Saturday 11 February 2012

Di Mana Jalan Keluar Untuk Kuil Suci Kau Ini?

Aku perlu keluar dari kuil sempurna ini, kuil yang hanya boleh dibicarakan oleh manusia-manusia suci dan sempurna, yang dahulunya pernah menerima ketidaksempurnaan aku. Aku perlu keluar, mencari lorong-lorong kotor, yang cacat, dan yang penuh dengan cacat. Lorong yang akan menerima siapa sahaja, yang tidak sempurna, yang terpinggir, yang terasing, dan yang diasingkan. Lorong yang tidak perlukan kesempurnaan untuk menerima masuk sesiapa sahaja.

Aku perlu keluar.

Dari lingkar manusia-manusia yang mahukan sempurna. Manusia-manusia yang mahukan sempurna yang terlalu takut untuk halau aku, dari kuil suci mereka. Lalu, mereka akan datang dengan kata-kata mereka, mengharap aku, menyebut kata-kata sakti, yang aku mahu beredar.

Aku perlu keluar.

Untuk aku menghapus dosa, yang terpalit kerana aku telah mencuri ruang dan masa, bidadari-bidadari suci, yang sempurna. Padahal, sikit pun, mereka tak membenarkan aku, tidak memberikan aku hak di sana.

Jadi, aku perlu keluar.

Mencari pendosa-pendosa, yang yakin, aku masih lagi ada nyawa. Masih lagi ada peti suara, dan masih lagi ada hati.

Bukan di sini. Bukan lagi di kuil suci ini, di mana aku telah dimatikan, telah dibisukan, telah dibutakan oleh kesempurnaan mereka.

Tepuklah tangan. Dan, kau campakkanlah memori itu semua, ke dalam tong sampah di depan kuil besar suci kau.

Aku perlu keluar. Memulangkan gembira tuan, dan bidadari-bidadari sempurnanya.

Aku perlu keluar. Untuk memberi ruang kepada jiwa-jiwa sempurna masuk, mewarnai dinding kuil suci.

Aku perlu keluar, bersama kekotoran dan ketidaksempurnaan yang tidak dijemput ini.
Aku perlu keluar.