Saturday 4 February 2012

Cinta Muka Buku Bapak Aku

Dee Jr.,

Sama seperti aku, aku tahu hari ini, kau akan melalui satu hari yang besar untuk kau.

Dan, mungkin kita punya perasaan gentar yang sama, atau tidak. Aku tak dapat nak pastikan.

Cumanya, kita tahu, apa yang akan berlaku di sana. Di dalam cerita kau. Dan, kita tahu apa yang kita fikirkan. Dan, aku mahu kau tahu, walau satu dunia sekalipun yang pandang rendah pada kau, atau memperlekehkan kau, atau memperbodohkan kau dengan harapan-harapan tipu, aku mahu kau tahu, aku akan selalu ada untuk kau.

Walau tak ada seorang pun dalam dunia yang mahu akan kewujudan kau.

Aku ucapkan selamat berjaya untuk kau, dan aku harap, aku boleh berada berdekatan dengan kau, dan temankan lakukan apa yang perlu kau lakukan. Tapi, maaf. Aku sendiri, bakal menghadapi sesuatu yang baru hari ini.

Dan Dee Jr., aku harap, kau dengar nasihat aku sebelum ini, mengenai Karim, dan mengapa dia selalu berkelakuan seperti itu.

Aku harap, kau tidak lagi meletakkan apapun harapan di dalam diri kau. Kerana, tak ada siapa yang akan percaya yang kita akan berubah menjadi yang lebih faham dari sebelumnya.

Dan, aku harap kau sedar, semua rancangan yang kau pernah ada dengan Karim, bukan lagi rancangan milik kamu berdua. Tapi, ia cumalah kau seorang, atau rancangan Karim, dan kawan-kawan barunya. Kau, aku dan dia, tak mungkin akan sama macam dahulu.

Kau, aku dan Karim- nama kita tak akan lagi ditulis di dalam satu ayat yang sama. Nama kita juga tidak akan lagi diletakkan di dalam satu perenggan yang sama.

Nama kau, dan aku mungkin hanya ada di dalam buku ceritanya untuk dia simbolkan tentang kesengsaraan, dan kejahanaman.

Dan, apa yang kita soalkan, apa yang kita jawabkan, bukan lagi sesuatu yang relevan untuk dia. Kita tak pernah beri dia jawapan yang dia mahukan, yang dia harapkan. Sedangkan, dia sudah jumpa kawan-kawan yang boleh menjawab segala persoalan dia, segala kegusaran dia, segala permintaan dia. Jadi, untuk apa lagi kita berdiri atau membiarkan dia berdiri di sebelah kita bila kita tahu dia gembira?

Kau kena percaya cakap aku, memandangkan kau sendiri dah larikan diri, dan lari dari melihat realiti yang aku yakin, boleh mengajar kita tentang banyak hal. Hal yang akan mengubah hari esok kau dan aku, selamanya.

Lagipun, ketika Karim sedang khayal dengan pil-pilnya bersama dengan teman baiknya, dia dengan jujur menjelaskan segalanya. Dan, aku sudah tadah segalanya. Untuk kau, dan aku. Kau tak perlu risau. Aku dah wakilkan kau untuk dengar kepada setiap bait. Dan melalui tiap detik itu dengan tenang sekali. Dia gembira dan dia benar-benar gembira. Kita perlu biarkan.

Percayalah cakap aku. Kau dan aku, kita bukan lagi pengemudi kapal yang diharapkan dia lagi untuk mengemudi. Kita selalu tersasar.

Dan, dari jauh, aku ingin pesan pada kau supaya kau terus kuat dan aku sendiri akan cuba melakukan hal yang sama di sini.

Aku harap, kau boleh fikirkan semuanya, dan kau sedar tentang realiti kau, dan aku.

Kita cumalah kain buruk, yang dinanti untuk dibuang jauh. Cumanya, kita belum dibuang terus kerana masih belum ada lagi tong sampah yang muat untuk kita.

Apapun, selamat berjaya Dee Jr.

Aku masih percaya pada kau.

Sayang.