berhabuk, yang dah lama tak dibentang dan dilihat dengan setelitinya.



Mustahil, tak ada siapa yang boleh hidup, bila dia tak lagi punya sebarang harapan. Sekurangnya, itu apa yang aku fikir.



Tapi, pesan Dee pada aku selalu, 'berhati-hati dengan segala harapan yang kita harapankan. Segala mimpi yang selama ini kita mimpikan.'



Kerana, semua itu, menurutnya, 'bila cuba kita bawa ke realiti, bukan semuanya akan jadi relevan'



'Ingat,' pesannya lagi, 'kita semua cumalah manusia. Cumalah cebisan-cebisan alam, yang enak bermimpi, dan akan terus bermimpi.'



Aku ingat kata-katanya, walau aku tak berapa faham isi kandungannya. Pada aku, kami cuma kemabukkan, di tengah kota Asing yang kami masih belum mampu nak faham isi perutnya.


Hari ni, setelah beberapa tahun aku meninggalkan Bangkok, dan jarang-jarang bertemu dengan Dee Jr., aku banyak menghabiskan masa aku, dengan mengejar kembali mimpi-mimpi aku yang telah tercicir ketika aku sedang sibuk dikejar oleh polis-polis moral yang dahagakan darah aku untuk dikorbankan.

Mungkin, tanpa ada Dee di tepi aku, aku agak takut untuk bermimpi, atau cuba untuk punya harapan. Aku tak pasti kenapa. Sampaikan, aku selak kembali peta-peta perjalanan yang pernah aku lalui, dan untuk beberapa kali, aku tanyakan kembali kepada diri aku, masih relevankan semua mimpi ini untuk aku apungkan ke dasar realiti ini?


Apa yang aku mimpikan, mungkin datangnya, entah berapa tahun dahulu. Tapi, hari ini bila hari semakin pantas mengejar, ada banyak hal yang dah berubah dan ada banyak hal yang seolah datang mengikat dan menjadi konflik, memaksa aku untuk berada di satu cabang lorong yang pernah Robert Frost tuliskan dulu.

Aku persoalkan, apakah berbaloi aku kutip kembali mimpi-mimpi lama, dreams-dreams dulu, yang keciciran? Atau, lebih baik, aku tuliskan semula dreams-dreams itu, yang mungkin akan lebih relevan dengan apa yang ada di sekeliling aku sekarang.

Jadi, aku terpaksa memilih. Berada tengah di antara dua jalan. Sama seperti yang Robert Frost tuliskan satu masa dahulu.

Entahlah. Mungkin, aku masih cuma berani untuk berbual mengenai mengejar mimpi, tapi aku sendiri sebenarnya, masih belum kuat untuk pergi sendiri mengejar mimpi aku.

Aku perlu tunggu Dee, duduk di samping aku, dan di samping kekasih gelap, merancang kembali perjalanan kami, di atas peta yang telah lama berhabuk ini.

Untuk sekali ini, aku rasa aku perlu tunggu Dee, untuk berfikir tentang dreams, harapan, atau mimpi.