Wednesday 1 February 2012

Oh, Karim.

Karim, memang dah jarang berbual dengan kami. Dengan aku terutamanya. Tak macam apa yang pernah berlaku. Mungkin, kisah hidup kami, dah lain masing-masing. Jadi, mungkin dahulu, dia tak ada sesiapa untuk dia lepaskan segala apa yang mahu dikongsikan. Dan, sekarang aku tak lagi diperlukan memandangkan dia sudah punya teman-teman sebaya baru yang jauh lebih cool, dan baik dari kami, yang selalu kejahanaman. Yang cuma akan selalu terperap di rumah dan di bar.

Tapi, Karim tak mahu berbual dengan aku hari tu. Tak mahu bercakap dengan aku. Atau pun Dee Jr. Kadang-kadang, bila dia tak ada tempat lain untuk dituju, dia akan pergi kepada kami, dan duduk di celah-celah kami, di dalam bar, memasang angan mahu membeli arak di Deretan Botol Arak Mahal di sebalik bar.

‘Kau gila’ kata Karim, ‘dan,’ sambungnya lagi, ‘Dee tu, lagi jahanam’.

Kami penuh dengan paranoia, katanya. Dan, kami akan selalu cakap hal-hal yang tak relevan, dan menyakitkan hati.

Dan, setiap apa yang kami katakan, akan menyebab bencana emosi, atau kejahanaman fizikal.

Kami, kaki potong. Potong keriangan orang. Di atas kepala kami, ada awan hitam.

Benar. Itu kami.

Tapi, bukan sentiasa sepanjang masa kami bercakap seperti itu. Sesekali, kami masih lagi punya saniti, dan kewarasan, dan kami boleh berbual macam manusia ‘normal’ lain, jujurnya.

Tapi, Karim masih lagi kental. Dia tak percaya seorang pun dari kami, dan rasanya dia sendiri dah terlalu bosan dengan apa yang kami miliki, atau apa yang kami tak miliki.

Jadi, dia memilih untuk tidak bercakap dengan kami. Atau kalau dia mahu bercakap sekalipun, dia akan tunggu ketika ada ramai manusia di sekeliling. Dia tak akan lagi berbual secara peribadi dengan kami, seperti yang pernah dilakukannya dahulu.

Kami gila. Katanya.

Dan, kami penuh dengan paranoia.

Dan, sebagai pesalah sosial dan penjahanam yang tak ada moral, dan tak layan untuk hidup, kami reda dengan keputusan Karim, dan kami sedar akan diri kami.

Dan, sebagai orang yang sedar, kami akan cuba untuk buat yang terbaik, membahagiakan jalan hidup Karim, sepertimana yang dimahukannya.

Karim, lebih penting. Jauh lebih penting dari aku dan Dee Jr.

Dan, Karim. Memang kami jahanam, dan kami tak sempurna. Kami cakap dengan bahasa yang teruk. Bahasa mulut jalang. Tapi, kau perlu ingat yang dalam sejuta yang kami bualkan, masih ada sepuluh yang masih lagi logik, dan boleh diterima bual, kalau kau mahu menerimanya sebagai yang logik.

Tapi, malangnya.

Tapi, aku faham. Untuk apa Karim pecahkan kepala dia, berbual dengan kami, sedangkan dia, selalu dikelilingi oleh mereka yang jauh lebih cool dari kami- manusia-manusia yang tahu, masa bila untuk cakap apa. Manusia yang pandai memilih tempat untuk bercakap. Bukan macam kami.

Dan, mungkin lepas ini, Karim tak perlu lagi memberikan alasan bahawa dia takut untuk berbual dengan kami, atas sebab apa yang kami cakapkan, semuanya akan menjurus, akan membawa kita terjerumus ke dalam kancah sakit kepala yang menjengkelkan. Kerana kita tahu, bila masa Karim akan buka mulut, dan bila dengan siapa, dia akan membicarakan sesuatu seperti manusia yang sedang hidup. Bukan seperti ketika dia melepak dengan kami berdua sahaja, yang mana, dia akan cuma diam. Dan, bila ditanya kenapa diam, dia cuma akan berikan alasan-alasan tipikal yang terpaksa kami terima.

Dan, sebagai manusia-manusia tidak sempurna yang pernah membuat kesilapan, dan diadili berulang kali dengan kesilapan yang sama, kami akur.

Tapi, dalam masa yang sama, di dalam kecewa dan sedih kami, kami- aku terutamanya, tetap mahukan Karim dapat hidup dengan lebih bahagia.

Jadi, sementara aku masih punya masa dan ruang, aku akan cuma ada di sisi dia, bila aku diperlukan walaupun dalam kebanyakkan masanya, tak ada lagi semua tu. Aku cuma seperti seorang doctor yang kerja ‘on-call’, yang cuma menanti, jika-jika ada kecemasan di bilik bedah.

Aku, dan Dee Jr. cumalah individu-individu ‘just-in-case’.

Tak apa. Sekurangnya, ada jasad yang kami mahu tersenyum, akan merasa hidupnya. Walau untuk sekali sahaja.

Dan, Karim. Jika aku dan Dee ada buat salah pada kau, sampai menganggu emosi dan fizikal kau, aku harap kau maafkan kami, atau sekurangnya, tunggukan detik kematian kami, untuk buat kau benar-benar lapang dari memikirkan kami. 

Kau perlu gembira tanpa kau perlu kerutkan muka, tanpa perlu kau sakit kepala, walau sesaat pun. 

Kau terlalu baik untuk disakiti, Karim.

p/s Karim, aku harap kau akan belajar minum arak ala-ala kawan baru kau. Pub yang bakal kau pergi, mungkin bukan lagi pub yang sama, dengan pembancuh air yang sama.