Saturday 22 December 2012

Bukan Orang Kebanyakkan.

Semalam, aku duduk di dalam bilik, bersama dengan kekasih songsang. Khayal, berkasih sayang, sambil mendengar kepada lagu ini.

Jujur, ini lagu cinta buat kami.

Lagu yang boleh membawa kami jauh kepada imej-imej bahagia, yang boleh buat kami lupa tentang realiti dan sengsara hidup di dalam dunia yang majoriti isinya, jumud dan terlalu sempurna.

Jadi, semalam aku dan kekasih gelap, di dalam khayal berat, berada di 3 dimensi yang berlainan, dan bernafas di dalam berahi. Kami terbaring, kepenatan, dengan peluh dan deras adrenalin, berbual tentang hidup, dan berbual tentang lagu ini.

Lalu, kami sedar, ada sesuatu yang kami rindukan, dan ada sesuatu yang telah lama setiap dari kami tinggalkan.

Jadi, lagu ini, membawa aku (sekurangnya) kepada ingatan tentang hidup yang baik, dan hidup yang penuh inspirasi. Yang penuh dengan semangat untuk mencabar apa yang perlu dicabar.

Dan, untuk sekali lagi, lagu ini benar-benar memberikan aku emosi. Benar-benar buat aku terasa, yang hidup, walau seteruk mana pun ia, masih boleh diteruskan. Jika kita benar mahukannya dan jika kita punya hala tuju yang cuba kita pergi, atau sekurangnya, orang yang kita pedulikan.

Hidup aku teruk, dan mungkin, masih lagi teruk. Masih lagi terumbang ambing diterajang oleh kehendak-kehendak hidup. Masih lagi disusahkan oleh iblis-iblis moral, masih lagi penuh dengan masalah dan keraguan.

Tapi, bila aku dengar pada tiap not dan kata-kata mereka di dalam lagu ini, dan bila otak aku cuba mengeluarkan imej-imeh cantik tentang keberadaan mereka yang ada di dalam band ini, aku sedar bahawa hidup aku yang teruk ini, masih lagi punya peluang untuk diteruskan, walau tegar macamanapun keliling aku.

Dan untuk itu, aku harap, band ini akan teruskan apa yang mereka sedang lakukan- memberi harapan, hiburan, dan emosi kepada siapa yang mendengar kepada mereka.

Dan untuk aku, lagu ini, mengingatkan aku kepada saat-saat aku mula berbual serius dengan kekasih sonsang, mengenai hidup.

Dan, aku menulis semua ini, bukan sebagai seorang kawan. tetapi, sebagai seorang asing, yang terpukau dengan tiap not dan ayat yang mereka komposkan menjadi lagu yang indah ini.

Salute.