Tuesday 30 October 2012

Dee Jr.

Dulu, Dee Jr. boleh tulis apa yang dia nak, bila-bila masa. Atas apa sekalipun, dengan keadaan macamana sekalipun. Dia akan boleh menulis, kalau dia mahu.

Tapi, tadi dia duduk di satu penjuru bilik kerja aku. Dia termenung. Memandang kosong kepada foto-foto yang ada di depannya. Sesekali, dialihkan pandangannya ke luar tingkap, kepada manusia yang sedang berpusu mengejar masa yang berlari pantas di hadapan mereka. Dee melepaskan keluhannya perlahan. Disangkanya, tak dapat aku dengar. Tapi, di balik suara Leonard Cohen, jelas aku boleh dengar keluhnya itu.

Aku diam. Malas nak bertanya. Tapi aku tahu, dia sedang buntu, tidak mampu menulis, walau sebaris ayat. Dia sedang kecewa, mencari laluan lamanya yang hilang entah ke mana.

'Teruskan jalan kau yang baru, kawan' nasihat aku kepada dia, entah berapa bulan lepas. Aku tak ingat. Tapi, yang aku ingat, kami sedang khayal dan kemabukkan tengahari itu, dan ketika kebanyakkan umat manusia pergi memenuhkan pasaraya di petang Ahad mereka, kami memilih untuk melangkah masuk ke dunia yang tidak real sangat.

Dia diam. Dengan keras kepalanya. Beberapa bulan sudah, dan tadi. Dia tetap keras kepala.

'Apa yang kau takutkan?' pernah sekali aku tanyakan kepada dia. Ketika dia berdiri panik sendiri di dalam bilik kerja aku ini. Ketika dia tiba-tiba diserang panik, ketika otak dia terlalu jem untuk membuat keputusan tentang apa sekalipun. Ketika saraf dia sedang kejang tidak dihirau oleh otak.

Tapi, dia diam. Dia tak tahu, aku yakin. Tapi, dia tak mahu bertanya.

Atau, mungkin dia tak tahu, bagaimana harus dia tanyakan soalan-soalan yang sedang bermain di dalam kepalanya.

Atau, mungkin dia sedang berfikir rawak tentang segalanya? Sehingga dia sendiri tak tahu, dan tak pasti tentang apa yang sedang difikirkannya.

Tapi, dia tetap diam. Membawa aku untuk menjadi diam, dan terus dengan kerja aku. Dan meninggalkan dia, sekali lagi, katakutan di satu sudut di dalam bilik kerja aku.

Untuk sekali, kawan, aku minta maaf, sebab tak dapat membantu.